Senarai

Menu

Pages - Menu

Pages

Pages - Menu

Monday, October 15, 2018

Tafsir Surah al-Alaq Ayat 1 – 7 (Permulaan Turun Wahyu)

x
x

Surah Al-'Alaq - سورة العلق

[96:1 - 96:7] - Ini adalah sebahagian dari keseluruhan surah. [Papar keseluruhan surah]


Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.'

96_1
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
(Al-'Alaq 96:1) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 597 - ٥٩٧

96_2
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
(Al-'Alaq 96:2) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 597 - ٥٩٧

96_3
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
(Al-'Alaq 96:3) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 597 - ٥٩٧

96_4
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -
(Al-'Alaq 96:4) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 597 - ٥٩٧

96_5
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(Al-'Alaq 96:5) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 597 - ٥٩٧

96_6
Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),
(Al-'Alaq 96:6) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 597 - ٥٩٧

96_7
Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.
(Al-'Alaq 96:7) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 597 - ٥٩٧

x

Tafsir Surah al-Alaq Ayat 1 – 7 (Permulaan Turun Wahyu)


Pengenalan
Nabi Muhammad duduk menyendiri dalam Gua Hira’ sebab baginda nak cari jalan penyelesaian kepada masalah masyarakat baginda. Ini adalah kerana hatinya halus, jiwanya tinggi sampaikan dia berfikir tentang masalah masyarakatnya yang teruk sekali melakukan syirik. Waktu itu baginda sudah nampak bahawa apa yang dilakukan oleh masyarakat baginda itu tidak benar. Dan baginda tidak boleh tengok begitu sahaja. Malangnya, baginda tidak ada jalan penyelesaian kerana baginda belum menjadi Nabi lagi dan belum mendapat wahyu lagi. Memang lama baginda meluangkan masa di Gua Hira’ itu sebelum Allah hantar Jibrail untuk sampaikan wahyu kepada baginda. Ini menunjukkan betapa dedikasinya baginda hendak mencari kebenaran. Ini adalah kisah ringkas berkenaan dengan bagaimana permulaan baginda mendapat wahyu itu. Perbincangan lanjut boleh dibaca di dalam Kitab Sahih Bukhari.
Dari hadis permulaan baginda mendapat wahyu itu, berkali-kali Jibrail suruh Nabi Muhammad baca pada permulaannya untuk baginda bersedia untuk membaca. Itulah sebabnya Jibrail peluk Nabi muhammad supaya baginda bersedia. Kerana memang tidak ada apapun waktu itu untuk baginda baca, maka baginda baca dengan mulut sahaja. Lalu apakah yang baginda kena baca? Baginda disuruh baca tentang sifat Allah. Maknanya, kena kenal Allah dulu. Kerana itu kalau kita tak kenal Allah, macam mana? Itulah maksud iqra’ – sebelum apa-apa, kena kenal Allah dulu. Oleh itu kena belajar maksud Quran dan kena ajar anak-anak kita dengan agama, sampai mereka boleh kenal Allah.

Kaitan dengan Surah sebelum
Terdapat beberapa persamaan antara Surah ‘Alaq ini dengan surah sebelumnya, Surah at-Teen.
  1. Dalam Surah Teen, Allah memberitahu kita bagaimana Allah telah memuliakan manusia dengan menceritakan bagaimana kita ini dijadikan dalam penciptaan yang terbaik sekali; Dalam Surah ‘Alaq, Allah memberitahu bagaimana ada manusia yang melampau dan melawan, walaupun mereka telah dijadikan dengan sempurna.
  2. Dalam Surah at-Teen: Allah gunakan kalimat خَلَقنَا الإِنسانَ (Kami jadikan insan) – kalimat ini Allah membahasakan DiriNya sendiri sebagai pencipta kepada insan – ini menunjukkan taqrib (dekatnya) Allah dengan kita. Ini adalah kerana dalam ayat itu, Allah hendak menceritakan bagaimana Dia telah menjadikan manusia dalam keadaan yang terbaik; akan tetapi, dalam Surah Alaq ini, Allah menggunakan kalimat خَلَقَ الإِنسانَ (Dia menciptakan insan) – Allah menggunakan kataganti pihak ketiga (ghaibah) kerana hendak menjauhkan DiriNya. Ini adalah kerana surah ini hendak mengatakan keburukan manusia yang menjauhkan diri dari Allah.
  3. Dalam Surah Alaq, Allah menggunakan kalimah وَرَبُّكَ الأَكرَمُ (dan Tuhanmu Maha Pemurah). Iaitu Allah memuliakan DiriNya dalam ayat itu; sedangkan dalam Surah at-Teen, Allah menceritakan tentang kemuliaan para Nabi Ulul Azmi – Allah menyebut tentang tempat-tempat kelahiran mereka sebagai isyarat kepada mereka.
  4. Dalam Surah at-Teen, Allah telah memberitahu bagaimana manusia itu dijadikan dalam bentuk yang baik – لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في أَحسَنِ تَقويمٍ; dalam Surah Alaq ini, Allah memberitahu kenapa insan itu dalam bentuk terbaik – kerana mereka telah diberikan dengan aqal/intelek. Inilah yang menyebabkan manusia itu lebih dari makhluk yang lain. Allah sebut dalam Surah Alaq ini bagaimana manusia belajar dan menyampaikan ilmu dengan pen; bagaimana manusia boleh faham apa yang Allah sampaikan – semua ini memerlukan penggunaan aqal yang Allah telah berikan kepada manusia. Oleh itu, kalau manusia tidak gunakan aqalnya, maka mereka itu tidaklah lebih baik dari binatang.
  5. Dalam Surah at-Teen, Allah memberitahu bagaimana ada manusia yang direndahkan ثُمَّ رَدَدناهُ أَسفَلَ سافِلينَ; dalam Surah Alaq ini, Allah sambung dengan menceritakan apakah yang mereka lakukan, apakah yang dalam fikiran mereka, dan Allah beri contoh Abu Jahal.
  6. Dalam Surah at-Teen, Allah sebut فَما يُكَذِّبُكَ – mereka yang mendustai Nabi Muhammad; dalam Surah Alaq ini, Allah beri contoh orang itu – Abu Jahal dan apakah yang Abu Jahal lakukan terhadap baginda.
  7. Dalam Surah at-Teen, Allah memberitahu kita bahawa Allah lah hakim yang paling bijaksana sekali أَلَيسَ اللَّهُ بِأَحكَمِ الحاكِمينَ; dalam Surah Alaq ini, Allah menjelaskan bagaimana Dia buat keputusan penghakiman terhadap mereka yang menghalang Nabi Muhammad – يَنتَهِ لَنَسفَعًا بِالنّاصِيَةِ dan seterusnya. Sebagai hakim, Allah akan menjalankan penghakiman dengan bijaksana dan Allah akan buat keputusan dengan adil.
  8. Dalam Surah at-Teen, Allah memberitahu kita bahawa Allah lah Maha Bijaksana sekali أَلَيسَ اللَّهُ بِأَحكَمِ الحاكِمينَ; Dalam Surah Alaq, di awal lagi Allah sudah beritahu kita untuk membaca Quran. Ini adalah kerana Quran itu dari Allah yang Maha Bijaksana, maka kalau kita juga hendak mendapatkan kebijaksaan, maka hendaklah kita belajar Quran.
  9. Dalam Surah at-Teen, mereka yang selamat adalah الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ – beriman dan beramal soleh. Apabila seseorang itu mula beriman, dia akan melakukan amal soleh – dan apabila melakukan amal soleh, iman akan bertambah (pusingan yang baik); dalam Surah ‘Alaq, Allah suruh وَاسجُد وَاقتَرِب (sujud dan dekatkan [dengan Allah]). Melakukan sujud akan mendekatkan kita dengan Allah dan meningkatkan iman.
  10. Surah Alaq ini lebih spesifik kalau dibandingkan dengan Surah at-Teen yang lebih berbentuk umum.
    1. Dalam at-Teen, para Nabi disebut secara umum tapi dalam Surah al-Alaq, ia lebih menjurus kepada Nabi Muhammad.
    2. Dalam at-Teen, Allah beritahu yang Dia menjadikan kita dalam bentuk yang baik, dalam Surah Alaq, Allah menjelaskan bahawa manusia asalnya adalah al-alaq.
    3. Dalam at-Teen, Allah beritahu ada manusia yang direndahkan dan dalam Surah Alaq, Allah beri contoh lelaki yang sebegitu.
    4. Dalam at-Teen, Allah mengutuk mereka yang menolak Nabi Muhammad dan dalam Surah Alaq, Allah beri contoh Abu Jahal yang menolak Nabi Muhammad.

Muqaddimah kepada Surah ini:
Sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul, dunia berada dalam kegelapan syirik. Rasul terakhir sebelum Nabi Muhammad adalah Nabi Isa a.s. iaitu lebih kurang 600 tahun sebelum bangkitnya Nabi Muhammad. Jadi, selama 600 tahun itu, manusia tidak ada Rasul yang membimbing mereka. Itu adalah satu masa yang lama. Hinggalah Allah bangkitkan Rasul dan Nabi terakhir – Nabi Muhammad SAW.
Perkara ini penting untuk diberitahu kerana jumhur ulama mengatakan bahawa Surah al-Alaq ini adalah surah yang pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (5 ayat pertama dari surah ini). Cara penurunan ayat-ayat pertama ini boleh dibaca dalam hadis-hadis yang sahih berkenaannya. Kita tidak mahu memperpanjangkan perbincangan itu.
Seperti yang kita telah sebut, Nabi Muhammad terkesan dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat baginda. Baginda berharap sangat semoga baginda dapat memberi jalan penyelesaian kepada masalah-masalah itu. Oleh kerana jauh dari agama, ramai dari orang-orang yang lemah dari kalangan masyarakat baginda yang dizalimi oleh mereka yang berkuasa. Akan tetapi, banyak mana pun yang baginda cuba lakukan, masalah itu tidak nampak jalan penyelesaiannya. Akhirnya, dipendekkan kisah, Allah telah menurunkan wahyuNya kepada baginda sebagai pedoman dan petunjuk kepada manusia dan sebagai perhubungan antara manusia dan Pencipta. Memang baginda mencari jalan bagaimana nak mengubah masyarakat baginda. Dan ini adalah sesuatu yang amat dikehendaki oleh baginda, kerana baginda bukan setakat tolong orang susah sahaja, tapi baginda nak selesaikan punca kenapa boleh jadi susah dari awal lagi. Baginda ingin menghapuskan terus punca masalah itu. Dan walau bagaimana baginda buat pun, tapi kalau pakai akal sahaja, memang baginda tidak akan berjaya. Nabi akhirnya hanya berjaya selesaikan masalah spiritual dan fizikal dengan wahyu. Begitu jugalah kita, kalau kita cuba memperbaiki masalah masyarakat dengan akal, kita juga tidak akan berjaya – maka kita kena gunakan wahyu.
Jadi, kita dapat mengenal Rasul kita sedikit sebanyak dari kisah ini. Kita boleh dapat gambaran bagaimanakah sifat baginda yang mulia itu. Kita kena tahu bahawa baginda adalah seorang Nabi, bukan setakat seorang yang bijak mengubah masyakarat baginda sahaja (seperti yang dikatakan oleh pemikir bukan Islam). Memang ada manusia yang hebat di dunia, tapi mereka itu boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:
Ahli Falsafah / pemikir: Mereka cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat mereka dengan mencuba beberapa sistem. Sebagai contoh, Karl Marx cuba mengubah masyarakat beliau dengan memperkenalkan sistem Komunis.
Ahli Politik: Mereka cuba untuk mengubah masyarakat dengan akal juga, dan selalunya dengan kuasa yang ada pada mereka.
Kemudian kita ada para Nabi yang mendapat cara penyelesaian dan ilmu dari Tuhan sendiri. Mereka juga mempunyai sifat yang mulia yang menjadi contoh kepada masyarakat. Mereka tidak pernah kata itu adalah cara mereka, tapi mereka kata apa yang mereka bawa adalah ajaran yang mereka dapat dari Tuhan. Dan ini adalah ilmu yang paling tinggi sekali. Kerana ilmu dan intelek itu boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:
1- Yang didapati dari ilmu hasil dari pancaindera yang lima.
2- Ilmu yang didapati dari tanda-tanda luaran dan kajian – contohnya kalau kita melihat asap, dari pengalaman dan pengetahuan kita, tentu itu menandakan adanya api.
3 – Ilmu dari ilham/hati. Ilmu ini Allah beri semasa kita dalam perut lagi. Ianya sudah siap ada dalam roh sebelum kita dilahirkan. Kalau orang bukan Islam pun, mereka pun dapat rasa yang ianya ada. Mereka mungkin gunakan nama lain – sebagai contoh, ada yang menggelarnya ‘intuisi’.
Ada juga yang Allah berikan setelah kita meminta petunjuk dari Allah. Kalau orang Islam, kita diajar untuk melakukan Solat Istikharah prayer. Kadangkala ada orang yang Allah berikan mimpi yang benar.
4. Dan yang paling tinggi adalah ilmu dari Allah sendiri iaitu Wahyu. Inilah yang diberikan hanya kepada para Nabi sahaja dan mereka sampaikan ilmu itu kepada manusia. Ahli falfasah dan pemikir tidak akan dapat ilmu ini walau bagaimana dalam dan lama pun mereka cuma memikirkan tentang sesuatu perkara.
Quran ada mengajar semua jenis ilmu ini.


Ayat 1:

اقرَأ بِاسمِ رَبِّكَ الَّذي خَلَقَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-‘Alaq: The Clinging (or Suspended) Substance. The sūrah has also been called Iqra’, meaning “recite” or “read.”
Recite in the name of your Lord who created –
(MALAY)
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,

Ayat ini dimulakan dengan fi’il amar (kata arahan). Ini adalah salah satu surah-surah yang dimulai dengan kata suruhan. Allah arahkan kita ‘baca’ dalam surah. Inilah ayat pertama yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad dan kita telah sentuh tentang bagaimana cara ianya disampaikan kepada Rasulullah.
Perhatikanlah kalimah pertama yang Allah berikan kepada manusia dari dalam Quran. Dan kenangkan waktu itu bagaimana keadaannya. Ia diberikan kepada golongan manusia yang waktu kebanyakan dari mereka tidak tahu membaca pun. Tapi tidak lama selepas itu, dengan menggunakan Quran yang disebarluaskan dalam beberapa tahun selepas itu, masyarakat yang tidak tahu membaca itu menjadi masyarakat yang berilmu tinggi – sampaikan tamadun lain terpaksa datang dan belajar dengan mereka. Itulah waktu kegemilangan umat Islam. Inilah mukjizat Quran. Ianya terbukti hebat kerana boleh mengubah masyarakat itu.
Marilah kita kenang bagaimana Islam berjaya mengubah dunia. Dunia Islamlah yang mula-mula membangunkan universiti moden. Sistem pemberian PHD yang banyak sekali kita dengar sekarang ini, asalnya adalah pemberian ijazah dalam sistem pembelajaran Islam. Semuanya berasal dari Qur’an. Dan sarjana-sarja ilmu Islam telah mengembangkan ilmu Islam dan mengembangkan ilmu-ilmu lain juga seperti matematik, sains, geografi dan lain-lain lagi. Orang Islam mempunyai dominasi ilmu pengetahuan selama seribu tahun sebelum ianya diambil alih oleh pihak Eropah.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa Qur’an itu adalah mukjizat. Ianya asalnya dikeluarkan dari mulut Rasulullah sahaja dan dihafal oleh para sahabat dan disampaikan kepada umat yang kemudian. Ianya menjadi kitab rujukan yang paling utama sekali dan dipelajari zaman berzaman. Ianya menjadi topik perbincangan beribu malah mungkin berjuta buku-buku lain. Ianya boleh dirujuk oleh semua orang. Bandingkan dengan kitab-kitab wahyu sebelum Islam seperti Taurat dan Injil. Kitab-kitab itu hanya dipegang oleh pemuka agama mereka dan tidak diberikan secara meluas kepada orang awam. Orang awam tidak dapat lihat dan pegang pun kitab-kitab itu. Dengan cara itu, senanglah mereka hendak menipu pengikut-pengikut mereka. Kerana pengikut terpaksa percaya kepada pemuka agama itu kerana mereka sendiri tidak dapat pastikan samada yang dicakap oleh ulama mereka itu benar atau tidak dari wahyu. Sampaikan kepada satu tahap dimana lahirnya kumpulan yang menamakan diri mereka Protestant yang mahu semua orang boleh baca sendiri Injil itu. Dan banyak dalam agama lain lagi dimana ahli agama mereka yang dominasi agama dan mereka yang dibawah kena ikut sahaja. Sebagai contoh, kalau dalam agama Hindu, Sami mereka sahaja yang boleh kitab suci (kononnya) dan mereka yang dari kasta bawah tidak boleh baca langsung. Kita tidak ada tradisi ini dalam Islam. Semua orang boleh baca sendiri Qur’an itu.
Oleh kerana itu, kalau difikirkan semasa ayat ini diturunkan, ianya adalah perkara baru. Kerana agama-agama sebelum itu, masyarakat awam memang tidak dibenarkan baca sendiri kitab suci mereka. Tapi ayat pertama yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad adalah untuk membaca. Islamlah agama yang mula-mula mengajar umatnya untuk membaca sendiri kitab suci mereka. Kita tidak perlukan ‘orang tengah’ untuk bacakan Qur’an ini. Yang kita perlukan adalah Nabi Muhammad sebagai contoh tauladan kita untuk kita belajar bagaimana cara mengamalkan ayat-ayat Qur’an itu. Islam bukan agama yang dimonopoli oleh pemuka agama, sampaikan pemuka agama itu boleh menipu dan mengubah agama sesuka hati mereka. Malangnya, perkara ini telah diubah oleh kebanyakan zaman sekarang. Ramai yang mengajar bagaimana Qur’an itu tidak boleh dipelajar sendiri, ianya hanya layak untuk dipelajar oleh golongan ulama, ustaz dan sebagainya. Ramai yang mengajar bahawa orang awam hanya belajar baca sahaja, tapi tidak boleh nak faham apa yang dalam Qur’an itu. Akhirnya masyarakat kita kembali kepada cara pengajaran agama zaman sebelum Islam kembali – kitab suci hanya layak untuk golongan atasan sahaja. Alangkah malangnya. Islam mengajar kita menjadi pandai, tapi ada ahli agama yang ajar masyarakat untuk membodohkan diri mereka. Mereka yang seperti ini tidak patut mengajar agama kerana mereka sendiri tidak faham agama. Mereka dah jadi macam sami dan paderi dah.
بِاسمِ رَبِّكَ (Dengan nama Tuhanmu). Ia membawa beberapa makna:
1 – Bacalah Qur’an itu dengan nama Allah. Begitulah orang kita selalu baca Qur’an dengan lafaz bismillah ar-Rahman ar-Raheem. Maksudnya kita mula membaca Qur’an ini dengan berkat nama Allah.
2 – Bacalah apa yang telah disampaikan oleh Tuhanmu itu, iaitu Qur’an. Dan Nabi Muhammad memenuhkan suruhan ini sepanjang hidup baginda selepas dilantik menjadi Rasul. Baginda akan baca Qur’an dan bacakan Qur’an itu kepada umat baginda. Baginda telah sampaikan wahyu yang baginda terima.
3 – Bacalah Qur’an itu dengan bantuan Tuhanmu. Kalau Allah tidak beri bantuan dan keizinan, kita pun tidak dapat lakukan apa sahaja yang kita mahu buat.
4 – Apabila baca Qur’an, pastikan bahawa mereka yang mendengar itu tahu bahawa apa yang dibacakan itu bukanlah dari kata-kata kita, tapi dari kata-kata Allah. Dan setiap kali Nabi baca Quran, baginda memingatkan mereka yang itu adalah ayat dari Allah, bukan dari kata-kata baginda sendiri. Oleh itu, kalau mereka tolak, mereka sebenarnya bukan menolak baginda, tapi menolak Allah.
Qur’an ini adalah satu mukjizat. Kenangkan kembali proses Qur’an itu sampai kepada kita:
a- Qur’an itu asalnya dalam bentuk Kalam Allah dan ditulis di Lawh al Mahfoodh. Jadi kita boleh katakan yang ianya dalam bentuk kitab waktu ini.
b-Kemudian ia kembali menjadi bentuk kalam iaitu apabila disampaikan oleh Jibreel yang menyampaikan Qur’an itu dalam bentuk kalam kepada Nabi Muhammad dan kemudian baginda juga menyampaikan dalam bentuk kalam kepada para sahabat baginda.
c- Qur’an akhirnya kembali menjadi dalam bentuk kitab. Iaitu apabila ia ditulis kembali oleh para sahabat dan dijadikan dalam bentuk mushaf. Allah dah tahu yang ia akan jadi mushaf. Allah dah beri isyarat yang wahyu Quran akan jadi dalam bentuk kitab/mushaf. sebab Allah dari awal lagi sudah guna kalimah اقرَأ (bacalah). Kerana kalau disuruh ‘baca’, tentulah ianya dalam bentuk tulisan, bukan? Jadi ini tidak pelik kerana asalnya pun Qur’an itu memang dalam bentuk kitab (di Lawh al Mahfoodh). Tetapi yang hebatnya, ingat kembali yang semasa ia diturunkan, ianya dalam bentuk kalam, bukan dalam bentuk kitab lagi. Dan bentuk ‘kalam’ dan ‘kitab’, tentu tidak sama. Apabila Allah sampaikan Qur’an itu dalam bentuk kalam, ia adalah satu mukjizat. Apakah bezanya?
Cara seseorang bercakap tidak sama dengan cara dia menulis. Kalau kita bercakap, berkemungkinan besar, akan ada sahaja kesilapan dalam percakapan kita, bukan? Kerana kita bercakap mungkin kita terlupa, atau tersasul atau menggunakan perkataan yang tidak sesuai. Tapi kalau kita menulis, kemungkinan buat kesilapan itu dikurangkan kerana kita ada peluang untuk lihat apa yang kita tulis dan kita boleh baiki penulisan kita sebelum sampaikan kepada orang lain. Itulah sebabnya, mereka yang menulis buku, mengambil masa yang lama kerana mereka akan pastikan dan baca berkali-kali apa yang mereka tulis itu. Itu pun kadang-kadang mereka akan keluarkan edisi baru setelah mereka perbaiki penulisan mereka. Tapi ini tidak mungkin dapat dilakukan kalau penyampaian itu dalam bentuk kalam/perkataan/suara kerana kita tidak boleh nak betulkan kembali kata-kata kita, apabila ianya sudah keluar, orang lain sudah dengar dah. Oleh itu, kita ada peluang sekali sahaja untuk sampaikan dengan betul.
Dan inilah yang hebat dan menandakan mukjizat Qur’an itu. Orang Arab yang mendengar Qur’an itu buat pertama kali pun memang terkejut habis. Mereka amat hairan bagaimana baginda boleh bercakap suatu perkataan yang hebat, tidak ada kesalahan langsung dan waktu itu baginda bukannya merujuk kepada tulisan pun? Baginda seolah-olah membaca dari tulisan, tapi sebenarnya tidak. Ini adalah mukjizat. Ada juga yang menuduh baginda mendapat penulisan dari tempat lain, tapi ini mustahil kerana baginda seorang yang buta huruf, bukan? Dan kalau pun baginda dapat dari mana-mana kitab lain, dari mana baginda dapat kitab itu kerana mereka sentiasa sahaja bersama dengan baginda? Allah tutup tohmahan mereka itu dalam Ankaboot:48
وَما كُنتَ تَتلو مِن قَبلِهِ مِن كِتابٍ وَلا تَخُطُّهُ بِيَمينِكَ ۖ إِذًا لَارتابَ المُبطِلونَ
Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya (Al Quran) sesuatu Kitabpun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu).
Dan Allah ingatkan mereka bagaimana sebelum baginda menjadi Rasul, mereka pun tahu yang Nabi Muhammad itu tidak boleh membaca dan menulis. Ini disebut dalam al-A’raf:158
فَآمِنوا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ الَّذي يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِماتِهِ وَاتَّبِعوهُ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ
maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk
الأُمِّيِّ dari katadasar أ م م yang bermaksud ‘ibu’. Oleh itu, mereka yang dikatakan sebagai الأُمِّيِّ bermaksud tidak tahu membaca dan menulis, seperti mereka baru keluar dari perut ibu mereka yang tidak tahu apa-apa. Begitu jugalah Nabi Muhammad, memang tidak boleh membaca dan menulis kerana masyarakat baginda waktu itu memang kebanyakannya dari mereka tidak boleh membaca dan menulis. Ini menunjukkan yang memang benar Nabi Muhammad tidaklah mengambil maklumat dari kitab lain, bukan juga baginda bercakap dari fikiran baginda. Ini ditegaskan dalam Najm: 3-4
وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰٱ ❊  إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ
dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
الَّذي خَلَقَ: Yang menjadikan (dari tiada kepada ada). Allah nak memberitahu, semua yang ada dalam alam ini, Dia lah yang menjadikan. Sifat ini adalah sifat yang dikaitkan secara langsung dengan nama Allah. Walaupun Musyrikin Mekah itu mengamalkan ajaran syirik, tapi mereka sendiri terima bahawa Allah itu adalah Tuhan yang menjadikan. Ini adalah Sifat Rububiyyah. Oleh itu, bukanlah Musyrikin Mekah tidak kenal Allah, cuma mereka mensyirikkan Allah. Ini kita telah bincangkan dengan panjang lebar dalam Perbahasan Tauhid.
Oleh kerana Allah yang menjadikan segala-galanya dalam alam ini, maka Allah berkuasa penuh untuk melakukan apa sahaja. Dan kita pun kenalah taat kepada Allah kerana Dia itu Tuhan kita, dan kita bergantung segalanya kepadaNya. Oleh itu, kena bacalah Quran ini kerana Allah yang sampaikan kepada kita dan Allah pun sudah suruh kita mempelajari dan mengamalkan apa yang disampaikan dalam Quran ini.
Jadi Allah menekankan Siapakah Rabb itu kerana waktu Nabi Muhammad menyampaikan ajaran Tauhid kepada umatnya di Mekah, baginda telah dibuli dan ditolak oleh Musyrikin Mekah. Mereka berani buat begitu kerana baginda lemah waktu itu, tidak ada penyokong. Baginda tidak ada apa-apa kelebihan dan kekuasaan kerana baginda adalah anak yatim dan yang menentang baginda pula adalah bapa saudara baginda sendiri – oleh itu, baginda juga tidak mendapat sokongan dari puak baginda kerana bapa saudara baginda sendiri tidak menyokong malah menentang baginda dengan keras sekali. Oleh kerana kelemahan yang ada pada baginda, maka Allah beri sokongan kepada baginda dengan kata-kata dalam ayat ini – Bacalah Quran itu dengan Nama Tuhanmu. Itulah kekuatan kata-kata Nabi itu, iaitu baginda hanya sampaikan Kalam Allah, kerana kalam itu bukan datang dari baginda. Jadi, ini mengingatkan kaum baginda bahawa apa yang baginda sampaikan itu bukanlah dari baginda, tapi dari Allah sendiri. Jadi kalau mereka menolak, mereka bukan menolak baginda, tapi mereka menolak Allah – jadi kena fikir-fikirkanlah. Dan Allah ingatkan mereka yang Dia yang menjadikan mereka, jadi jangan buat main-main.
Allah beritahu dalam ayat ini yang Dia menjadikan. Tapi tidak disebut menjadikan apa? Tidak ada penjelasan dalam ayat ini. Dan ini adalah satu kehebatan Quran. Apabila Allah tidak sebut, ini bermaksud mutlaqan = Allah jadikan semua sekali secara mutlaq, sampai tidak perlu disebut apa yang Allah jadikan.


Ayat 2:

خَلَقَ الإِنسانَ مِن عَلَقٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Created man from a clinging substance.
(MALAY)
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

Dalam ayat sebelum ini, Allah memberitahu yang Dia yang menjadikan, tapi tidak disebut apakah yang Allah jadikan. Dan dalam ayat ini, Allah menjurus pula kepada penciptaan manusia. Oleh itu, sekarang lebih spesifik. Allah mengingatkan kita bahawa Dialah yang menjadikan kita.
Dan Allah memberi maklumat tambahan tentang penciptaan manusia, iaitu manusia ini dijadikan dari عَلَقٍ. Apakah عَلَقٍ itu?
Kalimah عَلَقٍ dari ع ل ق، yang bermaksud sesuatu yang melekat dan bergantung. Selalu diterjemahkan sebagai ‘segumpal darah’. Apabila sains moden semakin maju dan kajian embryology dijalankan, kita dapat tahu bagaimana proses persenyawaan manusia itu. Apabila sperma bercantum dengan telur wanita, percampuran itu akan menjadi zygote dan ia akan melekat di dinding rahim. Apabila zygote itu telah menjadi, itu sebagai tanda yang persenyawaan telah terjadi. Tentu sekali perkara ini tidak mungkin dapat diketahui oleh manusia pada zaman Nabi Muhammad kerana untuk mengetahui perkara ini, memerlukan melihat ke dalam perut wanita dan menggunakan mikroskop.
Kalimah عَلَقٍ dari segi bahasa juga bermaksud ‘lintah’. Dan ini asalnya menghairankan, sehinggalah apabila kita dapat lihat bagaimana rupa zygote itu.

embryoleech
Memang rupa zygote itu seakan sama dengan ‘lintah’.

Apabila kita lihat rupanya zygote itu, maka fahamlah kita kenapa Allah menggunakan kalimah عَلَقٍ itu. Ini adalah mukjizat Quran dan kita semakin yakin dengan kebenaran Quran. Kerana Quran tidak berlawanan dengan sains. Dan semakin maju sains, semakin menunjukkan kebenaran Quran itu. Allah sebut dalam Fussilat:53 –
سَنُريهِم آياتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ ۗ أَوَلَم يَكفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?
Semakin sains maju, semakin sains menjelaskan bagaimana Quran itu adalah benar. Dan ramai manusia yang masuk ke dalam agama Islam kerana percaya bahawa apa yang disampaikan dalam Quran tidak mungkin datang dari manusia, tapi datang dari Tuhan semesta alam.
Selalu Allah menyebut asal kejadian manusia dalam Quran. Allah menyebut bagaimana manusia itu asalnya dari sperma, dari tanah, dari segumpal darah. Apakah tujuan Allah menceritakan tentang asal kejadian itu? Ianya untuk membuktikan bahawa:
1 – Allah mampu menghidupkan balik manusia. Allah yang boleh menjadikan manusia dari cecair dan dari tanah, boleh sahaja untuk menjadikan manusia kembali. Semuanya tidak susah untuk Allah.
2- Allah hendak menunjukkan bagaimana walaupun asal manusia itu hina (dari air mani, dari tanah dan sebagainya yang tidak ada nilai) tapi boleh menjadi manusia yang hebat. Memang asalnya manusia itu nampak macam tidak ada nilai, tapi Allah juga telah kita kebolehan untuk melakukan sesuatu yang besar. Maknanya, kita kena berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk buat benda yang besar dan bernilai. Ini adalah kerana kita dijadikan bukan untuk benda-benda yang rendah dan tidak bernilai.
3 – Allah ingatkan manusia dengan kejadian asal kita untuk merendahkan diri manusia. Kenanglah kembali kita dulu dalam bentuk apa. Kalau air mani itu jatuh kain kita, kita basuh dan buang air mani itu kerana ianya dikira sebagai kotor, bukan? Maka, kalau kita ingat kejadian asal kita, tidaklah patut kalau kita hendak jadi sombong. Walau bagaimana tinggi pun kedudukan kita, asal kita semua sahaja sahaja.


Ayat 3:

اقرَأ وَرَبُّكَ الأَكرَمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Recite, and your Lord is the most Generous –
(MALAY)
Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,

Setelah Allah memberi isyarat bagaimana manusia itu asalnya adalah dari bahan yang rendah dan hina, sekarang Allah mengingatkan kita betapa Dia sendiri pula adalah Yang Maha Mulia, Yang Maha Pemurah. Sekarang Allah bandingkan antara kita dan Dia. Memang amat jauh sekali kerana kita adalah hamba dan Dia adalah Tuhan kita.
الأَكرَمُ adalah dari kalimah ك ر م yang bermaksud ‘yang dihormati kerana kemuliannya’. Kalau kita yang dijadikan dari air mani tidak layak mendapat kedudukan ini, tapi Allah memang layak sungguh.
Kenapa Allah dikatakan sebagai ‘mulia’? Ini adalah kerana Allah memberi dengan tidak diminta. Kita lahir-lahir sahaja, sudah bermacam perkara yang kita dapat dari Allah, walaupun waktu itu kita tidak tahu pun meminta. Bandingkan dengan manusia, kadang-kadang pun memberi juga, tapi selalunya kalau diminta, baru diberi. Oleh itu, inilah maksud الأَكرَمُ, sebelum manusia minta, Allah dah beri dah.
Kalau kita jadi mulia pun, itu adalah kerana Allah yang memuliakan kita dengan meninggikan darjat kita. Bukannya kita mulia kerana kedudukan kita sendiri. Oleh itu, kita jangan jadi sombong. Seperti yang Allah sebut dalam Israa’:70-
وَلَقَد كَرَّمنا بَني آدَمَ وَحَمَلناهُم فِي البَرِّ وَالبَحرِ وَرَزَقناهُم مِنَ الطَّيِّباتِ وَفَضَّلناهُم عَلىٰ كَثيرٍ مِمَّن خَلَقنا تَفضيلًا
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.
Maksud ayat ini, Allah yang muliakan kita, bukan kita yang jadi mulia dengan sendiri.
اقرَأ: Ini adalah pengulangan sekali lagi arahan dan suruhan untuk membaca. Allah suruh Nabi Muhammad telah membaca Quran, sebagai kata-kata semangat. Ini adalah kerana Rasulullah akan menerima banyak tentangan dan kata-kata yang mencemuh dan menghina baginda. Maka baginda diingatkan untuk terus membaca Quran itu. Memang tugas yang baginda lakukan itu adalah sukar, tapi dengan terus membaca Quran, baginda akan mendapat semangat. Begitu juga dengan kita yang menjalankan kerja dakwah ini, kenalah juga memperbanyakkan bacaan dan tadabbur Quran.
Allah mengingatkan baginda bahawa baginda sedang membaca wahyu dari Allah yang bersifat mulia. Dan apabila Allah telah memilih baginda untuk menyampaikan wahyu itu kepada manusia, itu bermaksud Allah telah memuliakan baginda dengan tugas itu.


Ayat 4:

الَّذي عَلَّمَ بِالقَلَمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Who taught by the pen –
(MALAY)
Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,
Allah menyebut tentang القَلَمِ (pen) dalam ayat ini. القَلَمِ adalah makhluk pertama yang dicipta seperti dalam satu Hadis Qudsi:
إن أول ما حلق الله القلم, قل له: أكتب! قل: رب وماذا أكتب؟ قل: أكتب مقادير كل شيء حتى تقوم الساعة
“Yang pertama kali Allah ciptakan adalah al-qalam (pena), lalu Allah berfirman, ‘Tulislah!’ Ia bertanya, ‘Wahai Rabb-ku apa yang harus aku tulis?’ Allah berfirman, ‘Tulislah takdir segala sesuatu sampai terjadinya Kiamat.’”(Shahih, riwayat Abu Dawud (no. 4700), dalam Shahiih Abu Dawud (no. 3933), Tirmidzi (no. 2155, 3319), Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah (no. 102), al-Ajurry dalam ­asy-Syari’ah (no.180), Ahmad (V/317), dari Shahabat ‘Ubadah bin ash-Shamit radhiyallahu ‘anhu)
Surah ini juga berkenaan dengan ilmu pengetahuan. Allah sebut kalimah اقرَأ (bacalah) dua kali dan kalimah عَلَّمَ (mengajar) dua kali juga. Ini sebagai isyarat kepada kepentingan ilmu. Dan seperti yang kita sudah tahu, semua ilmu pengetahuan yang disampaikan dari generasi ke generasi kebanyakannya disebabkan oleh penulisan manusia yang awal dan menyampaikannya kepada generasi selepasnya. Begitulah cara ilmu disampaikan kepada kita. Kerana dengan cara penulisanlah ilmu itu dapat berkembang. Kalau ilmu itu hanya disampaikan melalui lisan sahaja, lama kelamaan ia akan hilang begitu sahaja.
Dan untuk menulis ilmu yang dapat disampaikan kepada manusia selepas kita, memerlukan القَلَمِ dan kerana itulah Allah sebut القَلَمِ dalam ayat ini – sebagai satu isyarat kepada kepentingan menulis ilmu yang telah dipelajar atau telah didapati. Dengan menulis ilmu itu, ia dapat dibaca oleh orang lain dan dapat memberi manfaat yang besar kepada orang-orang selepas kita. Cara kita beri ilmu kepada orang lain adalah dengan menulis ilmu itu.
Allah juga menyebut kepentingan القَلَمِ di dalam ayat al-Qalam:1.
ن ۚ وَالقَلَمِ وَما يَسطُرونَ
Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis,
Ini menunjukkan lagi kepentingan القَلَمِ itu. Bukan sahaja manusia menulis dengan القَلَمِ, tapi para malaikat juga menulis dengan القَلَمِ juga.
Berkali-kali Allah mengajar manusia rahsia yang ada pada tulisan. Kerana dengan tulisanlah, manusia tidak seperti makhluk yang lain. Kita menjadi mulia kerana boleh menulis. Dan penulisan memberi kesan kepada kita. Kita mendapat ilmu dan emosi kita boleh tersentuh dengan penulisan yang kita baca. Sebab itu kadang kadang dengan baca pun kita boleh menangis, boleh marah dan macam-macam lagi. Padahal kalau difikirkan kembali, itu adalah tulisan sahaja. Tapi kita boleh tersentuh kerana penulisan itu memberi kesan kepada kita. Dan dengan tulisan lah boleh merubah jiwa manusia. Kerana itu kadang-kadang dengan tulisan lebih hebat dari percakapan. Kita mungkin beri nasihat kepada seseorang tapi dia tidak dengar; tapi bila kita tulis dan kita beri kepada dia, baru dia boleh berubah.
Nabi pernah menyebut tentang kepentingan mendapatkan ilmu:
مَْن سَلَكَ طَرِْيقًا َيلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا ِإلىَ اْلجَنَّةِ
Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke surga (HR Muslim)
Dan bagaimana lagi kita boleh mendapat ilmu, melainkan dengan cara membaca dan menulis?
Dan ilmu yang paling penting untuk dipelajari adalah ilmu Quran, sepertimana sabda Nabi Muhammad:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Orang terbaik diantara kalian adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya.”
Oleh itu, mempelajari Quran adalah sunnah Rasulullah. Dan mengajar Quran bukan sahaja sunnah Rasulullah, malah ia adalah sunnah Allah juga. Lihat Rahman:2
عَلَّمَ القُرآنَ
Yang telah mengajarkan al Quran
Oleh itu, bayangkanlah kepentingan mengajar Quran itu. Kerana kita bukan sahaja ikut sunnah Rasulullah, tapi kita ikut Allah juga.
Apabila digunakan kalimah القَلَمِ, ia bermaksud penulisan. Tapi seperti yang kita tahu, penyampaian Quran di zaman Nabi adalah dalam bentuk lisan asalnya. Ini bermaksud Allah dah beri isyarat yang Quran akan ditulis dan dijadikan sebagai kitab dan sekarang kita pun menggunakan Quran dalam bentuk mushaf.


Ayat 5:

عَلَّمَ الإِنسانَ ما لَم يَعلَم

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Taught man that which he knew not.
(MALAY)
Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Ayat ini ada persamaan dengan Ayat Baqarah:239
فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم ما لَم تَكونوا تَعلَمونَ
maka sebutlah Allah (shalatlah), sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui
Ini adalah berkenaan ilmu wahyu yang manusia tidak akan dapat tahu kalau mereka memikirkannya sendiri. Walau pandai mana pun ahli falsafah itu, dia tidak akan capai ke tahap ilmu wahyu. Ilmu wahyu ini kena Allah sendiri yang sampaikan, melalui para Rasul.
Dan dengan ilmu wahyu ini, telah mengangkat satu bangsa yang rendah ke tahap yang tertinggi. Selepas Nabi Muhammad mengubah bangsa Arab, bangsa itu telah menjadi umat yang bijak dan pandai. Waktu itu bangsa Eropah masih lagi dalam Zaman Kegelapan pun. Mereka yang terpaksa datang ke negara orang Islam untuk mendapatkan ilmu dari orang Islam. Malangnya, sekarang zaman sudah terbalik, kita pula yang pergi ke negara mereka untuk mendapatkan ilmu. Ini adalah kerana kita sendiri tidak mendalami agama kita sendiri, sampaikan Allah telah balas dengan merendahkan kedudukan orang Islam sendiri. Kita ada sesuatu yang hebat (wahyu), tapi kita tinggalkan. Berapa ramai dari kalangan anda yang anda kenal belajar tafsir Qur’an? Tentu tidak ramai, bukan?
Jadi sekarang, dalam banyak pameran, kita pun mencananglah betapa tamadun Islam dulu amat tinggi, keluar darinya banyak para pemikir dunia. Tapi itu dahulu sahaja, sedangkan sekarang nama orang Islam terkebelakang. Oleh itu, jangan kita tinggalkan apa yang Allah telah berikan kepada kita. Kita kena kembali kepada Qur’an dan Sunnah. Kita kena fikirkan masa depan dan untuk anak cucu kita. Dan masa depan kita adalah di akhirat sebenarnya, bukan di dunia sahaja. Tapi malangnya, ramai manusia yang fikirkan tentang hidup sahaja. Dan ini bukanlah cara berfikir seorang Muslim.
Kita sudah sampai ke ayat yang 5. Dan jumhur ulama bersetuju bahawa 5 ayat yang pertama ini adalah ayat-ayat yang pertama sekali diwahyukan kepada Nabi Muhammad di Gua Hira’.
Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan Surah yang paling awal adalah Surah Muddaththir dan ada juga yang kata surah yang paling awal turun adalah Surah al Faatihah. Kedua pendapat ini lemah dan dapat dijelaskan. Surah Muddaththir adalah surah pertama yang diturunkan selepas berhentinya wahyu seketika (fatratil wahyi). Selepas sekian lama Nabi Muhammad tidak mendapat wahyu, surah yang pertama turun selepas itu adalah Surah Muddaththir; dan Surah Faatihah adalah surah pertama yang turun dengan lengkap – ini adalah kerana kebanyakan dari surah-surah diturunkan bukannya sekali gus, tapi diturunkan sedikit demi sedikit (seperti Surah al-Alaq ini, yang mula turun adalah 5 ayat yang pertama sahaja, dan dilengkapkan di waktu yang lain). Tapi Surah Faatihah, apabila ianya turun, ianya turun lengkap terus 7 ayat. Harap penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua.


Ayat 6: Sekarang kita masuk ke fasa kedua dari surah ini.

كَلّا إِنَّ الإِنسانَ لَيَطغىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
No! [But] indeed, man transgresses
(MALAY)
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

Dalam surah at-Teen sebelum ini, telah diberitahu bagaimana kalau manusia melampau arahan Allah, maka mereka akan direndahkan serendah-rendahnya. Sekarang Allah sentuh lagi perkara itu.
كَلّا – Boleh diterjemahkan sebagai satu kata penekanan untuk mengatakan sudah pasti akan apa yang akan disebutkan selepas ini.
Atau, ia boleh juga lafaz penekaran seolah-olah menjerit kepada mereka yang melawan kehendak Allah. Mereka kena dengar baik-baik. Allah marah kerana sepatutnya, selepas Allah telah beri segala-galanya kepada manusia, patutnya manusia mendekatkan diri kepada Allah. Akan tetapi tidak begitu rupanya.
طغىٰ bermaksud perbuatan seseorang yang tahu batas, tapi dia melampau juga batas-batas itu. Oleh itu, mereka memang sengaja melampau. Mereka tidak suka kalau ada kuasa yang menguasai ke atas diri mereka. Mereka tidak mahu menerima yang Allah adalah tuan yang perlu ditaati. Mereka nak hidup bebas melakukan apa sahaja. Mereka tidak senang nak terima ada satu kuasa yang menentukan bagaimana mereka, apa yang mereka lakukan dan batasan yang telah ditetapkan.
Bagaimanakah yang dikatakan insan telah melampaui batas? Iaitu mereka tidak mendekatkan diri dengan Quran. Ini adalah kerana kalau nak kenal Allah, kena rapat dengan Quran lah. Tapi kalau tidak mahu belajar tafsir Quran, macam mana nak rapat dengan Qur’an? Kalau tidak rapat dengan Qur’an, maka tidak mungkin manusia akan kenal Allah. Kerana Nabi muhammad pun kenal Allah dengan Qur’an, maka kita umat dia tidak mahu belajarkah? Maka memang tidak patut kalau manusia tidak mahu mendekatkan diri kepada Allah. Dan sesiapa yang jauh dari kitab Allah tidak akan kenal Allah seperti yang sepatutnya. Kerana Allah kenalkan DiriNya dalam Qur’an dan ini hanya dapat difahami kalau belajar tafsir.
Oleh kerana tidak ada ilmu tentang Allah lah yang menyebabkan mereka melawan. Kalau kita lihat dalam realiti kehidupan pun, yang melawan adalah mereka yang jahil sahaja. Orang bodoh sahaja yang buat kerja-kerja begitu. Ini adalah kerana mereka tidak tahu dan tidak kisah nak ambil tahu. Memang kesannya mereka jenis yang melawan, tapi asalnya adalah dari bertitik tolak kerana kejahilan kerana malas belajar.


Ayat 7: Dari mana datang sifat tughyan (melampau) ini? Asalnya kerana orang itu tidak mendekatkan dirinya dengan Quran kerana dia surah rasa dia cukup, tidak perlukan Qur’an untuk membimbing mereka. Mereka rasa mereka cukup sahaja, boleh makan dan minum elok sahaja. Mereka hanya nampak keperluan fizikal mereka sahaja.

أَن رَآهُ استَغنىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Because he sees himself self-sufficient.
(MALAY)
kerana dia melihat dirinya serba cukup.

Orang itu jadi begitu kerana mereka sangka dan rasa yang mereka itu serba cukup, tidak perlukan sesiapa.
Apakah maksudnya? Dalam surah Syams ayat 8, Allah beritahu yang Dia telah ilhamkan kepada manusia tentang keburukan dan tentang taqwa: فَأَلهَمَها فُجورَها وَتَقواها. Maksudnya, kalau seseorang itu melakukan kesalahan dan dosa, dia sendiri dapat rasa bahawa dia telah buat salah kerana Allah telah ilham dalam diri manusia untuk tahu mana benar dan mana salah. Tapi kenapa manusia masih tetap melakukan dosa juga walaupun dia tahu yang itu adalah salah? Kerana dia rasa dia tidak akan dihukum. Dia tidak takut kerana dia tidak nampak akan kena hukum.
Dia rasa dia akan selamat dan tidak memerlukan sesiapa pun untuk membantunya. Ini disebut dalam Layl:8 وَأَمّا مَن بَخِلَ وَاستَغنىٰ. Inilah kesilapan utama manusia. Mereka tidak rasa yang Allah itu ada dan akan hukum mereka. Mereka tidak nampak yang mereka memerlukan Allah dalam kehidupan mereka. Mereka rasa mereka cukup sahaja dalam kehidupan mereka – cukup makan dan pakai, selamat dari bahaya. Dan kerana mereka tidak rasa memerlukan sesiapa, maka mereka tidak boleh nak terima yang mereka kena ikut mana-mana peraturan atau undang-undang.
Tapi kenapa pula mereka tidak buat sesuka hati dalam dunia? Kerana mereka takut dengan undang-undang dunia. Ada dua jenis undang-undang sebenarnya:
  • Undang-undang fizikal
  • Undang-undang moral.
Undang-undang fizikal adalah yang kita dapat rasa dalam kehidupan kita setiap hari. Sebagai contoh – graviti akan menarik ke bawah; api akan membakar dan sebagainya. Undang-undang fizikal ini tidak boleh dilupakan kerana bahayanya terus nampak. Sebagai contoh, kalau kita di atas jalan dan kita melalui selekoh tajam, kita kenalah ikut. Kerana kalau tak ikut, undang-undang graviti akan menarik kita masuk ke gaung dan kita akan mati, bukan? Maka mereka yang rasa diri mereka serba cukup itu, mereka tahu untuk menghormati undang-undang fizikal kerana kalau mereka tidak ikut, mereka akan kena kesannya. Mereka terus nampak kesan yang membahayakan itu, maka mereka ikut – mereka akan bawa kereta dengan perlahan contohnya.
Undang-undang moral pula lain sikit. Ianya menganjurkan kebaikan seperti menggalakkan kebaikan dan melarang keburukan, tidak berlaku zalim kepada orang lain, tidak menipu dan sebagainya. Ini pun undang-undang juga, tapi ramai manusia tidak amil kesah kerana mereka tidak nampak kesannya kepada diri mereka kalau mereka langgar undang-undang moral ini. Mereka tidak nampak kesannya terus dikenakan kepada mereka. Sebagai contoh, kalau mereka berlaku zalim kepada orang, mereka tidaklah terus kena bakar, jatuh sakit dan sebagainya, bukan? Sedangkan kalau tidak ikut undang-undang fizikal, mereka akan terus kena (jatuh gaung, contohnya).
Jadi orang yang sebegitu tidak rasa yang mereka akan terkesan kalau mereka melanggar undang-undang moral itu walaupun sebenarnya mereka takut dalam hati mereka yang apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Mereka rasa mereka tidak akan kena kesannya. Tapi mereka lupa bahawa Tuhan yang menjadikan undang-undang fizikal itu juga boleh menghukum mereka kalau mereka melanggar undang-undang moral itu. Mereka takut langgar undang-undang fizikal kerana mereka takut kesannya, tapi mereka lupa bahawa kalau langgar undang-undang moral pun, mereka akan dapat kesannya juga. Kerana yang menjadikan undang-undang fizikal itu jugalah yang menjadikan undang-undang moral juga. Kalau Allah boleh balas kerana melanggar undang-undang fizikal, Allah juga boleh balas kalau langgar undang-undang moral.
Sebagai contoh, Allah sebut dalam Nisa:10
إِنَّ الَّذينَ يَأكُلونَ أَموالَ اليَتامىٰ ظُلمًا إِنَّما يَأكُلونَ في بُطونِهِم نارًا ۖ وَسَيَصلَونَ سَعيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).
Orang yang memakan harta anak yatim itu mungkin sangka mereka akan selamat kerana dia tidak rasa panas pun dalam perut dia. Tapi di akhirat nanti, dia akan dikenakan dengan hukuman azab itu (api dalam perutnya). Ini adalah kerana memakan harta anak yatim adalah melanggar undang-undang moral dan mereka pasti dikenakan dengan balasan azab kalau mereka tidak bertaubat sebelum mereka mati.
Allahu a’lam. 
x

No comments:

Post a Comment