Tafsir Surah al-Kawthar Ayat 1 (Part 2)
Ini adalah Bahagian 2 dari Tafsir Ayat 1 Bahagian 1.
Kita telah senaraikan banyak nikmat-nikmat yang ulama tafsir senaraikan sebelum ini dalam bahagian 1. Sekarang ada lagi tambahan dari mufassir yang lain pula:
1. Allah telah menjadikan Nabi Muhammad SAW dengan akhlak yang amat mulia. Ini disebut dalam Qalam:4
وَإِنَّكَ لَعَلىٰ خُلُقٍ عَظيمٍDan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.
Oleh itu, segala perbuatan Nabi adalah mulia dan dalam akhlak yang terbaik. Jadi kita tidak perlu malu dengan apa yang dilakukan oleh Nabi kita. Ini kita bercakap tentang baginda kahwin banyak dan sebagainya lagi yang dibangkitkan oleh mereka yang benci pada Islam. Semua itu tidak ada masalah kerana apa yang dilakukan oleh baginda adalah yang terbaik. Ini adalah salah satu nikmat dari Allah kepada baginda.
2. Allah telah memberikan pangkat Nabuwwah dan Risaalah (pangkat kenabian and sebagai pembawa Risalah dari Allah) – baginda telah diangkat sebagai pembawa Kitab yang terakhir sehinggalah ke Kiamat kelak. Tidak akan ada lagi Kitab dari Allah selepas Qur’an.
3. Baginda dibangkit sebagai rahmat kepada sekelian alam. Allah sebut tentang perkara ini dalam Anbiya:107
وَما أَرسَلناكَ إِلّا رَحمَةً لِلعالَمينَDan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
Ramai yang mengutuk agama Islam dengan mengatakan agama Islam adalah agama pembenci and keganasan. Ini kita tidak terima kerana kita yang faham tentang agama kita sendiri. Kalau tidak faham, kenalah fahami agama sendiri supaya tidak dimomokkan oleh orang lain.
Malangnya ramai yang tidak faham agama sendiri sampaikan apabila dibangkitkan isu-isu tertentu, ramai yang jadi gelabah tak tahu nak jawap apa. Sebagai contoh, satu perkara yang dibangkitkan oleh musuh Islam adalah tentang ayat-ayat dalam Surah Tawbah. Mereka kata inilah bukti yang agama Islam ini adalah agama ganas yang sukakan perperangan dan agama Islam dikembangkan dengan pedang. Kalau kita sendiri tidak faham Qur’an kita, maka memang ada masalahlah. Secara ringkas bagaimana menjawab tuduhan ini:
Allah telah menghantar begitu banyak Rasul kepada kaum mereka. Dan kita pun tahu bagaimana banyak kisah bagaimana umat Rasul-rasul itu menolak mereka. Dan kita pun telah baca bagaimana kerana kedegilan mereka itu, mereka telah dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi (contohnya Firaun yang ditenggelamkan). Ini adalah kerana mereka itu menolak Rasul mereka secara ‘berhadapan’. Begitulah yang lakukan terhadap umat-umat terdahulu. Orang agama lain seperti Kristian dan Yahudi pun tahu tentang perkara ini.
Lalu bagaimana dengan kisah Nabi Muhammad SAW di dalam dakwah baginda? Tidakkah baginda juga ditolak secara berhadapan juga? Mereka tolak baginda dan macam-macam mereka cuba untuk menyakiti hati baginda (secara fizikal dan mental). Bayangkanlah bagaimana baginda menghadapi musyrikin Mekah itu selama 10 tahun di Mekah. Perkara yang mereka lakukan, kalau kaum dulu dah kena azab dah, tapi lain dengan kaum Nabi Muhammad. Azab benda alam tidak dikenakan kepada mereka. Tapi adakah mereka layak untuk diazab di dunia lagi? Tentu, kerana kalau kaum sebelum itu layak diazab, begitu jugalah musyrikin Mekah. Tapi tidak terjadi begitu, bukan?
Kembali kepada Surah Tawbah. Ini adalah selepas Islam telah mendapat kejayaan dan Islam telah dapat menakluk Mekah, tempat baginda dihalau dahulu. Mereka dulu menentang dan menyerang Nabi tapi adakah Rasulullah suruh mereka itu semua dibunuh? Tidak, malah mereka diberi masa 4 bulan untuk berfikir samada untuk masuk Islam, lari menyelamatkan diri atau mereka bersedialah untuk berperang dengan Islam. 4 bulan, adakah kaum-kaum lain sebelum kaum Nabi Muhammad SAW diberi dengan kesempatan ini? Tidak. Kalau ada pun, hanya beberapa hari sahaja.
Malah mereka diberi peluang untuk lihat dulu apakah agama Islam itu sebenarnya. Ini disebut dalam Tawbah:6
وَإِن أَحَدٌ مِنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبلِغهُ مَأمَنَهُ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لا يَعلَمونَDan jika seorang diantara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian antarkanlah ia ketempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.
Mereka boleh datang ke Madinah dan mereka boleh lihat sendiri bagaimana Qur’an itu diamalkan. Mereka boleh nilai sendiri samada Qur’an itu adalah wahyu Allah atau tidak. Lihatlah bagaimana lembutnya balasan kepada mereka yang dulunya menentang Nabi Muhammad SAW semasa mereka di Mekah. Inilah kelebihan yang diberikan kepada baginda. Mereka diberi peluang yang luas sekali yang tidak diberikan kepada umat-umat sebelum umat Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan dengan rahmat yang dibawa oleh baginda.
Akan tetapi, kalau mereka tetap tidak mahu beriman, mereka diberi masa 4 bulan. Mereka boleh pilih samada untuk lari jauh dari negara Islam atau mereka boleh bersedia untuk berperang dengan orang Islam selepas 4 bulan itu habis. Dalam konteks inilah Surah Tawbah itu digunakan – iaitu kalau mereka tetap hendak berperang dengan orang Islam. Maka kita kena faham kisah ini dan hujah ini, kerana kalau tidak, kita mungkin termasuk mereka yang mengatakan Islam ini adalah agama yang ganas dan suka berperang pula.
4. Baginda diberikan dengan Qur’an – mukjizat yang terakhir
Nabi-nabi lain pun dapat mukjizat juga bukan? Akan tetapi apa bezanya dengan Qur’an yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW yang berada di tangan kita sekarang. Kerana mukjizat para Nabi-nabi yang terdahulu itu hanya dapat dilihat pada masa mereka mengeluarkan mukjizat itu sahaja. Ianya tidak kekal seperti Qur’an yang kekal sampai sekarang. Mukjizat itu pada masa zaman mereka sahaja, dan selepas itu ia hanya tinggal jadi sejarah dan cerita sahaja. Contohnya, kalau ada yang melihat tongkat Nabi Musa jadi ular, mereka yang melihat sahaja yang nampak dan selepas itu mereka boleh sampaikan dalam bentuk cerita sahaja kepada orang lain, tak boleh nak tunjuk.
Akan tetapi untuk umat Nabi Muhammad SAW, Qur’an itu kekal sebagai mukjizat sepanjang zaman dan untuk semua orang. Qur’an itu dari dulu begitu, sekarang pun macam itu juga dan ia akan kekal sampai bila-bila. Kita boleh tunjuk kepada orang lain pada bila-bila masa sahaja kerana amat mudah untuk didapati.
5. Baginda diberikan al-Adl dan al-Fath (keadilan dan kejayaan).
Kedua perkara ini bergandingan tangan. Allah berikan kepada Nabi membawa keadilan yang didahagakan oleh setiap manusia. Dengan kekuasaan di tangan umat Islam, ianya adalah kerajaan yang:
- tiada diktator
- tidak memaksa orang lain menganut agama Islam
- rakyat boleh mempersoalkan pemerintah jikalau mereka ada melakukan kesilapan. Banyak sekali kisah yang kita tentang keterbukaan dengan khalifah, terutama sekali Khulafa ur rasyidin – pernah Umar dipersoalkan oleh rakyat beliau kerana beliau memakai baju yang cantik. Mereka persoal dari mana beliau dapat baju itu.
Kejayaan yang Allah janjikan kepada Nabi Muhammad SAW tidak dijanjikan kepada semua para Nabi yang lain. Sebagai contoh, Nabi Musa a.s. juga diarahkan untuk berperang bersama umat baginda. Tapi baginda tidak mendapat kejayaan kerana baginda wafat pun di luar Kota BaitulMaqdis. Akan tetapi, Nabi Muhammad SAW diberi kejayaan menguasai Kota Mekah tempat asal baginda dan tempat Ka’bah berada.
Dan kejayaan yang diberikan kepada Nabi Muhammad adalah amat menakjubkan sekali. Bayangkan bagaimana dalam masa sesingkat 23 tahun baginda menjadi Rasul, baginda dapat mengubah geopolitik Arab itu dari tempat syirik sebagai tempat pengembangan tauhid. Ini tidak pernah terjadi dalam sejarah manusia mana-mana pun. Ini hebat sekali kerana penukaran itu memang secara keseluruhan. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Kalau kita lihat pergerakan revolusi di mana-mana pun, ia tidak berlaku dalam masa yang sesingkat 23 tahun. Ianya mengambil masa yang lama. Sebagai contoh, Revolusi Komunis itu asalnya dibayangkan oleh Karl Marx 60 tahun sebelum ianya terjadi. Dan beliau tidak dapat lihat pun kejayaan revolusi yang dicadangkan olehnya. Tapi Nabi Muhammad dapat melihat kejayaan mengubah masyarakat Arab itu di depan mata baginda. Baginda sama-sama berperang dengan umat baginda untuk membawa kejayaan kepada Islam.
Dan perubahan revolusi hanya dalam kehidupan yang terhad sahaja – bukan secara keseluruhan. Tapi perubahan yang dibawa oleh Nabi Muhammad merangkumi seluruh aspek – kehidupan dan juga agama. Oleh kerana itu, apabila Micheal H. Hart menulis buku ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History‘, beliau sebenarnya tidak ada pilihan lain dari meletakkan nama Nabi Muhammad SAW di tangga pertama kerana tidak ada sesiapa lagi yang layak mengambil tempat itu.
Oleh itu, Allah telah memberi kejayaan yang tidak pernah diberikan kepada orang lain dalam dunia ini.
6. Perubahan Qiblah dari MasjidilAqsa ke Ka’bah kerana baginda.
Nabi Ibrahim a.s telah mendirikan semula Ka’bah dan baginda berdoa supaya manusia akan datang kepadanya. Tapi semasa Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, qiblah waktu itu adalah BaitulMaqdis (kerana umat Islam sebelum itu adalah Bani Israil dan qiblah mereka adalah BaitulMaqdis). Nabi Muhammad SAW amat berharap supaya qiblah ditukar ke Ka’bah, tapi baginda tidak sanggup meminta kepada Allah. Akan tetapi, baginda mendongak sahaja kepala baginda ke langit dengan harapan di dalam hati baginda (baginda tidak suarakan). Ini disebut dalam Baqarah:144
قَد نَرىٰ تَقَلُّبَ وَجهِكَ فِي السَّماءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبلَةً تَرضاهاSungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai.
Dari ayat ini, kita tahu bahawa qiblah itu ditukar kerana Nabi Muhammad SAW. Sudah lama qiblah umat Islam ke arah BaitulMaqdis (dan memang awal Islam, umat Nabi Muhammad pun mengadap ke BaitulMaqdis). Tapi ianya bertukar untuk selama-lamanya kerana Nabi Muhammad SAW.
7. Allah akan mengurniakan Maqaama Mahmooda مقام المحمود iaitu kedudukan yang khas kepada baginda. Ini disebut dalam Isra’:79
وَمِنَ اللَّيلِ فَتَهَجَّد بِهِ نافِلَةً لَكَ عَسىٰ أَن يَبعَثَكَ رَبُّكَ مَقامًا مَحمودًاDan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.
Ada perbincangan di kalangan ulama tentang apakah yang dimaksudkan dengan مقام المحمود. Kita lihat beberapa dalil yang ada.
فعَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( يُبْعَثُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَكُونُ أَنَا وَأُمَّتِي عَلَى تَلٍّ ، وَيَكْسُونِي رَبِّي تَبَارَكَ وَتَعَالَى حُلَّةً خَضْرَاءَ ، ثُمَّ يُؤْذَنُ لِي ، فَأَقُولُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ أَقُولَ ، فَذَاكَ الْمَقَامُ الْمَحْمُودُ (رواه أحمد في المسند (25/60) طبعة مؤسسة الرسالة)“Dari Ka’b bin Malik radhillahu’anhu sesungguhnya Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam bersabda, “Manusia dibangkitkan pada hari kiamat. Maka aku dan umatku di atas bukit, dan Tuhanku Tabaroka Wata’ala memakaikanku mahkota hijau. Kemudian aku diberi izin. Maka saya mengatakan apa saja yang yang saya katakan. Itu adalah maqam mahmud (tempat yang terpuji).” HR. Ahmad di Musnad, 25/60. Cetakan Muassasah Ar-Risalah) ‘Sanadnya sahih sesuai persyaratan Muslim, para perawinya terpercaya yaitu para perawi Bukhori Muslim kecuali Yazin bin Abdu Rabbi –beliau adalah Az-Zubaidi Al-Himsy- dari rawi Muslim.
Diantara atsar shahih mauquf (sampai ke shahabat) adalah perkataan Ibnu Umar radhiallahu’anhuma,
إِنَّ النَّاسَ يَصِيرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ جُثًا ، كُلُّ أُمَّةٍ تَتْبَعُ نَبِيَّهَا ، يَقُولُونَ يَا فُلاَنُ اشْفَعْ ، حَتَّى تَنْتَهِي الشَّفَاعَةُ إِلَى النَّبِي صلى الله عليه وسلم ، فَذَلِكَ يَوْمَ يَبْعَثُهُ اللَّهُ الْمَقَامَ الْمَحْمُودَ (رواه البخاري، رقم 4718)“Sesungguhnya manusia berjalan merangkak pada hari kiamat. Setiap umat mengikuti nabinya. Mereka mengatakan, ‘Wahai si fulan berikanlah syafaat. Sampai syafaat selesai di Nabi sallallahu’alaihi wa sallam. Itu adalah hari dimana Allah membangkitkannya pada Maqam mahmud (tempat terpuji).’ (HR. Bukhari, 4718. Dan beliau membuat bab dengan menulis ‘Semoga Tuhanmu membangkitkanmu di tempat terpuji’ pilihan beliau dari penafsiran dari sisi ini.
Secara ringkasnya, kedudukan مقام المحمود adalah baginda akan diberikan penghormataan untuk memberikan syafaat. Ini adalah penghormatan dari Allah untuk baginda, tapi tidaklah ini bermakna baginda boleh menentukan siapa yang dapat syafaat atau tidak. Kena dibaca dengan ayat-ayat yang lain. Salah faham tentang perkara ini telah menyebabkan ramai yang berdoa terus kepada Nabi untuk meminta syafaat sedangkan ia bukanlah keputusan dari Nabi, tapi dari Allah sendiri. Maka, kalau hendak syafaat, kenalah minta dengan Allah.
8. Allah memberikan baginda dengan pengikut yang ramai dari kalangan manusia.
Dan pengikut baginda adalah orang yang hebat-hebat. Baginda tidak tinggalkan bangunan yang hebat dan besar, tapi baginda tinggalkan para sahabat yang hebat dan besar. Dengan usaha merekalah agama Islam ini tersebar luas ke serata dunia dan diteruskan sampai ke hari ini. Dan sampai sekarang umat Islam semakin bertambah dan menambahkan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Kalau umat Nabi-nabi lain sudah tidak ada lagi, tapi umat Nabi Muhammad tetap berkembang dan bertambah sampailah ke hari kiamat.
9. Allah menjanjikan pertolonganNya – walaupun kalau tidak ada manusia yang membantu baginda. Ini disebut dalam Tawba:40
إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُJikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya
Ini bermakna, kalau tidak ada sahabat pun yang membantu baginda, Allah tetap tolong baginda. Dalam ayat ini, Allah hendak beritahu kepada para sahabat, kalau mereka tidak tolong baginda pun, Dia tetap akan beri kejayaan kepada baginda. Tapi Allah beri peluang kepada para sahabat untuk berkhidmat kepada baginda dan kepada Islam, supaya mereka mendapat kebaikan.
10. Umat yang mengikuti baginda mengikut jalan wasatiyyah (jalan pertengahan). Ini disebut dalam Baqarah:143
وَكَذٰلِكَ جَعَلناكُم أُمَّةً وَسَطًا لِتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ وَيَكونَ الرَّسولُ عَلَيكُم شَهيدًاDan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.
Kita ini adalah umat baginda dan kita mendapat kelebihan ini kerana kita adalah umat baginda.
11. Baginda akan mendapat pengikut yang paling ramai di Hari Pembalasan kelak.
Diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dari Abdullah bin Abbas ra, Rasulullah saw bersabda “Telah diperlihatkan kepadaku segala umat. Aku menyaksikan seorang Nabi lewat dan diikuti umatnya dan seorang Nabi lewat diikuti sekelompok orang dan seorang Nabi lainnya lagi hanya diikuti sepuluh orang saja. Ada pula seorang Nabi yang hanya diikuti lima orang, bahkan ada seorang Nabi yang berjalan sendirian tanpa umatnya. Tiba tiba aku menyaksikan sekelompok orang banyak, lalu ada yang berkata, ‘Itulah umatmu!’ Tujuh puluh ribu orang di antara mereka ada di depan. Mereka tidak dihisab ataupun dihukum.’ Aku bertanya, ‘Mengapa ?’ Dia menjawab, ‘Mereka tidak pernah memuji diri sendiri, tidak pernah memakai mantra mantra, tidak pernah meramal nasib buruk, dan hanya kepada Tuhan mereka berserah diri.’ Mendengar penjelasan itu, Ukasyah bin Muhshin berdiri seraya berujar, ‘Doakanlah kepada Allah agar menjadikan aku termasuk salah seorang dari mereka!’ Nabi lalu berdoa, ‘Ya Allah, jadikanlah Ukasyah termasuk bagian dari mereka!’ Tak lama kemudian berdiri pula lelaki lainnya seraya berkata ‘Doakanlah pula kepada Allah agar menjadikan aku termasuk salah seorang dari mereka!’ Namun Nabi berkata , ‘Kamu sudah kedahuluan oleh Ukasyah.”
Ini pun adalah salah satu dari nikmat yang besar untuk baginda. Tentu baginda amat berbangga sekali.
12. Keluarga baginda dimuliakan
Ini jelas kerana dalam selawat kita pun ada diajar oleh Nabi untuk berselawat kepada baginda dan keluarga baginda sekali. Dalam riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.
Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawaban kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.
Tentunya ‘keluarga’ yang dimaksudkan adalah keluarga baginda yang muslim.
13. Baginda akan diberikan dengan kedudukan memberi syafaat di akhirat kelak. Dalil tentang syafa’at ini dapat dilihat dalam hadits Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu yang panjang. Diringkaskan di dalam hadis ini:
إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ مَاجَ النَّاسُ فِي بَعْضٍ فَيَأْتُونَ آدَمَ فَيَقُولُونَ اشْفَعْ لَنَا إِلَى رَبِّكَ فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِإِبْرَاهِيمَ فَإِنَّهُ خَلِيلُ الرَّحْمَنِ فَيَأْتُونَ إِبْرَاهِيمَ فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِمُوسَى فَإِنَّهُ كَلِيمُ اللهِ فَيَأْتُونَ مُوسَى فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِعِيسَى فَإِنَّهُ رُوحُ اللهِ وَكَلِمَتُهُ فَيَأْتُونَ عِيسَى فَيَقُولُ لَسْتُ لَهَا وَلَكِنْ عَلَيْكُمْ بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَأْتُونِي فَأَقُولُ أَنَا لَهَا فَأَسْتَأْذِنُ عَلَى رَبِّي فَيُؤْذَنُ لِي ….“Ketika hari kiamat datang, manusia berduyun-duyun mendatangi nabi Adam dan mengatakan, “Berilah syafa’at kepada rabbmu !” Adam menjawab, “Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Ibrahim karena dia adalah kekasih Allah Azza wa Jalla ,” mereka mendatangi Nabi Ibrahim, nabi Ibrahim berkata,” Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Musa karena dia adalah kalimullah (orang yang diajak bicara langsung oleh Allah). mereka mendatangi Nabi Musa, nabi Musa berkata,” Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Isa karena dia adalah ruhullah dan kalimatNya,” Mereka mendatangi Nabi Isa, nabi Isa berkata,” Aku tidak punya hak, pergilah kalian kepada Nabi Muhammad.” Maka mereka mendatangiku, maka aku katakan, “Ya aku punya hak, maka aku minta idzin kepada rabbku, maka Dia memberiku idzin ….”.
Hadis ini berkenaan keadaan di Mahsyar kelak. Waktu itu semua mencari orang yang boleh mempercepatkan pengadilan kerana sudah tidak tahan begitu lama menunggu di Mahsyar. Hanya Nabi Muhammad sahaja yang dibenarkan untuk meminta kepada Allah untuk mempercepatkan pengadilan. Dan kelebihan ini diberikan kepada baginda sahaja dan dalilnya seperti dalam hadis di atas.
14. Allah sentiasa memanggil Nabi Muhammad SAW dengan gelaran yang mulia dan mesra. Allah memanggil baginda dengan gelaran ‘Abd’ (hamba), Rasul, Nabi dan sebagainya. Cara ini tidak digunakan dengan Nabi-nabi lain. Kerana kepada mereka, Allah memanggil mereka dengan nama mereka: Ya Musa, Ya Adam, Ya Dawud, Ya Zakariyyah, Ya Yahya!, Ya ‘Isa dan sebagainya. Nabi lain dipanggil dengan nama mereka, tapi dengan Rasulullah SAW, baginda dipanggil dengan gelaran baginda – dan ada banyak gelaran diberikan kepada baginda. Ini menunjukkan kemulian baginda dan bagaimana Allah memuliakan kedudukan baginda.
15. Apabila Allah mewajibkan solat kepada Nabi Muhammad SAW, selepas Nabi Muhammad SAW meminta dikurangkan solat dari 50 waktu hingga sampai ke 5 waktu, Allah memberitahu bahawa mereka yang mengerjakan solat 5 waktu itu tetap mendapat pahala seolah-olah mereka mengerjakan solat 50 waktu juga. Ini tersebut dalam Sahih Bukhari.
فَرَضَ خَمْسِينَ صَلَاةً قَالَ فَارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ ذَلِكَ فَرَاجَعْتُ فَوَضَعَ شَطْرَهَا فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى قُلْتُ وَضَعَ شَطْرَهَا فَقَالَ رَاجِعْ رَبَّكَ فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ فَرَاجَعْتُ فَوَضَعَ شَطْرَهَا فَرَجَعْتُ إِلَيْهِ فَقَالَ ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَإِنَّ أُمَّتَكَ لَا تُطِيقُ ذَلِكَ فَرَاجَعْتُهُ فَقَالَ هِيَ خَمْسٌ وَهِيَ خَمْسُونَ لَا يُبَدَّلُ الْقَوْلُ لَدَيَّ فَرَجَعْتُ إِلَى مُوسَى فَقَالَ رَاجِعْ رَبَّكَ فَقُلْتُ اسْتَحْيَيْتُ مِنْ رَبِّي ثُمَّ انْطَلَقَ بِي حَتَّى انْتَهَى بِي إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَغَشِيَهَا أَلْوَانٌ لَا أَدْرِي مَا هِيَ ثُمَّ أُدْخِلْتُ الْجَنَّةَ فَإِذَا فِيهَا حَبَايِلُ اللُّؤْلُؤِ وَإِذَا تُرَابُهَا الْمِسْكُIbnu Hazm dan Anas bin Malik menyebutkan, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka Allah ‘azza wajalla mewajibkan kepada ummatku salat sebanyak lima puluh kali. Maka aku pergi membawa perintah itu tetapi bila aku berjumpa dengan Musa, ia bertanya, ‘Apa yang Allah perintahkan buat umatmu? ‘ Aku jawab: ‘Salat lima puluh kali.’ Lalu dia berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu, kerana umatmu tidak akan mampu! ‘ Maka aku kembali merayu kepada Tuhan dan Allah mengurangi sebahagiannya. Aku kemudian kembali menemui Musa dan aku katakan bahawa Allah telah mengurangi sebahagian daripadanya. Tapi ia berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu kerana umatmu tidak akan sanggup.’ Aku lalu kembali merayu menemui Allah dan Allah kemudian mengurangi sebahagian lagi.’ Kemudian aku kembali menemui Musa, ia lalu berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu, kerana umatmu tidak akan mampu.’ Maka aku kembali menemui merayu Allah Ta’ala, Allah lalu berfirman: ‘Itulah lima waktu sembahyang dan ia sebenarnya menyamai lima puluh waktu sembahyang.Keputusan ini tidak akan diubah disisiKu! ‘ Maka aku kembali menemui Musa dan ia tetap berkata, ‘Kembalilah kepada Rabb-Mu! ‘ Aku katakan, ‘Aku malu untuk merayu lagi kepada Rabb-ku.’ Jibril lantas membawaku hingga sampai di Sidratul Muntaha yang dikelubungi dengan warna-warni yang aku tidak tahu benda apakah hakikatnya. Kemudian aku dimasukkan ke dalam syurga, ternyata di dalamnya banyak kalung-kalung mutiara dan tanahnya pula dari kasturi.”
Nabi-nabi lain juga ada syariat solat tapi tidak sama dengan syariat kita.
16. Allah menjadikan Qur’an iaitu wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah itu, senang untuk diingati – (Tayseer al Qur’an). Allah berfirman dalam Qamar:17 dan tiga ayat lain dalam surah yang sama:
وَلَقَد يَسَّرنَا القُرآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُدَّكِرٍDan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
Allah memang mudahkan supaya Qur’an ini senang untuk dibaca dan dipelajari dan juga dihafal. Kita boleh tengok di mana-mana sekarang ada orang yang menghafal keseluruhan Qur’an itu. Orang Islam pun, ramai yang walaupun tidak menghafal keseluruhan Qur’an, tapi mereka ada menghafal beberapa surah juga.
Allah menjadikan wahyu yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu mudah untuk dihafal. Dan ini menolak dakwaan palsu orang kafir dari kalangan Orientalist yang mengatakan Qur’an itu telah diubah dari yang asal. Mereka kata tidak mungkin satu kumpulan kalimah yang sama tanpa ada perubahan dapat bertahan selama lebih dari seribu tahun kerana akal mereka tidak dapat menerimanya. Ini adalah kerana, pada mereka, kalau sesuatu itu disampaikan dari satu generasi ke satu generasi, mestilah melalui dua cara:
- Dengan cara ditulis dalam dokumen
- Dengan cara hafalan – diberitahu kepada generasi seterusnya dengan cara mulut.
Mengikut logik orang bukan Islam, pada mereka yang lebih selamat adalah dengan cara disampaikan melalui dokumen – ditulis sesuatu kisah itu dan disimpan di dalam arkib. Walaupun begitu, kedua-dua cara itu ada kelemahannya juga. Kalau cara disampaikan melalui mulut, tentu ada maklumat yang tertinggal atau ditambah, bukan? Ini kita pun tahu, bagaimana kisah asal yang berlalu dan apa yang diterima oleh orang yang ke sepuluh/ke seratus tentu jauh bezanya. Sebagai contoh, kisah asal ‘Abdullah tumbuk Kasim’. Apabila sampai ke orang yang ke 50, mungkin dah jadi: ‘Abdullah tumbuk dan patahkan kaki dan tangan Kasim dan selepas itu dia bakar pula rumah Kasim’.
Kalau penulisan dalam dokumen pun tidak terjamin. Kerana kalau seorang tulis, dan orang yang menyalinnya (kerana dulu tidak ada printer) tidak betul, ada ejaan yang salah dan sebagainya – sampai mengubah makna. Kemudian dokumen itu pula disampaikan kepada orang, juga mungkin menyalin tersilap lagi – jadi kesilapan mungkin bertambah-tambah. Terutama kalau menggunakan terjemahan bahasa yang menggunakan perkataan yang tidak sesuai.
Orang bukan Islam membanggakan penulisan dokumen dan mereka menganggap Qur’an itu kalau diturunkan melalui penulisan, barulah boleh dikira sebagai sahih. Adakah begitu? Kita pun tahu bagaimana Qur’an itu diturunkan dari Nabi ke sahabat dan sahabat ke tabien dan seterusnya kepada generasi seterusnya adalah dengan cara hafalan. Di samping itu, ia juga dikuatkan lagi dengan cara penulisan kerana ada Qur’an yang telah ditulis menjadi sebagai Qur’an rujukan yang dinamakan dengan Umm (Qur’an induk). Kepada orang Islam, pengajaran Qur’an terjaga dari semenjak zaman Nabi Muhammad sampailah sekarang dan akan terpelihara sampai ke Hari Kiamat nanti.
Hujah kita amat kuat sekali. Kalau cara penyampaian Qur’an ini ada kesilapan di mana-mana, tentu bacaan Qur’an ini berbeza dari satu tempat ke satu tempat, bukan? Kalau ikut hujah mereka, tentu Qur’an ini ada banyak versi (macam Bible), bukan? Akan tetapi, ini tidak berlaku. Satu dunia ini membaca Qur’an yang sama. Dan kalau yang baca salah, akan ada sahaja yang akan membetulkannya (kerana ramai yang hafal Qur’an). Dan kalau ada pencetak Qur’an yang cuba mengubah mana-mana ayat Qur’an walaupun satu huruf (atau mereka tersilap cetak), ianya akan dapat dikesan dengan segera. Dan Qur’an itu akan dihancurkan dan dibakar supaya tidak mengelirukan orang lain. Kita hanya simpan Qur’an yang tepat sahaja.
Kita boleh sahaja buat eksperimen. Ambillah 4 orang budak muslim dari 4 benua dalam dunia dan minta mereka baca Qur’an. Mereka mungkin menggunakan bahasa harian mereka berlainan, tapi mereka akan membacakan Qur’an yang sama. Ini adalah sebagai bukti yang kukuh. Semua ini hanya dapat berlaku kerana Allah telah berjanji untuk memudahkan Qur’an ini untuk dihafal seperti dalam ayat Qamar:17 itu. Tidak ada tulisan lain yang mendapat janji Allah ini walaupun kitab wahyuNya yang sebelum Qur’an. Dalam ayat lain juga, Allah telah berjanji untuk menjaga Qur’an dan ini ada dalam Hijr:9
إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحافِظونَSesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.
Lihatlah itu adalah janji Allah. Dan memang ada cubaan dari mereka yang jahat untuk mengubah penulisan Qur’an, tapi mereka tidak berjaya. Akan ada sahaja umat Islam yang dapat mengesan cubaan itu. Maka, satu-satunya cara untuk menghilangkan Qur’an dari mukabumi ini adalah dengan menghilangkan seluruh umat Islam sampai tidak ada seorang pun. Tapi tentulah ini tidak akan terjadi.
Ini tidak terjadi pada kitab-kitab yang lain. Kalau Bible pun, orang yang mengaji Bible sampai tahap PHD pun, akhirnya mereka akan kata yang Bible yang ada pada tangan manusia sekarang ini tidak asli.
Oleh itu, penjagaan Qur’an ini juga adalah satu lagi nikmat kepada Nabi Muhammad. Semasa baginda mula mendapat wahyu Qur’an, baginda takut baginda tidak dapat menghafal Qur’an itu kerana takut tidak dapat sampaikan Qur’an itu kepada manusia, maka baginda akan terus menghafal wahyu itu semasa Jibrail membacakannya kepada baginda. Allah melegakan hati baginda dengan menurunkan ayat Qiyamah:17
إِنَّ عَلَينا جَمعَهُ وَقُرآنَهُSesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya.
Sekali lagi Allah berjanji yang Dia akan memastikan Qur’an itu dapat diingati oleh baginda dan baginda dapat membaca Qur’an itu dengan molek untuk disampaikan kepada ummat.
Kita telah membaca begitu banyak sekali nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Lalu persoalan sekarang, setelah mendapat segala ini, apakah yang baginda perlu lakukan untuk menunjukkan kesyukuran baginda kepada Allah? Ini disebut dalam sambungan ayat seterusnya, dimana Allah mengajar baginda untuk mendirikan solat dan mengerjakan ibadat korban (sembelihan). Dan solat dan korban ini juga adalah sunnah Nabi Ibrahim a.s. juga dan memang Nabi Muhammad SAW meneruskan agama tauhid yang juga dianuti oleh Nabi Ibrahim, maka tidak hairanlah kalau ada persamaan antara kedua-dua Rasul Agung ini.
Sekian, Allahu a’lam.
No comments:
Post a Comment