Senarai

Menu

Pages - Menu

Pages

Pages - Menu

Tuesday, October 16, 2018

Tafsir Surah Kawthar Ayat 2 – 3 (Balasan kepada pembenci Nabi)

x
x


Surah Al-Kauthar - سورة الكوثر

[108:2 - 108:3] - Ini adalah sebahagian dari keseluruhan surah. [Papar keseluruhan surah]


108_2
Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
(Al-Kauthar 108:2) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 602 - ٦٠٢

108_3
Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
(Al-Kauthar 108:3) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 602 - ٦٠٢

x


Tafsir Surah Kawthar Ayat 2 – 3 (Balasan kepada pembenci Nabi)


Latarbelakang:
Kita telah bincangkan sebelum ini bagaimana Rasulullah mendapat layanan yang amat buruk dari Musyrikin Mekah. Sampaikan apabila anak lelaki baginda meninggal dunia semasa kecil, mereka telah bergembira dan meraikan pula kejadian itu sedangkan itu adalah satu kejadian yang amat menyedihkan bagi baginda, bagi sesiapa sahaja pun. Bayangkan kalau anak kita mati, ada orang suka pula, apakah perasaan kita waktu itu? Maka untuk memujuk hati baginda, Allah mulakan ayat pertama surah ini dengan berita gembira. Dan kita telah senaraikan banyak sekali nikmat yang diberikan kepada baginda.
Oleh itu, surah ini mengingatkan kepada kita sebagai seorang pendakwah ini, walau apa sahaja kesusahan yang kita alami, mungkin kita ditohmah dan dihina oleh masyarakat yang tidak menerima dakwah kita, atau keadaan terlalu menyesakkan kita dalam menjalankan kerja dakwah, hendaklah kita ingat kepada nikmat yang Allah telah berikan kita. Dan fokuslah fikiran kita pada janji-janji Allah untuk memberi kebaikan yang banyak kepada mereka yang mengembangkan agamaNya. Kerana apabila kita fokus kepada benda yang baik, maka benda yang buruk itu akan kuranglah kesannya.
Kata-kata Musyrikin Mekah apabila anak baginda meninggal dunia itu amatlah menyayat hati baginda. Baginda memang sudah biasa diberi gelaran yang tidak patut – baginda dituduh sebagai orang gila, ahli sihir, penipu dan sebagainya. Tapi kali ini, apabila baginda kehilangan anak lelaki baginda, dan mereka gembira dengan berita itu, ini lebih teruk dari itu.
Asbabun Nuzul ayat ini ada beberapa pendapat dan ini adalah salah satu darinya: Rasulullah ada dua anak lelaki dari isterinya Khadijah – seorang bernama Qasim dan dia telah lama meninggal. Dan seorang lagi bernama Abdullah dan anak lelakinya yang ini juga meninggal dunia. Ada juga yang mengatakan anak lelaki yang dimaksudkan adalah anak baginda yang bukan dari Khadijah, dan anak itu bernama Ibrahim. Allahu a’lam. Orang pertama yang dengar tentang kematian Abdullah adalah Abu Lahab, kerana beliau duduk berdekatan dengan rumah Rasulullah dan beliau juga adalah bapa saudara baginda. Beliau amat menentang usaha dakwah Nabi dan selalu mengatakan perkara yang buruk terhadap Nabi. Apabila Abu Lahab tahu tentang kematian anak Nabi itu, dia telah keluar dari rumahnya sambil menari dan meraikan kematian cucu saudaranya itu. Ini amat teruk sekali kerana kalau musuh tahu lawan dia dapat berita kematian macam itu, selalunya lawan pun tidak ambil peluang itu untuk menyerang. Tapi Abu Lahab ini memang teruk sangat. Dia kata: “Batara Muhammadun” – “Muhammad telah terputus” – maksudnya keturunan Muhammad telah terputus. Dia suka kerana baginda tidak ada anak lelaki kerana anak lelakilah yang meneruskan nama keluarga, bukan?
Dan ini adalah amatlah menyedihkan bagi baginda untuk mendengar kata-kata musuhnya itu. Allah tahu perasaan baginda dan kerana itu, apabila Allah menurunkan Surah Kawthar ini, Allah tidak sebut pun tentang kisah itu kerana Allah tahu baginda sensitif dengan perkara itu. Allah cuma terus beri berita gembira untuk memujuk baginda. Ini menunjukkan tingginya sayang Allah kepada baginda. Akhir sekali, Allah cuma berfirman: إِنَّ شانِئَكَ هُوَ الأَبتَرُ (Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.) Mereka yang mengatakan Nabi Muhammad terputus itulah yang sebenarnya terputus.
Oleh itu, untuk menangani perasaan sedih, pertama kita kena kenangkan balik kebaikan yang kita dapat dan yang kita akan dapat. Dan kemudian, melakukan solat kepada Allah. Oleh itu, di pertengahan ayat ini ada disebut tentang solat. Sebelumnya tentang berita baik dan selepasnya tentang berita sedih (iaitu musuh mengatakan baginda abtar). Maka selepas dapat nikmat dan untuk mengucapkan syukur – solat; dan kalau dapat berita buruk atau dalam kesedihan, jangan lupa untuk mendirikan solat – mengadulah kepada Allah. Jadi, untuk syukur kepada Allah atas segala nikmat – solat; untuk hilangkan kesedihan atas musibah yang menimpa, juga solat… Subhanallah, solatlah yang utama.

Ayat 2:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانحَر

(SAHEEH INTERNATIONAL)
So pray to your Lord and sacrifice [to Him alone].
(MALAY)
Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.
Huruf ف dalam فَصَلِّ ini adalah fa fasihah. Setelah apa yang disebut dalam ayat sebelum ini, setelah diberikan dengan segala nikmat, apa yang perlu dilakukan? Maka Allah memberitahu kepada baginda – فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانحَر Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.
Baginda diingatkan untuk mendirikan solat dan solat itu لِرَبِّكَ (untuk Tuhanmu). Bandingkan dengan solat Quraish Mekah yang hanya hendak menunjuk-nunjuk sahaja. Maka ayat ini ada keterbalikan dari apa yang mereka lakukan. Kena solat kerana Allah – kena ikhlas, bukan kerana hendak menunjuk kepada orang lain.
Selepas kita mendapat nikmat, tentulah sepatutnya kita bersyukur kepada Allah atas nikmat yang telah diberikan. Tapi Allah tidak sebut ‘syukur’ selepas diberitahu tentang nikmat yang diberikan kepada Rasulullah. Sebaliknya Allah sebut ‘solat’. Ini menunjukkan bahawa cara terbaik untuk menunjukkan syukur kepada Allah adalah dengan mendirikan solat. Kerana itulah, Rasulullah selalu mendirikan solat sunat dua rakaat apabila sesuatu yang baik berlaku kepada umat Islam.
Terdapat perbezaan pendapat tentang solat apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini:
  1. Ada yang mengatakan solat yang dimaksudkan adalah solat fardhu.
  2. Ada yang mengatakan solat yang dimaksudkan adalah solat Eid kerana selepas itu disebut tentang ibadat korban yang dilakukan pada Eidul Adha.
  3. Ada juga yang mengatakan ini adalah solat secara umum. Kerjakanlah solat samada yang fardhu atau sunat. Ini adalah pendapat yang jumhur.
  4. Ada juga yang mengatakan ini adalah solat di Muzdalifah pada ibadat haji.

Selepas disebut tentang solat, disebut pula وَانحَر (dan berkorbanlah). Pendapat jumhur mengatakan yang dimaksudkan adalah korban penyembelihan pada ‘Eid al Adha. Ada juga yang mengatakan ianya bermaksud binatang yang diberikan dalam sedekah/zakah.
Musyrikin Mekah juga ada melakukan korban binatang tapi mereka ada menyembelih binatang untuk berhala-berhala mereka. Maka Allah perbetulkan perbuatan mereka itu dan mengingatkan yang sembelihan mestilah atas nama Allah SWT.
Dalam Qur’an, ada 4 jenis perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada binatang yang dikorbankan.
  1. Budun بدن – merujuk kepada binatang yang besar dan telah disembelih – darah masih basah lagi. Ini digunakan dalam Hajj:36 وَالبُدنَ جَعَلناها لَكُم مِن شَعائِرِ اللَّهِ (Dan telah Kami jadikan untuk kamu binatang-binatang itu sebahagian dari syi’ar Allah)
  2. Nusuq نسق – merujuk kepada binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ini seperti yang digunakan dalam al-An’am:162 قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ (Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.)
  3. Hadi هدي adalah daging binatang yang telah disembelih dan diagih-agihkan berdekatan dengan Baitullah. Ini disebut dalam Maidah:95 يَحكُمُ بِهِ ذَوا عَدلٍ مِنكُم هَديًا (maka dendanya ialah mengganti dengan binatang ternak seimbang dengan buruan yang dibunuhnya,)
  4. Qalaa’id القَلائِدَ pula adalah binatang yang telah ditanda kerana binatang itu akan disembeliah sebagai korban dalam ibadat Haji. Ini disebut dalam Maidah:2 يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُحِلّوا شَعائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهرَ الحَرامَ وَلَا الهَديَ وَلَا القَلائِدَ (Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id)
Jadi itu semua adalah jenis-jenis binatang itu. Dalam keadaan tertentu ia menjadi nama lain – macam kitalah, kalau masa tanam, dinamakan ‘padi’; bila dah tuai dinamakan ‘beras’; bila dah masak, dinamakan ‘nasi’. Benda yang sama, tapi keadaan yang berlainan.
Tapi, perbuatan menyembelih itu pula ada beberapa jenis:
  1. Dhabaha/Dhibh/Dhabeeha ذبح digunakan apabila menyembelih untuk tujuan agama – bukan untuk tujuan makan. Digunakan dalam agama Islam ataupun tidak (orang musyrik bila sembelih untuk berhala pun pakai kalimah yang sama juga). Samada menyembelih binatang atau manusia (apabila Firaun menyembelih anak lelaki Bani Israil يُذَبِّحونَ أَبناءَكُمBaqarah:49 dan apabila Nabi Ibrahim a.s. diperintah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail seperti disebut dalam Saffat:102 ا بُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ)
  2. Dhakkah ذكه – (Seperti yang digunakan dalam Maidah:3 إِلّا ما ذَكَّيتُم) – digunakan apabila menyembelih binatang dengan segera. Contohnya terjumpa binatang yang nak mati  dalam hutan dan kita cepat-cepat sembelih binatang itu, kalau nak makan. Kalau sempat sembelih sebelum binatang itu mati, maka binatang itu halal untuk kita.
  3. Nahr نهر adalah kalimah yang digunakan dalam ayat ini. Maksud literalnya adalah ‘yang diatas dari dada’. Ia digunakan juga untuk mereka yang mereka yang membunuh diri dengan cara menggantung diri mereka atau memotong leher mereka kerana leher itu atas dari dada. Oleh itu, ia bermaksud memotong di bahagian leher seperti yang kita lakukan semasa menyembelih binatang. Allah menyebut cara ini kerana cara inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Muhammad SAW memang mengikuti ajaran Nabi ibrahim sedangkan Musyrikin Mekah itu mengaku sahaja ikut peninggalan ajaran Nabi Ibrahim, tapi tak ikut pun sebenarnya. Allah hendak menegur Musyrikin Mekah dan mengingatkan mereka yang mereka itu sebenarnya tidak ikut ajaran Nabi Ibrahim a.s. tapi Rasulullah lah yang sebenarnya menyambung ajaran Nabi Ibrahim itu.

Ayat 3:

إِنَّ شانِئَكَ هُوَ الأَبتَرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, your enemy is the one cut off.¹
  • From all good in this world and the Hereafter.
(MALAY)
Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus.
Kalimah إِنَّ diletakkan sebagai penekanan dalam ayat ini dan ianya diletakkan kerana hendak memberi penekanan kepada mereka yang tidak percaya atau ada ragu-ragu. Kerana khitab ayat ini pertama kali diberikan kepada musyrikin Mekah yang tidak percaya kepada ajaran Nabi Muhammad SAW. Maka, janganlah kamu ragu tentang perkara ini.
Dalam ayat ini, kita boleh lihat yang Allah bercakap dengan Rasulullah SAW. Allah tidak bercakap pun dengan orang kafir itu kerana Allah murka kepada mereka.
Waktu ayat ini diturunkan, kedudukan umat Islam adalah amat lemah. Orang kafir yang ramai dan mereka menyeksa dan menyusahkan umat Islam yang sedikit bilangannya. Tapi Allah beri semangat dan berita gembira kepada Rasulullah supaya jangan risau, mereka pasti akan terputus. Allah nak tenangkan hati Nabi dan para sahabat. Walaupun orang kafir itu nampak kuat waktu itu, tapi mereka akan dikalahkan.
Kalimah الأَبتَرُ dari katadasar ب ت ر yang bermaksud ‘potong’. Ianya digunakan dalam bahasa Arab klasik untuk memotong ekor binatang. Juga digunakan untuk musuh yang kalah dalam perang kerana mereka dihinakan seperti binatang yang menjadi hina kerana ekor mereka dipotong. Dan dalam konteks surah ini kita telah belajar bagaimana latarbelakang surah ini tentang anak lelaki Rasulullah telah meninggal dunia. Kalimah بتر juga digunakan dalam keadaan begitu kerana kalau tidak ada anak lelaki, itu bermakna keturunannya tiada kerana anak lelakilah yang membawa nama keturunan. Orang Arab malu kalau mereka tidak ada anak lelaki yang akan meneruskan keturunan mereka. Anak lelaki tidak sama dengan anak perempuan kerana anak perempuan akan berkahwin anak perempuan itu hanya membawa nama keluarga ayahnya sahaja. Maka mereka akan jadi malu kalau anak lelaki tidak ada seumpama binatang yang dipotong ekornya.
Jadi apabila Nabi Muhammad kematian anak lelakinya, mereka bergembira dengan berkata: بتر محد (Muhammad telah terputus) maksudnya keturunan baginda terputus.
Dari بتر menjadi الأَبتَرُ yang bermaksud lagi terputus kerana ada ال pada kalimah itu. Dan yang dimaksudkan الأَبتَرُ itu adalah musuh-musuh Nabi Muhammad SAW. Mereka sangka Nabi Muhammad yang terputus, tapi sebenarnya, mereka lagi terputus.
Dan kalimah هُوَ (dia) di dalam ayat ini juga mempunyai kepentingannya. Dengan menyebut هُوَ, ia menidakkan orang lain – maksudnya, dia itulah yang terputus dan ‘bukannya’ Nabi Muhammad seperti yang dia katakan. Dalam ayat ini ada jumlah muqaddar – iaitu perkataan yang perlu dimasukkan untuk melengkapkan ayat itu. Oleh itu, kalau kita lengkap ayat ini, ia berbunyi: Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus [bukannya engkau]. Kalimah ‘bukan engkau’ adalah muqaddar. Kerana kalau hanya: ‘orang-orang yang membenci engkau akan terputus’, ia tidak boleh juga bermakna, mereka terputus tapi engkau juga terputus. Dan Allah hendak menidakkan yang Nabi Muhammad terputus, maka Allah tambah kalimah هُوَ dalam ayat ini.
Tapi kenapa Allah tidak terus sahaja letak kalimah لا أنت (bukannya kamu) dalam ayat ini? Ini kerana Allah tidak mahu meletakkan nama Nabi bersama dengan mereka yang terputus itu. Dan Allah tidak mahu bangkitkan lagi kisah tentang kematian anak baginda, kerana Allah hendak menjaga hati Nabi baginda. Kerana kalau Allah bangkitkan, itu telah mengingatkan pula kejadian baginda kehilangan anaknya itu dan itu tentunya akan menyedihkan hati baginda.
Walaupun baginda tidak ada anak lelaki yang lahir dari keturunan baginda, tapi setiap anak orang Islam yang lahir adalah ‘anak’ baginda. Bukankah Nabi ada kata yang isteri-isteri baginda adalah ‘ibu-ibu’ kita? Apakah maksud yang tersirat? Maksud tersiratnya adalah, bagindalah bapa kita. Kita ini semua adalah ‘keturunan’ baginda. Musyrikin Mekah berbangga dengan anak-anak lelaki mereka, tapi apa yang Nabi Muhammad dapat itu lebih baik lagi dari apa yang mereka dapat. Tidak ada yang dapat kelebihan seperti ini. Seorang muslim itu mungkin dari China, dari Afrika, India atau Arab, tapi mereka semuanya akan mencintai Nabi Muhammad lebih lagi dari mereka mencintai negara mereka sendiri dan bangsa mereka. Kita semua adalah satu ummat yang terkait kerana kita mempunyai Nabi yang sama – Nabi Muhammad SAW. Dan kita semua berbangga untuk mengucap Laa illaaha Illa Allah, Muhammadun Rasool Allah. Keluarga pun tidak ada kasih sayang macam ini, kerana keluarga pun kadang-kadang berkelahi dan berpecah belah juga, bukan?
Sedangkan mereka yang memusuhi Nabi itulah yang terputus di dunia ini dan bukan sahaja di dunia ini tapi di akhirat juga. Siapakah Abu Lahab itu yang menyakitkan hati Nabi itu? Tidakkah dia tidak disanjung dan kalau orang ingat dia pun, dia diingati bersama dengan laknat dari mereka. Semua umat Islam membenci beliau – dari dulu sampailah ke Hari Kiamat nanti. Mereka yang menghina dan menyakiti hati Nabi dulu memang layak kena macam itu. Mereka sangka mereka hebat dan akan terkenal sampai bila-bila tapi mereka tidak sedar yang mereka akan diingati dengan cara buruk.
Mereka sangka, bila Nabi Muhammad tiada anak, maka habislah agama yang baginda bawa, tapi tidak, agama Islam ini terus berkembang.
Kalimah شانِئَ bermaksud ‘musuh’. Ia hampir sama dengan العَدُو yang juga bermaksud ‘musuh’. Tapi kenapa Allah gunakan kalimah شانِئَ dalam ayat ini? Dalam bahasa Arab, tidak kalimah boleh digunakan untuk menunjukkan permusuhan:
1 – shana’aan شنأ
2 – bughdd بغض
3 – aduw عدو . Ini juga digunakan dalam Qur’an. Oleh itu, tentu ia tidak sama dengan شنأ’, bukan?
Apabila Allah memperkatakan tentang orang kafir yang memusuhi Nabi Muhammad, Allah beritahu yang mereka itu ‘terputus’ – memberikan isyarat kepada kejayaan Nabi ke atas mereka akhirnya. Dan ini telah terbukti nanti dengan Pembukaan Mekah dan ini disebut dalam Surah an-Nasr. Tapi sebelum kejayaan itu, Allah dah beri isyarat tentang kejayaan Nabi.
عدو bermaksud musuh yang mahu mencederakan kita dan mereka sentiasa mencari jalan macam mana nak kalahkan kita. Contohnya, kalau dalam peperangan, pihak lawan kita adalah عدو.
Dan kalau مبغض pula lebih kuat lagi dari عدو. Mereka lebih tinggi lagi kebencian mereka terhadap kita.
شانِئَ pula adalah orang yang ada sifat بغض dan عدو cuma mereka menyimpan keseluruhan perasaan marah dan benci mereka terhadap kita. Oleh itu, mereka adalah musuh yang paling teruk sekali. Bayangkan, Abu Lahab itu sanggup meraikan kematian anak Nabi Muhammad yang tidak dilakukan pun oleh mereka yang بغض dan عدو.
Mereka seperti itulah yang akan ‘terputus’. Apakah sebenarnya maksud ‘terputus’ itu? Ibn Taymiyyah mengatakan mereka itu terputus dari segala kebaikan langsung. Dalam segala hal. Ini termasuklah dalam hal:
  • harta
  • keluarga
  • kehidupan di dunia dan di akhirat
  • kalau mereka ada apa-apa pun yang boleh dikatakan perkara baik, mereka tidak akan menggunakannya untuk kebaikan.
  • hati mereka terputus dari kebaikan. Maksudnya mereka tidak akan beriman sampai bila-bila. Ini adalah kerana Allah telah meletakkan mereka sebagai musuhNya. Oleh itu mereka tidak akan dapat mengenal Allah dan tidak akan mencintai Rasulullah SAW sampai bila-bila.
  • kalau mereka ada kebaikan dalam diri mereka, ianya tidak akan digunakan untuk memenuhi kehendak Allah.
  • mereka tidak akan mendapat pertolongan, sokongan dan mereka akan terpisah dari sesiapa yang rapat dengan mereka.
  • mereka tidak akan dapat merasa kenikmatan dalam apa-apa perkara pun.
Apa yang ada pada mereka akan hilang sedikit demi sedikit sedangkan apa yang ada pada Nabi akan bertambah kebaikannya. Musyrikin Mekah itu sangka mereka ada banyak nikmat seperti yang disebut dalam Quraish:2 dan Nabi Muhammad tidak ada apa-apa pada pandangan merkea. Tapi Allah hendak menegaskan yang mereka tidak ada apa-apa sebaliknya segala kebaikan akan diberikan kepada Rasulullah. Allah telah menjadikan musuh baginda itu hilang segala kuasa mereka, mereka akan jadi lemah dan akan dimalukan di hadapan semua orang.
Penggunaan format dalam bahasa Arab adalah amat penting kerana membawa maksud yang tersirat. Kita boleh lihat bagaimana kalimah الأَبتَرُ adalah dalam bentuk isim kerana ia membawa maksud mereka akan tetap menjadi orang yang terputus. Sampai bila-bila. Maksudnya mereka akan terus berada dalam keadaan begitu dan mereka tidak akan keluar.
Dan satu lagi, ia bukan merujuk kepada mereka yang membenci dan memusuhi Nabi semasa hayat baginda, tapi kepada mana-mana musuh Nabi Muhammad sepanjang zaman. Sesiapa yang memusuhi Rasulullah SAW pada mana-mana zaman – zaman sekarang di masa hadapan, mereka akan terputus juga. Inilah yang kita dapat faham apabila kalimah الأَبتَرُ dalam bentuk isim.
Kalau kalimah يبتر digunakan iaitu dalam bentuk fi’il mudhari’ (present tense), ia membawa maksud mereka akan diputuskan. Tapi apabila ianya dalam bentuk الأَبتَرُ, ia bermaksud mereka telah pun terputus. Apabila mereka membenci baginda sahaja, mereka telah terputus dah waktu itu, cuma mereka tidak perasan sahaja dan tidak nampak lagi. Tetapi ketahuilah yang ianya telah bermula. Ini macam orang sudah kena barah stage 1 tapi mereka tidak perasan.
Ibn Taymiyyah ada menceritakan bagaimana tentera Islam berperang dengan tentera Kristian dan mereka telah mengepung golongan Kristian di dalam kubu mereka, tapi tidak dapat masuk. Kadang-kadang mereka telah mengepung sekian lama tapi tidak ada terjadi kerana mereka tidak dapat masuk menyerang. Mereka mungkin sudah mula membuat keputusan untuk meninggalkan sahaja pertempuran itu tapi apabila orang Kristian itu sudah mula menghina Rasulullah, tentera Islam tahu yang tidak lama lagi golongan Kristian itu akan jatuh kerana apabila mereka mula menghina Nabi Muhammad, Allah akan berikan balasan terus kepada mereka. Jadi tentera Muslim melihat penghinaan golongan musuh itu sebagai berita gembira kerana itu menandakan kejayaan mereka tidak lama lagi.
Dalam Surah Kawthar ini, Allah hanya menyebut ‘musuh’ sahaja, tapi tidak disebut siapakah musuh itu. Ini akan diterangkan dalam surah seterusnya, Surah al-Kaafiroon.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Kaafiroon.

x

No comments:

Post a Comment