Senarai

Menu

Pages - Menu

Pages

Pages - Menu

Tuesday, October 16, 2018

Tafsir Surah an-Nasr Ayat 2 – 3 (Rasulullah bertaubat)

x
x

Surah An-Nasr - سورة النصر

[110:2 - 110:3] - Ini adalah sebahagian dari keseluruhan surah. [Papar keseluruhan surah]


110_2
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, -
(An-Nasr 110:2) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 603 - ٦٠٣

110_3
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
(An-Nasr 110:3) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 603 - ٦٠٣

x

Tafsir Surah an-Nasr Ayat 2 – 3 (Rasulullah bertaubat)


Ayat 2:

وَرَأَيتَ النّاسَ يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ أَفواجًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And you see the people entering into the religion of Allāh in multitudes,
(MALAY)
dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong,
رَأَيتَ bermaksud ‘kamu melihat’ atau ‘kamu akan melihat’ – bergantung kepada mana pendapat yang dipegang (samada surah ini Makkiah atau Madaniah).  Allah bercakap terus dengan baginda (kita tahu dari dhomir تَ yang digunakan).
Rasulullah bersedih kerana ramai manusia tidak menerima dakwah baginda. Maka Allah beritahu baginda yang baginda akan melihat ramai manusia masuk Islam secara berbondong-bondong. Ini adalah hadiah dari Allah kepada baginda kerana baginda melihat dengan mata baginda sendiri. Kalau manusia masuk Islam ramai-ramai pun dah nikmat dah, tapi Allah tambah dengan beri mereka masuk agama Islam semasa hidup Nabi Muhamad sendiri supaya baginda dapat lihat sendiri. Ini juga adalah sebahagian dari janji Allah kepada baginda seperti yang disebut dalam Dhuha:5
وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.
النّاسَ bermaksud manusia. Beratus-ratus manusia waktu itu telah datang mengadap Rasulullah, belajar terus dari baginda dan para sahabat selama beberapa hari dan mereka kemblai ke puak mereka dan menyebarkan agama Islam. Dan puak mereka ramai-ramai pula masuk Islam.
Dalam Surah al-Kaafiroon sebelum ini, telah disebut bagaimana penentang Rasulullah dan agama Islam digelar oleh Allah sebagai ‘kafir’. Dan sekarang dalam surah ini disebut bagaimana النّاسَ (manusia) masuk Islam. Iaitu Allah gelar mereka sebagai النّاسَ. Oleh itu maksudnya mereka sebelum itu tidak Islam. Tapi kenapa Allah tidak gelar mereka ‘kafir’ juga? Jadi kita kena tahu bagaimana nak membezakan mana yang kafir dan mana yang tidak. Tidaklah semua orang yang tidak beragama Islam itu digelar ‘kafir’. Kalau kita lihat penggunaan gelaran ‘kafir’ dalam Qur’an, mereka itu adalah jenis yang:
  1. Sudah mendengar hujah dan dalil dari wahyu, sudah faham apa itu agama Islam tapi masih juga menolaknya. Dan,
  2. mereka menentang agama Islam dan melakukan tindakan untuk menjatuhkan agama Islam.
Sila lihat Baqarah:6
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم أَأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman.
Ayat ini beritahu yang kita orang kafir itu tidak akan beriman, walaupun kalau kita ajak mereka, dakwah mereka. Oleh itu, kalau kita kata semua orang bukan Islam itu sebagai ‘kafir’, tentu tidak ada gunanya kita berdakwah kepada Ah Chong, Muniandy dan John dalam masyarakat kita – kerana mereka tidak beriman, bukan? Tapi bukanlah itu maksud ‘kafir’. Kafir itu adalah mereka yang sudah tahu, sudah diberi ajakan, tapi mereka masih menolak dan mereka melawan pula agama Islam. Sedangkan kebanyakan orang bukan Islam dalam kalangan masyarakat kita belum dengar pun lagi dakwah dari kita. Dan kalau mereka tahu serba sedikit pun, mereka tidaklah menentang agama Islam.
Begitu juga dengan kemasukan manusia ke dalam Islam pada zaman Nabi Muhammad. Ada antara mereka yang tidak menentang pun dakwah baginda. Dan mereka diberi peluang untuk mengenali agama Islam. Lihat Tawbah:6
وَإِن أَحَدٌ مِنَ المُشرِكينَ استَجارَكَ فَأَجِرهُ حَتّىٰ يَسمَعَ كَلامَ اللَّهِ
Dan jika seorang diantara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah,
Dalam ayat ini, kalau ada yang tidak mengenali Islam lagi, maka mereka diberi peluang untuk mengenali Islam, walaupun setelah pembukaan Mekah. Ini adalah kerana mereka waktu itu ada lagi yang tidak tahu apakah Islam itu dengan sebenarnya. Tapi lihatlah bagaimana Allah menggelar mereka المُشرِكينَ, bukannya الكافرون.
Kalimah النّاسَ itu diambil dari katadasar ‘insan’ yang bermaksud mereka yang ada akal. Ini berlawanan dengan binatang yang tidak ada akal. Oleh itu, ini adalah isyarat bahawa mereka yang masuk Islam itu adalah mereka yang ada akal dan mereka yang masih tidak mahu masuk Islam adalah mereka yang tidak ada akal! Lihat A’raf:179
وَلَقَد ذَرَأنا لِجَهَنَّمَ كَثيرًا مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ ۖ لَهُم قُلوبٌ لا يَفقَهونَ بِها وَلَهُم أَعيُنٌ لا يُبصِرونَ بِها وَلَهُم آذانٌ لا يَسمَعونَ بِها ۚ أُولٰئِكَ كَالأَنعامِ بَل هُم أَضَلُّ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الغافِلونَ
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) banyak dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
أَفواجًا bermaksud berbondong-bondong. Kumpulan demi kumpulan datang dan masuk Islam. Sebelum itu, orang masuk Islam datang bersedirian, seorang demi seorang. Tapi sekarang mereka masuk Islam beramai-ramai.
Bagaimana mereka lambat masuk Islam, tapi Allah masih menggunakan gelaran yang baik terhadap mereka? Ini menunjukkan rahmat Allah – walaupun mereka lambat masuk Islam tapi kalau mereka dah masuk Islam, mereka masih diterima lagi. Tapi lihatlah bagaimana Allah kata: يَدخُلونَ في دينِ اللَّهِ  (mereka masuk ke dalam agama Allah) iaitu masuk Islam, bukannya ‘mereka beriman’. Ini adalah kerana iman belum tentu masuk lagi ke dalam hati mereka. Untuk masuk iman, mereka kena berusaha lagi untuk mendapatnya.
Kerana mereka mungkin masuk Islam beramai-ramai (أَفواجًا) kerana mengikut orang; waktu itu, kalau ketua suku masuk Islam, anak-anak suku terpaksa masuk Islam juga kreana taat kepada puak mereka. Jadi mungkin ada yang tidak ikhlas masuk Islam dan kerana itu ada yang dikenali sebagai ‘munafik’. Mereka itu tidak sama seperti para sahabat yang telah lama dalam agama Islam dan telah berjuang dan membuktikan keimanan mereka – mereka itu digelar ‘mukminoon’. Oleh itu, kalau baru masuk Islam, gelaran yang layak bagi mereka adalah ‘muslimoon’. Dari luarannya, mereka sudah nampak beragama Islam dah.
Orang-orang Arab di sekitar akan ramai-ramai masuk Islam. Mereka sudah mula percaya kepada agama Islam dan kepada Rasulullah. Ini adalah kerana kalau muslimeen dapat memenangi Ka’bah, maka tentunya ia adalah agama yang benar. Kerana semua tahu kisah Tentera Bergajah Abrahah (as-hab al Feel) yang datang untuk menyerang Ka’bah tapi mereka telah dihancurkan dengan teruk sekali. Jadi semua tahu yang Ka’bah itu dijaga oleh Allah. Dan apabila Rasulullah berjaya menakluknya, maka tentulah itu adalah tanda bahawa baginda adalah Rasul yang benar. Kerana mereka yakin yang Allah tidak akan membenarkannya kalau bukan Rasul yang benar datang. Kerana itu ramai berbondong-bondong masuk Islam. Sebelum itu mereka duduk di tepian melihat sahaja kerana mereka tidak pasti. Kalau sebelum itu mereka menghormati Quraish kerana Quraish penjaga Ka’bah, sekarang mereka menghormati Rasulullah pula kerana sekarang Rasulullah adalah penjaga Ka’bah pula – dan mereka menghormati dan mengagungkan Ka’bah.
Memang ini bukanlah kayu ukur yang bagus, kerana Rasulullah memang sudah benar pun sebelum menguasai Ka’bah pun. Sebab itulah Allah kata yang mereka itu hanya baru masuk Islam sahaja, belum tentu beriman lagi. Lihat apa yang Allah firman dalam Hujurat:14
قالَتِ الأَعرابُ آمَنّا ۖ قُل لَم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمانُ في قُلوبِكُم
Orang-orang Arab Badui itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu;
Ada satu riwayat yang menakutkan:
وقال أبو عمار حدثني جابر لجابر ، قال : سألني جابر عن حال الناس ، فأخبرته عن حال اختلافهم وفرقتهم ؛ فجعل يبكي ويقول : سمعت رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يقول : إن الناس دخلوا في دين الله أفواجا ، وسيخرجون من دين الله أفواجا .
Telah menceritakan Jabir kepada Jabir, dia berkata: Jabir bertanya kepadaku tentang hal manusia, lalu aku menceritakan kepadanya tentang perbezaan dan perpecahan manusia. Dia menangis dan berkata: “Aku mendengar dari Rasulullah SAW – baginda bersabda: “Sesungguhnya manusia memasuki agama Allah berbondong-bondong, dan mereka akan keluar dari agama Allah berbondong-bondong.”
Maksudnya perpecahan umat Islam seperti mereka yang mengikut Musaylimah al Kadhdhab (Nabi Penipu), dan mereka yang keluar dari Islam (riddah) semasa zaman Khilafah Abu Bakr. Memang ramai manusia masuk Islam, tapi mereka keluar pun ramai juga. Alangkah menakutkan kalau kita pun termasuk dalam kumpulan mereka itu juga. Ramai yang Islam keturunan sahaja – tidak mempelajari agama Islam dan kerana itu tidak faham dan tidak kuat pegangan mereka. Mereka tidak kisah pun dengan agama. Lain dengan manusia yang ada keikhlasan untuk mempelajari agama dan mereka menghambakan diri kepada Allah dengan sebenarnya. Mereka yang sebegitu tidak akan mudah meninggalkan agama Islam. Oleh itu, jangan kita sangka yang anak-anak kita yang lahir-lahir sudah beragama itu akan kekal dalam Islam – kita kena terapkan ilmu Islam ke dalam hati dan akal mereka.
Semoga Allah kekalkan kita dalam Islam dan matikan kita juga dalam agama Islam yang sebenar.

Ayat 3:

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَاستَغفِرهُ ۚ إِنَّهُ كانَ تَوّابًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then exalt [Him] with praise of your Lord and ask forgiveness of Him. Indeed, He is ever Accepting of repentance.
(MALAY)
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.
Allah menyebut tentang istighfar di hujung وَاستَغفِرهُ
Allah menyebut tentang memujiNya di tengah بِحَمدِ
Allah menyebut tentang mensuciNya di awal فَسَبِّح
Ini sebagai pengajaran untuk mereka yang melakukan istighfar (mohon ampun). Jikalau mahukan pengampunan dari Allah, atau dalam berdoa, maka kita hendaklah memberikan hak Allah – kita kena mensucikan Allah, kemudian memujiNya dan selepas itu barulah minta ampun (ataupun berdoa dengan hajat kita). Oleh itu, dengan ayat ini, Allah mengajar kita cara berdoa kepadaNya.
Ayat ini adalah tafsir bagi ayat lain, iaitu Hijr:99
وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ
dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).
Ayat ini memberitahu kita yang kita hendak menghambakan diri kita selagi mana kita hidup. Ini termasuk juga mengerjakan ibadah – oleh itu, kita kena solat sampailah kita mati, tidak ada masa berhenti. Dan apabila kita menyebut tentang ‘ibadah’, ianya mengandungi dua perkara penting dan setiap ibadat ada salah satu dari dua perkara ini:
  • memuji Allah
  • memohon ampunan dariNya. Maksudnya, kita mengakui kesalahan kita dan berharap semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita itu.
Kalimah سَبِّح bermaksud mengisytiharkan kesempurnaan Allah. Ia dari katadasar سبح yang bermaksud timbul di atas air. Oleh itu, apabila kita melakukan tasbih kepada Allah, kita mengatakan yang Allah itu sempurna, tidak ada kekurangan pada DiriNya, PerbuatanNya, KalimahNya. Oleh itu, jangan kata sesuatu yang tidak kena dan tidak layak pada Allah. Inilah kesalahan yang dilakukan oleh puak Yahudi. Ini disebut dalam Ali Imran:181
لَقَد سَمِعَ اللَّهُ قَولَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللَّهَ فَقيرٌ وَنَحنُ أَغنِياءُ ۘ سَنَكتُبُ ما قالوا
Sesungguhnya Allah telah mendengar perkatan orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya Allah miskin dan kami kaya”. Kami akan mencatat perkataan mereka itu.
Kata-kata mereka itu memang tidak patut dan Allah menyatakan kemurkaanNya.
Kalimah tasbeeh juga boleh membawa maksud ‘solat’. Jadi ada yang kata ayat ini suruh kita solat. Ini banyak disebut dalam Qur’an dan salah satunya adalah Rum:17
فَسُبحانَ اللَّهِ حينَ تُمسونَ وَحينَ تُصبِحونَ
Maka bertasbihlah kepada Allah di waktu kamu berada di petang hari dan waktu kamu berada di waktu subuh,
Begitu juga dalam Taha:130
فَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ قَبلَ طُلوعِ الشَّمسِ وَقَبلَ غُروبِها ۖ وَمِن آناءِ اللَّيلِ فَسَبِّحوَأَطرافَ النَّهارِ لَعَلَّكَ تَرضىٰ
Maka sabarlah kamu atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya dan bertasbih pulalah pada waktu-waktu di malam hari dan pada waktu-waktu di siang hari, supaya kamu merasa senang,
Dalam dua ayat di atas, kalimah ‘tasbeeh’ di dalamnya bermaksud ‘solat’. Dan memang perbuatan tasbeeh, hamd dan istighfar yang terbaik dilakukan adalah dalam solat.
Seperti yang kita telah pernah sebutkan, Surah ini sebagai tanda bahawa tugas Rasulullah sudah selesai dan kerana itu hayat baginda di dunia akan berakhir tidak lama lagi. Ini juga ada disebut dalam satu hadis:
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيل، حَدَّثَنَا عَطَاءٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَير، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ} قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “نُعِيَت إِلَيَّ نَفْسِي”
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Fudail, telah menceritakan kepada kami Ata, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa ketika diturunkan firman-Nya: Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. (An-Nasr: 1) Rasulullah Saw. bersabda: Ini adalah ucapan belasungkawa terhadapku.
Memang baginda Rasulullah SAW wafat pada tahun yang sama juga. (Ini bagi pendapat yang mengatakan surah ini diturunkan di Madinah.)
قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا جَرير، عَنْ مَنْصُورٍ، عَنْ أَبِي الضحَى، عَنْ مَسْرُوقٍ، عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ: “سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي” يَتَأَوَّلُ الْقُرْآنَ.
Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Usman ibnu Abu Syaibah, telah menceritakan kepada kami Jarir, dari Mansur, dari Abud Duha, dari Masruq, dari Aisyah yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. dalam rukuk dan sujudnya memperbanyak bacaan: Mahasuci Engkau, ya Allah, Tuhan Kami; dan dengan memuji kepada Engkau, ya Allah, ampunilah aku.
Nabi Saw. melakukan demikian sebagai pengamalannya terhadap makna surat ini. Bukan sahaja di dalam solat, tapi dimana-mana – semada duduk, berdiri, berjalan baginda akan menyebut: subhan Allahi wa bi hamdihi.
قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنَا أَبُو السَّائِبِ، حَدَّثَنَا حَفْصٌ، حَدَّثَنَا عَاصِمٌ، عَنِ الشَّعْبِيِّ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي آخِرِ أَمْرِهِ لَا يَقُومُ وَلَا يَقْعُدُ، وَلَا يَذْهَبُ وَلَا يَجِيءُ، إِلَّا قَالَ: “سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ”. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّكَ تُكْثِرُ مِنْ سُبْحَانِ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، لَا تَذْهَبُ وَلَا تَجِيءُ، وَلَا تَقُومُ وَلَا تَقْعُدُ إِلَّا قُلْتَ: سُبْحَانَ اللَّهِ وبحمده؟ قال: “إني أمرت بها”، فقال: {إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ} إِلَى آخِرِ السُّورَةِ
Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abus Sa’ib, telah menceritakan kepada kami Hafs, telah menceritakan kepada kami Asim, dari Asy-Sya’bi, dari Ummu Salamah yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. di penghujung usianya, tidak sekali-kali beliau berdiri, duduk, pergi, dan datang melainkan membaca: Mahasuci Allah dan dengan memuji kepada-Nya. Maka aku bertanya, “Wahai Rasulullah, aku telah melihatmu memperbanyak bacaan tasbih dan tahmid kepada Allah, tidak sekali-kali engkau pergi, datang, berdiri, atau duduk melainkan engkau membaca, “Mahasuci Allah dan dengan memuji kepada-Nya.” Maka beliau Saw. menjawab, bahawa sesungguhnya beliau diperintahkan untuk melakukannya, lalu beliau membaca firman-Nya: Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. (An-Nasr: 1), hingga akhir surat.
Baginda memperbanyakkan tasbeeh pada Allah kerana Allah telah memberi kejayaan kepada Islam dan telah membersihkan Ka’bah dari berhala – maka sekarang adalah masa untuk tasbeeh – mengucapkan penyucian terhadap Allah. Memang mendapatkan kejayaan untuk agama Islam itu penting, tapi zikir kepada Allah itu lebih penting lagi. Allah sebut dalam Ankabut:45
اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتابِ وَأَقِمِ الصَّلاةَ ۖ إِنَّ الصَّلاةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ ۗ وَلَذِكرُ اللَّهِ أَكبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ ما تَصنَعونَ
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Inilah tugas kita yang utama – mengingat Allah. Dan dalam surah ini disebut tiga perkara – tasbeeh, hamd dan istighfar.
Tasbeeh – menyebut tentang kesempurnaan Allah, iaitu mengatakan yang Allah bebas dari perkara-perkara yang kurang, dari sifat-sifat yang tidak patut bagi Allah.
Hamd – memuji dan mengucapkan syukur kepada Allah.
Tasbeeh dan hamd ini Allah gabungkan dalam ayat ini dengan huruf ba’ – فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ. Kenapa? Apakah maksudnya? Ada beberapa pendapat yang diberikan:
1. Iaitu mengucap subhanallah walhamdulillah. Iaitu menyebut kedua-duanya sekali. Allah kaitkan dengan huruf ba’.
2. Maksud kedua, dengan mengucapkan alhamdulillah, sudah mengandungi subhanallah di dalamnya. Maknanya – sucikan Allah dengan mengatakan alhamdulillah. Ini adalah kerana maksud تصبيح sudah ada dalam حمد. Oleh itu, dengan memuji dan berterima kasih kepada Allah (حمد), ini sudah menunjukkan yang Dia tidak ada kekurangan apa-apa. Kerana kita tidak melakukan حمد melainkan kepada Allah yang tidak ada kepincangan.
3. Ia juga boleh bermaksud: sebutlah kesempurnaan Allah (tasbeeh) kerana pujian dan terimakasih hanya layak untuk Allah sahaja.
4. Juga boleh bermakna: bertasbihlah dengan perasaan dan sifat hamd kepada Allah. Bukan mulut sahaja bertasbih tapi hati dan perbuatan kita tidak.
5. Dengan bertasbih dan bertahmid selepas mendapat kemenangan, jangan lupa yang kamu tidak berkuasa, tapi Allah yang berkuasa penuh dan buat keputusan penuh. Kemenangan yang kamu dapat itu adalah dari Allah dan kurnia Allah – maka kenalah memuji dan mensucikanNya.
Satu lagi suruhan Allah kepada Rasulullah adalah istighfar. Dan kemudian Dia terus sebut yang Dia adalah تَوّابًا (isim fa’il). Allah hendak memberitahu yang Dia telah lama menerima taubat dari dulu lagi. Ini adalah satu pernyataan yang hebat:
  1. Allah nak beritahu kepada baginda: tidakkah kau lihat apa yang Aku telah buat dulu? Lihatlah contoh Bani Israil. Mereka dulu banyak melakukan kesalahan tapi kalau mereka bertaubat, Allah akan terima. Allah hendak beritahu, kalau mereka pun Allah terima taubatnya, kalau Nabi Muhammad lagilah Allah akan terima taubat baginda. Ini adalah kerana mereka lagi teruk dari baginda tapi Allah terima juga taubat mereka.
  2. Bukan sahaja ini berita baik kepada baginda, tapi berita baik kepada mereka yang baru masuk Islam – kerana kalau terima Islam, bukankah itu juga satu taubah dan Allah sedang menyatakan yang Dia telah terima taubat mereka.
  3. Ini juga menunjukkan cinta Allah kepada baginda. Nabi disuruh untuk istighfar dan Allah terus beritahu yang Dia telah terima taubat baginda. Ini juga adalah satu lagi hadiah kepada baginda.
Kenapa baginda disuruh untuk melakukan istighfar pula? Ini kita kena berhati-hati untuk memahami perkara ini. Ada dua ekstrem dalam kalangan orang Islam; ada yang terlebih sanjung baginda sampai boleh jadi ke tahap syirik; dan ada yang buat tidak kisah sahaja dengan Rasulullah, seolah-olah mereka memperkatakan baginda seperti orang biasa sahaja (tidak kisah dengan sunnah baginda, tidak kisah dengan ajaran baginda, ibadah baginda dan sebagainya). Kedua-dua ektrem ini teruk dan tidak patut ada dalam diri kita.
Oleh itu, titik kebenaran adalah antara kedua ekstrem itu (pertengahan). Maka kita kena timbangkan, jangan terlebih dan terkurang hormat kepada baginda. Jadi, dalam ayat ini Allah bukan sahaja suruh buat baginda melakukan tasbih dan hamd, tapi Allah juga suruh untuk baginda untuk istighfar. Selalunya, fahaman kita kalau kita istighfar, ianya apabila berdosa, bukan? Dan ini yang bahaya kalau salah faham kerana ada yang mungkin tanya: apa yang Nabi buat sampai baginda kena istighfar? Ini yang kita kena berhati-hati.
Untuk memahaminya, kita kena faham tahap/peringkat/maqam. Manusia memang ada tahap yang berbeza-beza. Sebagai contoh, kita bandingkan seorang lelaki yang selalu datang awal berjemaah ke masjid (sebelum azan pun dia dah ada dah). Tiba-tiba kerana ada hal yang mengganggunya, dia terpaksa datang lewat ke masjid. Memang pergi ke masjid, tapi lewat. Oleh kerana dia memang dah biasa ke masjid awal sebelum azan, kalau dia datang lewat pun dia dah rasa bersalah, bukan?
Dan sekarang bandingkan pula dengan seorang lain yang jarang ke masjid. Sebulan sekali ke masjid pun jarang dapat. Jadi apabila dia dapat solat berjemaah di masjid walaupun dia datang selepas azan pun, dia dah rasa mereka hebat, dah rasa dia buat kebaikan, bukan? Kenapa dua kejadian yang sama, berlaku kepada orang yang lain, tapi perasaan yang berbeza?
Ini adalah kerana peringkat manusia berlainan. Jadi kebaikan itu sebenarnya adalah subjektif. Satu perbuatan yang sama, boleh dilihat sebagai kesalahan dan boleh juga dilihat sebagai kebaikan, bukan? Ianya bergantung kepada orang dan peringkat/tahap/maqam mereka. Maka, jangan kita bandingkan Nabi Muhammad itu dengan diri kita. Oleh itu, kekurangan Nabi Muhammad itu adalah kebaikan yang lebih tinggi dari kebaikan orang lain sebenarnya. Kekurangan baginda bukanlah ‘dosa’, malah ianya tetap lebih baik dari kita. Sebagai contoh, baginda ditegur dalam Surah Abasa – apabila baginda mengerutkan dahi baginda apabila ada sahabat buta datang bertanya kepada baginda semasa baginda berdakwah kepada pemuka Quraish. Adakah itu ‘dosa’? Tentu sekali tidak. Baginda tidak marah pun sahabat itu, tapi baginda hanya mengerutkan sahaja, bukan bermasam muka pun. Baginda pun sedang melakukan tugas yang besar waktu itu kerana sedang berdakwah kepada pemuka Quraish (baginda berharap mereka dapat beriman dan lebih ramai lagi akan beriman ikut mereka). Dan sahabat yang bernama Abdullah ibn Maktum itu pun buta jadi tak nampak dan tidak terasa pun dari perbuatan Nabi itu. Tapi baginda tetap ditegur kerana kedudukan baginda yang tinggi, sampaikan kalau tersilap sikit sahaja pun dah kena tegur.
Dan Allah jadikan kejadian itu sebagai pengajaran untuk kita – salah satunya, yang boleh tegur Nabi hanyalah Allah sahaja – kita tidak layak nak tegur baginda dan kata baginda ada buat salah, ada kekurangan – ini bukan kerja kita dan bukan tahap kita untuk buat begitu (siapa kita?). Hanya Allah sahaja yang layak menegur baginda. Dan teguran Allah itu telah menyebabkan Nabi rasa tidak selesa, maka Allah terus beritahu yang Allah telah maafkan baginda – Allah bersifat تَوّابًا.
Dan istighfar itu memang disukai oleh Allah – samada ada dosa atau tidak. Sebab itulah Nabi suka istighfar. Dan ini tidaklah dilakukan kalau telah melakukan dosa sahaja. Macam Nabi Ibrahim semasa baginda bina Ka’bah bersama Nabi Ismail – baginda tengah bina Ka’bah pun minta taubat juga. Ini disebut dalam Baqarah:128 وَتُب عَلَينا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوّابُ الرَّحيمُ (dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang). Kenapa pula baginda minta ampun sedangkan baginda sedang melakukan kerja yang mulia – membina Ka’bah? Bukan buat dosa pun. Ini adalah kerana mungkin ada kekurangan dalam apa yang baginda lakukan – entah silap letak bata kah atau sebagainya. Oleh kerana itu permohonan tawbah para Rasul dan tawbah kita memang berlainan. Selalunya, kalau kita bertaubat, itu memang kerana kita ada buat dosa, tapi para rasul tidak berdosa (mereka maksum). Tapi yang mereka risaukan kerana standard mereka amat tinggi kalau dibandingkan dengan kita. Oleh itu, jangan kita sangka Allah suruh baginda bertaubat kerana baginda buat dosa. Jangan sesekali kita kata begitu  kerana itu adalah fahaman yang amat salah sekali.

Penutup:
Ada dua bahagian utama surah ini. Pertama, tentang kejayaan Islam dan keduanya, adalah tentang tasbeehh, hamd dan istighfar.
  1. Tasbih adalah penyucian. Sekarang rumah Allah telah disucikan dari berhala. maka inilah masa untuk menyucikan hati pula. Setalah yang luar menjadi bersih, maka yang di dalam pun kena disucikan. Ini hebat kerana kalau ikut logik kita, kalau dah menang, mesti Allah suruh kita bersyukur, bukan? Akan tetapi Allah suruh kita melakukan tasbeeh. Allah suruh Nabi sibukkan diri baginda dengan tasbeeh, hamd dan istighfar. Kenapa? Kerana selalunya kejayaan akan menyebabkan orang rasa bangga diri dan ego jadi tinggi. Maka Allah ajar kita untuk jaga hati kita supaya jangan jadi macam itu. Kalau sudah musnahkan berhala yang di luar Ka’bah itu, maka jaga dengan ‘berhala’ yang dalam hati kita pula. Jadi kita menuhankan diri kita pula dengan rasa bangga diri dan sombong. Maka untuk menjaganya, kena besarkan Allah dan istighfar kepada Allah.
  2. Rasulullah ada dua misi utama dalam hidupnya – Ibadah dan dakwah. Untuk memenuhi keduanya, baginda kena berkomunikasi dengan Allah (dalam ibadah) dan berkomunikasi dengan manusia (dakwah). Anda rasa baginda lebih suka untuk berkomunikasi dengan Allah atau dengan manusia? Tentulah kemanisan hidup baginda adalah kalau dapat berkomunikasi dengan Allah dan kita tahu dari kisah kehidupan baginda bagaimana perkara ini terbukti – lihatlah cara solat baginda. Dan sekarang apabila sudah hampir sampai ke hujung hayat baginda, baginda pilih komunikasi yang mana agaknya? Bacalah kisah bagaimana apabila baginda diberi pilihan samada untuk terus di dunia atau untuk mati, baginda pilih untuk mati dan berada di langit, bukan? Walaupun para Rasul lebih suka untuk beribadat kepada Allah, tapi mereka kena juga menjalankan tugas dakwah mereka dan kena berkomunikasi dengan manusia. Dan ini adalah tugas yang susah kerana memang susah nak bercakap dengan manusia. Dalam menyampaikan dakwah itu mereka kena hina, kena tolak dan sebagainya. Maka kalau dibandingkan antara nak beribadat dan dakwah kepada manusia, tentulah mereka lebih suka bercakap dengan Allah, bukan? Tapi Allah tetap suruh mereka berdakwah kepada manusia. Dan sekarang, selepas baginda telah menang, tugas baginda dah selesai dah – baginda sekarang boleh beribadat dengan melakukan tasbeeh, hamd dan istighfar. Baginda sekarang dibenarkan untuk memperbanyakkan ibadat kerana tugas baginda dah selesai. Baginda sudah mendapat kebenaran dari Allah. Kerana itulah dari riwayat selepas peristiwa Pembukaan Mekah, sahabat kata baginda memperbanyakkan tasbeeh, hamd dan istighfar.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Masad.

x

No comments:

Post a Comment