x
Surah An-Naba' - سورة النبأ
[78:31 - 78:40] - Ini adalah sebahagian dari keseluruhan surah. [Papar keseluruhan surah]
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.
(An-Naba' 78:31) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣
(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;
(An-Naba' 78:32) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣
Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;
(An-Naba' 78:33) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣
Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman;
(An-Naba' 78:34) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣
Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta;
(An-Naba' 78:35) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣
Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya),
(An-Naba' 78:36) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣
Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);
(An-Naba' 78:37) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣
(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.
(An-Naba' 78:38) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣
Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!
(An-Naba' 78:39) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣
Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)".
(An-Naba' 78:40) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 583 - ٥٨٣Tafsir Surah Naba’ Ayat 31 – 40 (Keadaan di akhirat)
Ayat 31:
إِنَّ لِلمُتَّقينَ مَفازًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, for the righteous is attainment¹ –
- Of security, success and reward, including escape and safety from Hell.
(MALAY)
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan,
Dan kepada orang-orang yang bertaqwa, mereka akan diberikan kejayaan. Lafaz مَفازًا dalam ayat bukan hanya bermaksud ‘kejayaan’ biasa, tapi kejayaan melepasi perkara yang buruk yang tidak diingini. Ini adalah kerana, mereka itu lepas dari termasuk dalam neraka. Kerana semua manusia kena melalui Titian Sirat dan titian itu sebenarnya melalui neraka. Mereka yang bertaqwa akan dapat melepasi neraka itu. Dan mereka akan nampak dengan mata mereka sendiri benda yang mereka telah lepasi itu, iaitu neraka jahannam. Tentulah ini adalah kejayaan yang lebih besar lagi dari hanya ‘kejayaan’ sahaja. Kerana kalau kita lepas dari bahaya itulah yang menyebabkan kita lebih bersyukur, bukan?
Lihatlah ayat ini menggunakan lafaz ‘muttaqin’, bukan ‘mukminin’. Maknanya, mereka bukan beriman sahaja, tapi juga bertaqwa. Maknanya, tingkatan yang lebih tinggi lagi dari beriman sahaja.
Apakah maksud taqwa? Mereka yang bertaqwa itu adalah mereka yang menjaga-jaga segala perbuatan mereka kerana takut. Mereka itu amat berhati-hati dalam perbuatan seharian mereka, kerana mereka takut kalau mereka silap langkah, mereka akan menyebabkan Allah marah dan mereka masuk neraka. Oleh itu, mereka buat sesuatu untuk selamat dari azab neraka. Taqwa bukan perasaan sahaja tapi ada perbuatan kena dilakukan. Iaitu kena jaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Dalam setiap perbuatan mereka, mereka akan tanya diri mereka: “apa hukum Allah tentang perkara ini?”
Ayat 32: Mereka bukan sahaja akan selamat dari neraka tapi akan ditempatkan di dalam syurga.
حَدائِقَ وَأَعنابًا
Sahih International
Gardens and grapevines
Malay
(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;
Allah menggunakan lafaz حَدائِقَ yang bermaksud taman yang tinggi pagarnya yang orang lain tak dapat masuk.
Dan Allah sebutkan anggur. Anggur adalah makanan dan di dalamnya juga telah ada minuman. Jadi ianya adalah jenis makanan yang dua dalam satu.
Ayat 33: Dan di dalam syurga itu penghuni syurga akan diberikan pasangan hidup. Kerana kalau duduk di tempat yang penuh nikmat, tapi hidup berseorang sahaja, tentu tidak menarik dan tidak menggembirakan. Kerana kita sebagai manusia, suka untuk menikmati kesenangan bersama dengan orang yang kita sayang, bukan?
وَكَواعِبَ أَترابًا
Sahih International
And full-breasted [companions] of equal age
Malay
Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;
Penghuni syurga akan dipasangkan dengan bidadari yang cantik. Masih perawan lagi. Ada yang kata ‘montok’. Lafaz كَواعِبَ bermaksud yang timbul buah dadanya.
Lafaz أَترابًا bermaksud umur mereka amat sesuai sekali. Yang sebaya umurnya. Muda semua, tidak ada yang tua. Dan mereka mempunyai umur yang sama. Tidak pasti umurnya berapa. Tapi takkan jadi tua daripada umur tersebut, kerana umur tidak bertambah di syurga.
Ayat 34:
وَكَأسًا دِهاقًا
Sahih International
And a full cup.
Malay
Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman;
Dan mereka akan minum dari piala yang dipenuhi dengan air yang sedap dan menarik. Perkataan كَأسًا hanya digunakan untuk gelas yang berisi penuh dengan air mahal. Bukan gelas biasa. Air minuman itu banyak sangat sampai melimpah dari gelas.
Ayat 35:
لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا كِذّابًا
Sahih International
No ill speech will they hear therein or any falsehood –
Malay
Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta;
Di syurga, mereka tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia dan berunsur penipuan. Di awal surah, Allah menceritakan bagaimana kafir bercakap tentang perkara sia-sia. Kerana bertanya tentang akhirat adalah lagha. Kerana mereka bertanya bukan kerana hendak tahu, tapi kerana hendak mengejek.
Dan pada zaman sekarang pun banyak kita mendengar perkataan penipuan di dalam media di mana-mana. Kita pun kena tohmah dengan macam-macam tohmahan. Kita yang hendak menyampaikan agama ini pun kena kutuk dan dihina. Allah suruh kita bersabarlah sahaja, kerana memang itu akan berlaku, dan hanya di syurga sahajalah kita takkan dengar benda-benda macam itu lagi dah.
Ayat 36: Dari siapakah pemberian itu?
جَزاءً مِن رَبِّكَ عَطاءً حِسابًا
Sahih International
[As] reward from your Lord, [a generous] gift [made due by] account,
Malay
Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya),
Semua ini adalah pemberian dari Allah yang عَطاءً – melebihi dari apa yang layak kita dapat. Bayangkan kita buat amal kebaikan tidak sampai seratus tahun pun kita hidup, tapi diberi balasan nikmat selama-lamanya. Bukan وِفاقًا seperti yang dikatakan untuk penghuni neraka dalam ayat ke 26 sebelum ini. Kalau kepada penghuni neraka, Allah bagi cukup-cukup, bertepatan dengan perbuatan mereka. Tapi kepada penghuni syurga, Allah bagi berlebih-lebih lagi.
Di dalam culture Arab, perkataan hisaaban bermaksud pemberian kepada seseorang yang sampai orang itu akan berkata, “cukup, cukup”, sebab dia dah tak sanggup terima dah sebab banyak sangat. Semoga kita dimasukkan sebagai penghuni syurga.
Allah memberitahu bahawa balasan itu adalah dari Tuhan kamu, iaitu Allah. Dia dah beri kita macam-macam dah. Lafaz ‘kamu’ yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad. Dan apabila Allah cakap macam tu, kita tahu ianya sesuatu yang bagus kerana Allah memberikan segala kebaikan kepada Nabi Muhammad.
Ayat 37: Siapakah pula Allah itu? Allah terangkan dalam ayat ini pula:
رَبِّ السَّماواتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُمَا الرَّحمٰنِ ۖ لا يَملِكونَ مِنهُ خِطابًا
Sahih International
[From] the Lord of the heavens and the earth and whatever is between them, the Most Merciful. They possess not from Him [authority for] speech.
Malay
Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);
رَبِّ السَّماواتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُمَا
Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya,
Allah memberitahu dan menekankan yang Dialah rabb. Rabb maksudnya yang mencipta, mentadbir dan memelihara. Bukan setakat menjadikan sahaja. Selepas Allah jadikan, Allah akan jaga, tadbir dan pelihara. Tidaklah Allah jadikan alam ini, kemudian biarkan sahaja.
Dan Allah tadbir semua sekali: langit Allah tadbir, bumi pun Allah tadbir juga. Dan bukan sahaja dua alam itu, tapi apa sahaja yang antara keduanya – maksudnya semua sekali Allah tadbir. Dari sebesar-besarnya, sehinggalah sekecil-kecilnya. Tidak ada yang terlepas dari pandangan dan tadbiran Allah.
الرَّحمٰنِ
Tuhan Yang Maha Pemurah,
Allah menekankan sifat RahmanNya di dalam ayat ini. Allah memberitahu kemuliaanNya dan keagunganNya. Sifat ar-Rahman tak sama dengan sifat ar-Raheem. ar-Raheem adalah sifat tapi tidaklah semestinya tengah buat. Sebagai contoh, seorang yang bersifat pemurah dan suka tolong orang, tidaklah dia sedang menolong orang sentiasa, bukan? Begitulah juga dengan ar-Raheem. Tapi apabila Allah menggunakan lafaz SifatNya ar-Rahman dalam ayat ini, maksudnya Allah memang sedang beri pemberian kepada manusia. Perbincangan tentang kedua sifat ini adalah Surah Fatihah.
لا يَملِكونَ مِنهُ خِطابًا
tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya
Orang kafir, apabila mereka dengan Allah bersifat ar-Rahman, mereka rasa mungkin mereka boleh pujuk Allah kalau mereka dikatakan kena masuk neraka. Tapi Allah kata tidak mungkin untuk mereka. Mereka nak bercakap dengan Allah pun tak boleh. Makhluk tidak ada kuasa untuk keluar sepatah perkataan pun. Waktu itu semua akan tunduk dalam ketakutan, nak cakap apa waktu itu? Memang tidak akan berani nak berkata-kata. Maknanya, tidak boleh nak mula bercakap tanpa Allah suruh bercakap.
Ayat 38: Allah menceritakan keadaan pada Mahsyar nanti:
يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا ۖ لا يَتَكَلَّمونَ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَقالَ صَوابًا
Sahih International
The Day that the Spirit and the angels will stand in rows, they will not speak except for one whom the Most Merciful permits, and he will say what is correct.
Malay
(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.
يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا
pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf
Ulama tafsir sepakat mengatakan lafaz الرّوحُ dalam ayat ini bermaksud Malaikat Jibrail. Kenapa disebutkan tentang beliau sedangkan sudah disebut tentang malaikat-malaikat? Kerana sebagai penghormatan kepada Jibrail kerana kedudukannya. Disebut secara khusus sebagai menghormatinya.
Di Mahsyar nanti, para malaikat yang rapat dengan Allah pun duduk tegak berdiri, mereka tunduk menunggu apa Allah nak kata dan lakukan. Mereka pun duduk bersaf-saf, apatah lagi manusia? Manusia juga akan duduk bersaf-saf menunggu dalam ketakutan.
لا يَتَكَلَّمونَ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ
mereka tidak ada yang berani berkata-kata melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah,
Para malaikat itu sendiri pun tidak berani untuk bercakap. Kenapa disebut tentang perkara ini? Kerana puak Musyrikin Mekah itu selalu sembah malaikat; selain dari sembah malaikat, mereka juga seru para malaikat itu dan minta syafaat kepada malaikat; mereka kata malaikat itu adalah anak perempuan Allah dan mereka kata kalau mereka sembah dan puja malaikat, tentu nanti malaikat itu akan tolong minta Allah selamatkan mereka yang selalu menyembah mereka. Maknanya, musyrikin Mekah itu berharap para malaikat itu akan beri syafaat kepada mereka;
Jadi, Allah musnahkan harapan Musyrikin Mekah itu dengan mengatakan yang para malaikat pun tidak berani berkata apa-apa di Mahsyar nanti. Lalu bagaimana nak jadi wakil, jadi ‘peguam’ untuk Musyrikin itu kalau nak cakap pun mereka tidak berani?
Melainkan yang berani berkata-kata adalah mereka yang diberi izin terlebih dahulu oleh Allah untuk berkata.
وَقالَ صَوابًا
serta ia berkata benar.
Dan syafaat yang kalau diberikan pun adalah tepat kepada orang tertentu sahaja. Mereka tidak dapat berkata-kata melainkan kalau Allah memberi kebenaran kepada mereka. Dan mereka hanya boleh berkata yang benar-benar sahajalah. Kerana kaum kafir ada yang berpendapat bahawa malaikat akan menyelamatkan mereka. Sebab mereka tawasul kepada malaikat juga. Tetapi tidaklah boleh malaikat itu hendak menipu untuk mempertahankan sesiapa sahaja. Malaikat akan berkata benda yang benar terjadi sahaja. Jadi kalau mereka melakukan syirik, bagaimana lagi mereka terselamat?
Ayat ini juga sebagai tempelak kepada masyarakat Islam kita pun yang sangka mereka boleh mendapat syafaat dari malaikat. Kerana ada juga yang seru malaikat di malam hari, beri salam dan sebagainya. Ada yang mengamalkan untuk minta tolong terus dari malaikat. Itu semua adalah perbuatan syirik yang diajar oleh syaitan. Mereka amalkan itu kerana diajar oleh ajaran-ajaran sesat, antaranya termasuk ajaran silat yang telah diserapi oleh ajaran sesat yang datang dari dulu lagi. Mereka pakai terima sahaja, kononnya itu adalah kebaikan. Ini kerana masyarakat kita jahil tentang agama dan tentang wahyu.
nota: Dalam ayat ini ruh, atau jibreel disebut dahulu padahal dalam banyak ayat lain, malaikat lain disebut dahulu. Sebab ayat ini berkenaan dengan authoriti dan Jibrael adalah malaikat yang paling banyak autoriti.
Ada yang kata ‘ruh’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah anak cucu Adam.
Ada pula yang berkara bahawa ‘ruh’ yang dimaksudkan di sini adalah Quran. Dan ada lagi pendapat-pendapat lain. Allahu a’lam.
Ayat 39:
ذٰلِكَ اليَومُ الحَقُّ ۖ فَمَن شاءَ اتَّخَذَ إِلىٰ رَبِّهِ مَآبًا
Sahih International
That is the True Day; so he who wills may take to his Lord a [way of] return.
Malay
Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!
ذٰلِكَ اليَومُ الحَقُّ
Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya;
Allah telah memberi peringatan kepada kita berkenaan Hari Kiamat itu. Maka kenalah ambil perhatian. Jangan berlengah lagi dengan kejahilan dan kealpaan. Peringatan yang diberikan itu adalah untuk kebaikan kita, supaya kita dapat bersiap-siap. Jangan nanti dikatakan kita tidak diberi peringatan pula.
Ianya adalah haq: pasti akan berlaku. Ianya adalah hari kebenaran di mana kebenaran akan ditegakkan. Setiap manusia akan dibalas dengan apa yang patut mereka terima, tidak ada yang akan dizalimi. Keadilan akan ditegakkan.
فَمَن شاءَ اتَّخَذَ إِلىٰ رَبِّهِ مَآبًا
maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya
Sesiapa yang hendak mendapat kebaikan pada hari itu, kebaikan semasa di akhirat nanti, maka carilah cara untuk bersedia kepadanya. Kenalah beramal semasa di dunia lagi. Kena buat persiapan. Jangan menyesal nanti pada hari itu kerana sudah tidak boleh buat apa-apa lagi. Tidak ada sesiapa yang akan tolong dan tidak boleh pulang ke dunia untuk ubah amalan kita. Kena buat persedian dari awal lagi. Jangan leka dan berlengah lagi.
Ayat 40:
إِنّا أَنذَرناكُم عَذابًا قَريبًا يَومَ يَنظُرُ المَرءُ ما قَدَّمَت يَداهُ وَيَقولُ الكافِرُ يا لَيتَني كُنتُ تُرابًا
Sahih International
Indeed, We have warned you of a near punishment on the Day when a man will observe what his hands have put forth and the disbeliever will say, “Oh, I wish that I were dust!”
Malay
Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”.
إِنّا أَنذَرناكُم عَذابًا قَريبًا
Sesungguhnya, Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat
Allah menekankan bahawa bukan Nabi Muhammad yang memberi peringatan ini, tetapi Allah sendiri. Nabi Muhammad hanya sampaikan sahaja. Orang Kafir Mekah marah Nabi Muhammad kerana mereka sangka yang Nabi yang sibuk reka perkara yang tidak ada. Maka Allah tegaskan yang ini bukan peringatan dari manusia tapi dari Dia.
Allah juga mengingatkan yang Hari Kiamat itu dekat sahaja. Orang kafir sahaja yang rasa ianya jauh. Lihat surah Maarij:6-7.
يَومَ يَنظُرُ المَرءُ ما قَدَّمَت يَداهُ
iaitu hari seseorang melihat apa yang telah dihantar ke depan;
Maksud yang dihantar ke depan itu adalah amalan – samada baik atau buruk. Segala perbuatan kita akan diarkibkan dalam Kitab Amalan kita dan kita akan dapat melihatnya nanti. Semua amalan kita direkod dan dihantar dahulu ke depan.
Baik atau buruk kita boleh lihat sendiri apa yang telah dilakukan. Kita akan baca sendiri buku amalan kita itu. Ianya akan dibentangkan di hadapan kita dan kita akan baca sendiri. Bayangkan kalau kita terpaksa baca dan sebut amalan kita yang buruk? Mana nak letak muka kita waktu itu?
وَيَقولُ الكافِرُ يا لَيتَني كُنتُ تُرابًا
dan orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah
Ini adalah kata-kata penyesalan orang kafir dimana apabila mereka melihat amal mereka yang buruk itu, mereka akan berkata: alangkah bertuahnya aku kalau aku jadi tanah sahaja, tak jadi manusia.
Pada masa itu, putus haraplah semua orang kafir. Mereka mengharap mereka dahulunya adalah tanah, jadi habuk sahaja. Walaupun pada adat mereka, habuk itu adalah satu yang hina. Dan bukankah mereka jenis kaum yang rasa tinggi diri dulu semasa di dunia? Tapi apabila mereka melihat apa yang berlaku di akhirat itu, mereka berharap sungguh biarlah mereka dulu jadi tanah sahaja.
Sebelum mereka ditunjukkan amal perbuatan mereka, binatang-binatang akan dinilai. dan kemudian binatang itu akan dijadikan tanah, begitu sahaja. Kerana binatang tidak masuk syurga dan tidak masuk neraka. Oleh itu, orang orang kafir melihat dan berharap, alangkah baiknya jika mereka dahulu tidak diwujudkan, jadi tanah sahaja. Kerana tidaklah mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Allahu a’lam. Tamat tafsir an-Naba’ ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Naaziat.
No comments:
Post a Comment