Senarai

Menu

Pages - Menu

Pages

Pages - Menu

Sunday, October 14, 2018

Tafsir Surah Insan Ayat 6 – 15 (Nikmat dalam syurga)

x
x

Surah Al-Insaan - سورة الإنسان

[76:6 - 76:15] - Ini adalah sebahagian dari keseluruhan surah. [Papar keseluruhan surah]


76_6
Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.
(Al-Insaan 76:6) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩

76_7
(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.
(Al-Insaan 76:7) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩

76_8
Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,
(Al-Insaan 76:8) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩

76_9
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,
(Al-Insaan 76:9) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩

76_10
"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut".
(Al-Insaan 76:10) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩

76_11
Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).
(Al-Insaan 76:11) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩

76_12
Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.
(Al-Insaan 76:12) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩

76_13
Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;
(Al-Insaan 76:13) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩

76_14
Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.
(Al-Insaan 76:14) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩

76_15
Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) -
(Al-Insaan 76:15) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 579 - ٥٧٩


x

Tafsir Surah Insan Ayat 6 – 15 (Nikmat dalam syurga)


Ayat 6:

عَينًا يَشرَبُ بِها عِبادُ اللَّهِ يُفَجِّرونَها تَفجيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
A spring of which the [righteous] servants of Allāh will drink; they will make it gush forth in force [and abundance].
(MELAYU)
(yaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya.

عَينًا يَشرَبُ بِها عِبادُ اللَّهِ

(yaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, 
Air yang diberi minum kepada ahli syurga itu diambil dari mata air dalam syurga. Kalau air dari mata air, tentunya ia adalah air yang amat segar dan sedap. Kalau dalam dunia pun air mata air dah sedap, apatah lagi kalau mata air itu dari syurga pula.
Hebatnya di syurga nanti ahli syurga boleh mengawal mata air ataupun sungai supaya ianya keluar dalam rumah pada bila-bila masa sahaja yang mereka perlukan sampai mereka tidak perlu ke luar untuk mencari air. Ini tentu berita yang amat menggembirakan orang Arab waktu itu yang susah untuk mendapat air. Maka ini adalah motivasi kepada mereka. 
Yang dapat minum air-air ini adalah kalangan hamba istimewa yang taat kepada Allah semasa mereka hidup di dunia. 
Apabila digunakan kalimah ibaadullah atau ibaadurrahman dalam Qur’an, ia merujuk kepada hamba yang taat. Walaupun semua makhluk dari segi teknikal adalah hamba Allah juga, tapi bukanlah semuanya taat, bukan?

يُفَجِّرونَها تَفجيرًا

yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya.
Ahli syurga dapat mengawal mata air ini. Air itu amat banyak sangat dan kita boleh bayangkan tempat keluar air seperti air terjun. Sumber air itu amat banyak sekali dan tidak pernah berkurangan. 
Ayat ini bukanlah bermaksud mereka kena gali sendiri mata air dalam syurga itu. Seperti yang kita tahu, tidak ada kerja dalam syurga. Maka yang dimaksudkan mereka beri arahan sahaja untuk keluar mata air itu dari mana-mana kawasan dalam syurga.
Dan kemudian mereka boleh mengarahkan ke mana air itu pergi. Mereka boleh lalukan di bawah rumah mereka, lalu atas rumah, dalam rumah atau bagaimana sahaja kehendak mereka.

Ayat 7: Sekarang Allah beritahu kenapa mereka boleh dapat nikmat yang hebat itu. 

يوفونَ بِالنَّذرِ وَيَخافونَ يَومًا كانَ شَرُّهُ مُستَطيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
They [are those who] fulfill [their] vows and fear a Day whose evil will be widespread.
(MELAYU)
Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.

يوفونَ بِالنَّذرِ

Mereka menunaikan nazar
Mereka ini adalah orang-orang yang telah memenuhi segala janji-janji mereka terhadap Allah yang mereka berjanji untuk melakukannya. Iaitu janji untuk taat kepada Allah. Maksudnya mereka telah sempurnakan segala hukum wajib. 
Nazar adalah janji untuk melakukan sesuatu. Secara umumnya, nazar itu wajib dipenuhi apabila cukup syaratnya. Untuk menjadikan nazar itu wajib dilaksanakan perlu cukup rukun-rukun nazar:
  • Sighah; Hendaklah disebut dengan perkataan dan
  • Orang yang bernazar
  • Perkara yang dinazarkan.
Ada beberapa jenis nazar yang dibincangkan dalam pembelajaran agama Islam:
1. Janji untuk melakukan sesuatu ibadah untuk mendapat redha Allah.
2. Janji untuk melakukan ibadah jikalau Allah memberikan sesuatu yang mereka pinta.
3. Nazar untuk melakukan perkara yang tidak elok.
4. Nazar untuk melakukan perkara yang harus.
Nazar 1 itu adalah bagus.
Nazar 2 itu tidak disukai kerana janji nak buat ibadah hanya apabila Allah beri sesuatu. Ini adalah kedekut dengan Allah. Tapi bila dah sebut, kenalah buat. Ramai masyarakat kita buat perkara ini kerana mereka tidak sedar keburukannya. Sepatutnya mereka terus buat ibadah itu dan kemudian berdoa kepada Allah atas apa-apa kehendak mereka.
Nabi pernah bersabda tentang perkara ini: Dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata,
نَهَى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – عَنِ النَّذْرِ قَالَ « إِنَّهُ لاَ يَرُدُّ شَيْئًا ، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ »
Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang untuk bernazar, baginda bersabda: ‘Nazar sama sekali tidak bisa menolak sesuatu. Nazar hanyalah dikeluarkan dari orang yang bakhil (pelit)’.” (HR. Bukhari no. 6693 dan Muslim no. 1639)
Maksudnya, nazar itu tidaklah mengubah takdir. Tapi kalau ia terjadi kerana ia memang bertepatan dengan kehendak Allah dari dulu lagi, maka orang itu kena buatlah ibadat kepada Allah. Sedangkan dia kedekut, kalau tak dapat apa yang dia minta itu, dia tak buat pun ibadah itu.
Nazar 3 itu memang tidak boleh disempurnakan.
Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda bersabda,
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Barangsiapa yang bernazar untuk taat pada Allah, maka penuhilah nazar tersebut. Barangsiapa yang bernazar untuk bermaksiat pada Allah, maka janganlah memaksiati-Nya. ” (HR. Bukhari no. 6696)
Nazar 4 itu pula khilaf di kalangan ulama. Kerana ia bukan nazar nak buat ibadah, tapi buat perkara harus. Sebagai contoh, nazar nak botakkan kepala kalau pasukan bolanya menang. Ini adalah nazar yang amat bodoh (pasal bola pun nak nazar?). Dan ia tidak tepat pun kerana nazar ini sepatutnya berkenaan ibadah dan botak kepala bukanlah ibadah. Juga berlari balik kampung dari KL ke Kedah (ada peminat bola karut tiada kerja yang buat nazar begini juga).
Ulama khilaf samada Nazar jenis ke 4 ini perlu disempurnakan atau tidak. Ada yang kata ia tidak perlu dilakukan dan ada yang kata kena bayar kafarah. Ini berdasarkan hadis dari Nabi:
النذر نذران : فما كان لله ؛ فكفارته الوفاء وما كان للشيطان ؛ فلا وفاء فيه وعليه كفارة يمين
Nazar itu ada dua macam. Jika nazarnya adalah nazar taat, maka wajib ditunaikan. Jika nazarnya adalah nazar maksiat – kerana syaitan -, maka tidak boleh ditunaikan dan sebagai gantinya adalah menunaikan kafarah sumpah.” (HR. Ibnu Jarud, Al Baihaqi. Dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam As Silsilah Ash Shohihah no. 479)
Kafarah sumpah adalah:
  1. Memberi makan kepada sepuluh orang miskin, atau
  2. Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin, atau
  3. Memerdekakan satu orang budak
Jika tidak mampu ketiga hal di atas, barulah menunaikan pilihan berpuasa selama tiga hari. (Lihat Surat Al Maidah ayat 89)
Maka janganlah bernazar perkara yang bodoh-bodh. Pernah terjadi pada zaman Nabi Muhammad. Ini teradapat dalam hadis riwayat imam Bukhari daripada Ibnu Abbas telah memberitahu:
Adalah nabi S.A.W ketika berkhutbah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang bangkit dan bertanya tentang dirinya. Maka mereka (para sahabat) bertanya : Abu Israel telah bernazar untuk sentiasa bangun, tidak duduk, tidak berteduh, tidak bercakap dan berpuasa. Maka jawab baginda S.A.W yang bermaksud: Biarkan maka bercakaplah, berteduhlah, duduklah dan tunaikan puasanya.
Hadis ini menunjukkan kepada kita bagaimana Rasulullah S.A.W menyuruh orang yang bernazar tadi untuk hanya berpuasa kerana puasa merupakan perkara ibadat dan taat. Maka menunaikan nazar berpuasa itu adalah wajib.
Jangan bernazar untuk menyusahkan diri, tak perlu nak seksa diri:
حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ أَخْبَرَنِي يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ زَحْرٍ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ أُخْتَ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ مَاشِيَةً فَسَأَلَ عُقْبَةُ عَنْ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مُرْهَا فَلْتَرْكَبْ فَظَنَّ أَنَّهُ لَمْ يَفْهَمْ عَنْهُ فَلَمَّا خَلَا مَنْ كَانَ عِنْدَهُ عَادَ فَسَأَلَهُ فَقَالَ مُرْهَا فَلْتَرْكَبْ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ عَنْ تَعْذِيبِ أُخْتِكَ نَفْسَهَا لَغَنِيٌّ
[[[Telah menceritakan kepada kami [Husyaim] telah mengabarkan kepadaku [Yahya bin Sa’id] dari [Ubaidullah bin Zahr] dari [Abu Sa’id] dari [Abdullah bin Malik] bahawa saudara perempuan [Uqbah bin Amir] bernadzar untuk menunaikan Haji dengan berjalan kaki. Uqbah lalu menanyakan hal itu kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, bersabda: “Perintahkanlah kepadanya agar dia menaiki kenderaan.” Kemudian Uqbah menyangka bahawa baginda belum memahami ungkapannya, maka ketika orang yang berada di sisi baginda beranjak pergi, dia pun mengulangi pertanyaannya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lantas bersabda: “Perintahkanlah kepadanya agar dia menaiki kendaraan. Kerana Allah ‘azza wajalla tidak perlu atas penyeksaan saudarimu atas dirinya sendirinya.”]]]

وَيَخافونَ يَومًا كانَ شَرُّهُ مُستَطيرًا

dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.
Dan mereka ini jenis orang yang takut kepada azab yang merata-rata nanti di akhirat. Dan kerana itu mereka memperbaiki perbuatan mereka. Mereka berhati-hati dengan segala perbuatan mereka. Mereka takut mereka dimasukkan ke dalam neraka. 
Jadi kalau tidak ada rasa takut kepada neraka, manusia tidak akan jaga amal perbuatan mereka. Jadi rasa takut kenalah ada dalam hati kita. Dan nak dapat takut itu kenalah selalu baca Qur’an kerana Qur’an selalu menyebut tentang azab-azab akhirat. Itu sahaja cara untuk menimbulkan rasa takut kerana kita tidak dapat nampak azab itu sekarang.

Ayat 8: Kalau dalam ayat sebelum ini telah disebut menjaga hubungan dengan Allah, sekarang disebut penjagaan hubungan dengan sesama hamba. 

وَيُطعِمونَ الطَّعامَ عَلىٰ حُبِّهِ مِسكينًا وَيَتيمًا وَأَسيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they give food in spite of love for it¹ to the needy, the orphan, and the captive,
  • The meaning here may also be “out of love for Him,” i.e., Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).
(MELAYU)
Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.

وَيُطعِمونَ الطَّعامَ عَلىٰ حُبِّهِ

Dan mereka memberikan makanan yang disukainya
Mereka juga semasa di dunia selalu memberi makan kepada orang yang memerlukan. Mereka tidak kedekut untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. 
Makanan yang mereka beri bukanlah makanan yang mereka buang, tapi mereka juga sayang kepada makanan itu. Mereka juga memerlukan makanan itu tapi mereka kongsi dengan orang lain. Ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman Allah Swt. dalam ayat lain:
لَنْ تَنالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ
Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebagian harta yang kamu cintai. (Ali Imran: 92)
Inilah sedekah yang terbaik, iaitu waktu kita masih menginginkan harta itu. Di dalam hadis sahih disebutkan:
«أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَأْمَلُ الْغِنَى وَتَخْشَى الْفَقْرَ»
Sedekah yang paling utama ialah yang engkau keluarkan, sedangkan engkau dalam keadaan sihat lagi kikir, mengharapkan kaya dan takut jatuh miskin.
Atau, ia bermaksud mereka berkongsi makanan itu kerana mereka kasih kepada Allah. Atau kerana mereka kasih kepada sesama makhluk. Dan pendapat ini dikuatkan dengan ayat selepas ayat ini nanti. 
Kepada siapa mereka beri makan?

مِسكينًا وَيَتيمًا وَأَسيرًا

kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.
Disebut tiga golongan ini kerana mereka yang selalu diabaikan. Mereka tidak ada peluang dan ruang yang banyak untuk mendapatkan makanan dan kerana itu mereka memerlukan bantuan dari orang yang ada.
Selalu kita dengar bantu dan beri makan kepada orang miskin dan anak yatim. Tapi ayat ini menambah ‘orang yang ditawan’. Ini lain dari kebiasaan dan ia menjadi perbincangan di kalangan ulama juga.
Adat sebelum Islam, tawanan perang dipenjarakan dan dirantai. Untuk sumber makanan, mereka dibebaskan sementera untuk meminta sedekah di jalanan untuk mendapatkan makanan. Tapi setelah Islam terbentuk, adat ini dimansuhkan. Tawanan perang ada hukumnya sendiri. Samada diberikan sebagai hamba kepada umat Islam atau kalau mereka dipenjarakan, kerajaan Islam bertanggungjawab untuk beri makanan kepada mereka.
Oleh itu, tawanan yang dimaksudkan bukanlah tawanan jenis itu. Maka ia adalah dalam bentuk umum. Iaitu merangkumi mereka yang pergerakan mereka disekat samada Muslim atau tidak, tawanan perang atau penjenayah yang dipenjarakan dan kena meminta untuk mendapatkan makanan. Kerana mungkin setelah mereka ditangkap, kerajaan tidak memberikan makanan kepada mereka.
Secara umum, membantu beri makanan kepada sesiapa yang memerlukan adalah perbuatan yang mulia dan dianjurkan dalam Islam. Tidak kira samada mereka itu miskin, anak yatim, tawanan atau apa-apa sahaja keadaan. Kalau nak disenaraikan mungkin terlalu banyak maka Allah beri beberapa contoh sahaja dalam ayat ini.
Juga tawanan yang dimaksudkan itu mungkin sahaja hamba-hamba mereka. Kerana hamba-hamba selalunya adalah dari tawanan perang. Apabila ada hamba, maka kena beri mereka makanan dari apa yang kita makan dan pakaian dari apa yang kita pakai. Inilah konsep kehambaan dalam Islam. Tidaklah mereka itu seperti filem ‘kunta kinte’ yang dihina dan direndahkan martabat mereka dan dibentak-bentak.

Ayat 9: Kenapa mereka melakukan semua itu?

إِنَّما نُطعِمُكُم لِوَجهِ اللَّهِ لا نُريدُ مِنكُم جَزاءً وَلا شُكورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Saying], “We feed you only for the countenance [i.e., approval] of Allāh. We wish not from you reward or gratitude.
(MELAYU)
Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.

إِنَّما نُطعِمُكُم لِوَجهِ اللَّهِ

Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah,
Mereka memberi makanan kepada orang yang memerlukan itu kerana mereka ikhlas dan bukan kerana hendak menunjuk-nunjuk. Mereka hendak melihat wajah Allah di syurga nanti dan kerana itu mereka sanggup berkongsi makanan yang juga perlukan sendiri.
Walaupun ayat ini menyebut ‘memberi makan’, tapi bukanlah itu sahaja yang kita boleh lakukan untuk membantu orang lain. Ada banyak cara lain seperti bantu beri wang, bantu beri pelajaran, bantu angkat barang, bantu beri kerja, bantu macam-macam lagi. Allah cuma beri contoh beri makanan sahaja, tapi tidaklah terhad kepada beri makan sahaja. Yang penting kita beri bantuan kepada yang memerlukan.

لا نُريدُ مِنكُم جَزاءً

kami tidak menghendaki balasan dari kamu 
Ini adalah tanda mereka ikhlas. Semasa mereka memberi makan itu, mereka berkata yang mereka tidak mengharapkan balasan dari orang yang mereka makan itu. 

وَلا شُكورًا

dan tidak pula (ucapan) terima kasih.
Bukan sahaja mereka tidak mengharapkan balasan, ucapan terima kasih pun mereka tidak perlukan daripada orang-orang yang dalam kesusahan itu. Ini tanda ikhlas kerana kadangkala orang yang memberi itu marah kalau tidak diucapkan terima kasih kepada mereka. Kalau benar-benar ikhlas, mereka tidak berharap apa-apa pun dari orang lain. Yang mereka harapkan hanyalah balasan dari Allah semata-mata.
Nota: tidaklah kalimah-kalimah ini kena disebut pula semasa beri makan atau beri pertolongan pula. Cukuplah sebut di dalam hati atau kalau perlu sebut kerana disebut oleh penerima dulu, bolehlah. Contohnya penerima kata: “terima kasih, saya tidak dapat nak balas pertolongan awak ini….” maka bolehlah kata: “saya tidak mengharapkan balasan…”.

Ayat 10:

إِنّا نَخافُ مِن رَّبِّنا يَومًا عَبوسًا قَمطَريرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, We fear from our Lord a Day austere and distressful.”
(MELAYU)
Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan.

إِنّا نَخافُ مِن رَّبِّنا يَومًا

Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari
Mereka lakukan segala amal kebaikan kepada manusia itu kerana mereka takut dengan akhirat. Mereka nak selamat di akhirat dan mereka tahu yang bantuan yang mereka berikan itu akan menyelamatkan mereka.

عَبوسًا قَمطَريرًا

yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan.
Sekarang disebut bayangan keadaan di akhirat kelak. Mereka takut kepada hari di mana muka-muka pada hari itu ramai yang dalam kesedihan dan mereka tidak mahu jadi begitu. Hari itu adalah hari yang amat dahsyat dan sukar. Jadi kalau mereka mendapat rahmat Allah kerana kemurahan mereka di dunia, mereka amat berharap. 

Ayat 11: Apakah janji Allah kepada orang-orang yang pemurah itu?

فَوَقٰهُمُ اللَّهُ شَرَّ ذٰلِكَ اليَومِ وَلَقّٰهُم نَضرَةً وَسُرورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
So Allāh will protect them from the evil of that Day and give them radiance and happiness
(MELAYU)
Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati.

فَوَقٰهُمُ اللَّهُ شَرَّ ذٰلِكَ اليَومِ

Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu,
Kerana mereka bermurah hati, maka Allah selamatkan dari keburukan di akhirat. Dalam banyak orang akan mengalami kesusahan, mereka yang baik hati itu akan diselamatkan. Ini adalah rahmat yang amat besar.

وَلَقّٰهُم نَضرَةً وَسُرورًا

dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati.
Pada hari itu wajah mereka akan segar dan nampak seri pada wajah mereka. Kalau kita mahu selamat, maka hendaklah kita bermurah hati memberi makan kepada manusia. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui Firman-Nya:
وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ مُسْفِرَةٌ ضاحِكَةٌ مُسْتَبْشِرَةٌ
Banyak muka pada hari itu berseri-seri, tertawa, dan gembira ria. (Abasa: 38-39)
Disebut ‘seri wajah’ kerana orang yang tidak beriman akan susah dan muka mereka akan berkerut dan gelap sahaja pada hari itu. Tapi wajah mereka akan tenang dan segar sahaja. Ini disebut dalam Anbiya:103
لا يَحزُنُهُمُ الفَزَعُ الأَكبَرُ وَتَتَلَقّٰهُمُ المَلائِكَةُ هٰذا يَومُكُمُ الَّذي كُنتُم توعَدونَ
Mereka tidak disusahkan oleh kedahsyatan yang besar (pada hari kiamat), dan mereka disambut oleh para malaikat. (Malaikat berkata): “Inilah harimu yang telah dijanjikan kepadamu”.

Ayat 12:

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And will reward them for what they patiently endured [with] a garden [in Paradise] and silk [garments].
(MELAYU)
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا

Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka
Mereka juga mendapat balasan sempurna dari Allah kerana mereka telah sabar semasa di dunia. 
Dalam ayat ini, ‘sabar’ yang dimaksudkan adalah dalam bentuk umum. Kerana sepanjang hidup seorang mukmin memerlukan dia bersabar dalam segenap hal. Dari mula dia kenal hidup sampailah mati. Ini termasuk menahan nafsu, taat kepada arahan Allah walaupun dalam kepayahan, mengorbankan masanya, hartanya, menjalankan usaha dan keupayaan untuk menegakkan agama, kadangkala sampai mengorbankan diri sendiri.
Mereka juga bersabar dalam menolak segala godaan nafsu dan syaitan, menerima dengan redha segala kehilangan dalam bentuk harta atau keluarga, kesakitan dan kekurangan yang dialami dan macam-macam lagi. Semua ini memerlukan kesabaran yang bukan sedikit. Kerana sabar ini bukan seketika sahaja, tapi banyak keadaan memerlukan sabar.
Natijah dari kesabaran mereka ini, mereka dibalas dengan kebaikan yang berganda-ganda. Kena ingat, bukan lama pun hidup di dunia ini. Maksudnya, bukan lama nak kena bersabar.

جَنَّةً وَحَريرًا

syurga dan (pakaian) sutera,
Sabar di dunia tidak lama, beberapa tahun sahaja. Tapi balasan di syurga selama-lamanya.
Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan segala kenikmatan yang tidak dapat digambarkan. Mustahil untuk membayangkan keadaan dalam syurga itu.
Oleh itu, Qur’an hanya dapat memberi beberapa isyarat sahaja keadaan dalam syurga itu. Allah beri isyarat apakah pakaian yang dipakai dalam syurga itu. Kalimah حرير bermaksud sutera. Maksudnya mereka tinggal dalam syurga itu dalam nikmat dan tidak ada kerja lagi kerana orang pakai sutera bukannya bekerja.

Ayat 13:

مُّتَّكِئينَ فيها عَلَى الأَرائِكِ ۖ لا يَرَونَ فيها شَمسًا وَلا زَمهَريرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
[They will be] reclining therein on adorned couches. They will not see therein any [burning] sun or [freezing] cold.
(MELAYU)
di dalamnya mereka duduk bertelakan di atas dipan, mereka tidak merasakan di dalamnya (teriknya) matahari dan tidak pula dingin yang bersangatan.

مُّتَّكِئينَ فيها عَلَى الأَرائِكِ

di dalamnya mereka duduk bertelakan di atas dipan,
Mereka akan berehat sahaja di atas pelamin. Mereka duduk-duduk sahaja berehat dan menikmati segala keindahan dan kenikmatan dalam syurga itu. Mereka akan duduk atas pelamin sambil melihat istana dan tempat tinggal mereka yang amat hebat itu. 

لا يَرَونَ فيها شَمسًا وَلا زَمهَريرًا

mereka tidak merasakan di dalamnya (teriknya) matahari dan tidak pula dingin yang bersangatan.
Ini tentang cuaca dalam syurga pula. Cuacanya amat nyaman, tidak panas dan tidak sejuk. Tentu orang-orang Arab amat suka mendengar apabila disebut tiada matahari kerana mereka hidup di dalam negara yang banyak kepanasan matahari. Sudahlah awan tidak ada di negara mereka, panas terik pula. 
Dan satu lagi masalah mereka adalah kesejukan pada malam hari yang sangat sangat sejuk sampai ke tulang. Maka kalau cuaca nyaman-nyaman sahaja, tentu ini amat menarik kepada mereka. 
Bukan sahaja mereka, kita pun tidak suka kalau panas terik dan sejuk, bukan? Maka bayangkan keadaan yang amat nyaman itu.

Ayat 14:

وَدانِيَةً عَلَيهِم ظِلٰلُها وَذُلِّلَت قُطوفُها تَذليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And near above them are its shades, and its [fruit] to be picked will be lowered in compliance.
(MELAYU)
Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya.

وَدانِيَةً عَلَيهِم ظِلٰلُها

Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka
Ahli syurga akan duduk di bawah naungan pokok yang besar. Ini menambahkan kenyamanan keadaan di syurga itu. 

وَذُلِّلَت قُطوفُها تَذليلًا

dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya.
Dan makanan yang tidak berkurangan akan diberikan kepada mereka. Allah sebut tentang buah-buahan banyak kali kerana manusia memang suka buah-buahan. Dan buah-buahan akan merendahkan diri untuk senang diambil. Ia akan datang kepada mereka, jadi tidak susah nak nak petik dan makan.

Ayat 15: Kembali menyebut tentang minuman dalam syurga.

وَيُطافُ عَلَيهِم بِئآنِيَةٍ مِّن فِضَّةٍ وَأَكوابٍ كانَت قَواريرا

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And there will be circulated among them vessels of silver and cups having been [created] clear [as glass],
(MELAYU)
Dan diedarkan kepada mereka bejana-bejana dari perak dan piala-piala yang bening laksana kaca,

وَيُطافُ عَلَيهِم بِئآنِيَةٍ مِّن فِضَّةٍ

Dan diedarkan kepada mereka bejana-bejana dari perak
Mereka akan diberikan minuman oleh pelayan-pelayan dalam syurga. Bekas minuman itu pun hebat sebagai isyarat kemewahan dalam syurga itu. Bekas minuman itu dari perak tapi jenis perak yang boleh lut cahaya.

وَأَكوابٍ كانَت قَواريرا

dan piala-piala yang bening laksana kaca,
Bekas piala itu walaupun dijadikan dari perak tapi ia lut sinar seperti kaca. Kenapa tidak guna bekas kaca sahaja? Kerana kalau kaca ia senang jatuh dan pecah berderai.
Allahu a’lam.
x

No comments:

Post a Comment