Senarai

Menu

Pages - Menu

Pages

Pages - Menu

Monday, October 15, 2018

Tafsir Surah Dhuha Ayat 1-11 (Nikmat untuk Rasulullah)

x
x

Surah Adh-Dhuha - سورة الضحى


Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.'

93_1
Demi waktu dhuha,
(Adh-Dhuha 93:1) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_2
Dan malam apabila ia sunyi-sepi -
(Adh-Dhuha 93:2) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_3
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
(Adh-Dhuha 93:3) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_4
Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
(Adh-Dhuha 93:4) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_5
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.
(Adh-Dhuha 93:5) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_6
Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
(Adh-Dhuha 93:6) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_7
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?
(Adh-Dhuha 93:7) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_8
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
(Adh-Dhuha 93:8) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_9
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
(Adh-Dhuha 93:9) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_10
Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
(Adh-Dhuha 93:10) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

93_11
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
(Adh-Dhuha 93:11) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦

x

Tafsir Surah Dhuha Ayat 1-11 (Nikmat untuk Rasulullah)


Pengenalan dan latarbelakang kepada surah ini
Ada tempoh beberapa lama yang Nabi tidak mendapat wahyu. Dalam berbelas hari juga (walaupun berapa lama tidak ada kepastian). Musyrikin Mekah, apabila mengetahui perkara ini, mereka mula mengejek Nabi dengan mengatakan bahawa Tuhan Muhammad telah meninggalkannya dan tidak suka kepada baginda. Lebih tepat lagi, yang mengatakan demikian adalah isteri Abu Jahal. Tentunya Nabi amat sedih tentang perkara itu. Tambahan pula baginda takut kalau-kalau ada kesalahan pada baginda sampai baginda tidak diberikan lagi dengan wahyu. Maka dengan penurunan Surah Dhuna ini, Allah memberi berita gembira kepada baginda.
Kenapa Allah berhentikan seketika penuruhan wahyu kepada baginda? Kita tidak tahu secara pasti tapi ada yang berpendapat, ianya untuk memberi rehat kepada baginda. Kerana tentu ada hikmah disebalik apa yang Allah telah lakukan. Kerana penerimaan wahyu amat berat, maka Allah berikan rehat kepada baginda.
Surah ini memberitahu bahawa tidaklah Allah melupakan Nabi dan membiarkan baginda begitu sahaja. Seperti juga malam itu tidak lama – akan datang juga siang, maka kelewatan wahyu diturunkan kepada Nabi itu tidaklah lama. Isyarat kelewatan itu adalah pada malam dan isyarat datangnya wahyu kembali adalah dengan datangnya siang – waktu dhuha.
Nabi risau kafir Quraish tidak menerima dakwah yang disampaikannya. Dia takut kalau manusia tak terima dakwahnya, mereka akan binasa. Dan bukan umat Arab sahaja yang akan binasa tapi seluruh alam kerana baginda adalah rasul dan Nabi terakhir. Dia takut kalau-kalau ada apa kesalahan atau kekurangan dalam dakwah yang baginda sampaikan. Dalam surah ini, Allah hendak menenangkan perasaan Nabi dengan mengatakan bahawa tidak ada salah pada dirinya dan dakwahnya. Nabi tidak bersalah dan Allah tidak marah kepada baginda.
Surah ini menceritakan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Nabi dan apakah cara untuk mensyukuri nikmat-nikmat itu. Dan apabila diberikan caranya kepada Nabi, kita sebagai umat Islam pun kena ikut juga.

Perkaitan dengan Surah al-Lay dengan surah Dhuha ini:
  1. Surah Layl menyebut malam dahulu (وَاللَّيلِ إِذا يَغشىٰ), surah Dhuha menyebut siang dahulu (وَالضُّحىٰ).
  2. Surah Layl khitab kepada Kafir Quraish, manakala surah Dhuha khitab kepada Nabi.
  3. Di hujung surah Layl, Allah menyebut: وَلَسَوفَ يَرضىٰ – mereka yang menerima nikmat itu akan berpuas hati kerana berjaya. Dalam surah ini, akan diberikan contoh tentang orang yang mencari keredhaan Allah, iaitu Nabi Muhammad.
  4. Dalam Surah al-Layl, Allah menjanjikan kesenangan membawa ke syurga kepada mereka yang memberi infak dan bertaqwa (فَسَنُيَسِّرُهُ لِليُسرىٰ). Tetapi dalam surah sebelum itu, dikatakan yang ianya adalah aqabah (sesuatu yang susah) pula (فَلَا اقتَحَمَ العَقَبَةَ), jadi bagaimana pula? Dalam surah ini, Allah memberitahu, walaupun mulanya susah, tapi nanti akan menjadi semakin senang (وَلَلآخِرَةُ خَيرٌ لَكَ مِنَ الأولىٰ).
  5. Dalam surah Layl, Allah memuji orang yang memberi sedekah (فَأَمّا مَن أَعطىٰ وَاتَّقىٰ). Dalam surah ini, Allah pula memberi segala macam nikmat kepada Nabi, kerana Nabi telah ‘memberi’ sebelum itu. Nabi telah menghabiskan hartanya dan harta Khadijah untuk mengubah masyarakat ke arah kebaikan (sebelum baginda dilantik menjadi Nabi).
  6. Dalam Surah Layl, disebut tentang orang yang وَصَدَّقَ بِالحُسنىٰ (membenarkan dengan kebaikan), iaitu apabila datang kebenaran, mereka membenarkannya. Dalam surah ini, diceritakan bagaimana Nabi kita sebelum mendapat kebenaran Islam, baginda memang mencari-cari apakah kebenaran dan akhirnya Allah memberikannya kepada baginda (وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ). Dan apabila kebenaran itu sampai kepada baginda, baginda membenarkan (menerimanya).
  7. Dalam Surah al-Layl, disebut tentang orang yang ghina’, rasa cukup dan tidak perlukan orang lain (وَأَمّا مَن بَخِلَ وَاستَغنىٰ). Mereka rasa mereka tidak memerlukan sesiapa kerana mereka sudah kaya. Tapi kekayaan mereka sebenarnya tidak akan mencukupkan mereka dan tidak akan dapat melepaskan mereka apabila mereka jatuh ke dalam lembah kehinaan. Dalam surah ini Allah sebut Dia yang Nabi menjadikan Nabi cukup (وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ). Maknanya, bukan harta yang mencukupkan seseorang, tapi Allah sahaja yang boleh menjadikan seseorang itu cukup. Oleh itu, kalau kita cari pemberian dari Allah, Allah akan mencukupkan kita.
  8. Dalam Surah al-Layl, telah disebut tentang mereka yang infak harta untuk membersihkan diri mereka (الَّذي يُؤتي مالَهُ يَتَزَكّىٰ); dalam surah ini, Allah beritahu di mana tempat yang boleh kita berikan infak – kepada anak yatim (فَأَمَّا اليَتيمَ فَلا تَقهَر), orang yang meminta (وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر).
  9. Balasan paling baik yang disebut dalam Surah al-Layl dimana mereka akan berpuas hati dengan apa yang mereka akan terima nanti (وَلَسَوفَ يَرضىٰ); dalam surah ini, disebut apabila dapat kebaikan, kena ceritakan (وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث).
  10. Kedua-dua surah ini tentang petunjuk, iaitu petunjuk yang kita harapkan hanya dari Allah. Oleh itu juga, hak memberi petunjuk dari Allah (إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ). Allah boleh pilih siapa yang Dia hendak beri petunjuk itu – dalam Surah Dhuha diberitahu bagaimana Allah telah memberi hidayah menuju kepadaNya (وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ).
  11. Dalam Surah al-Layl, kita mengharap kepada Allah, maka kita menghadapkan diri kita kepada Allah dalam permintaan kita; dalam surah ini, ada orang yang memerlukan infak juga dan mereka juga telah menghadapkan wajah mereka kepada Allah, maka jangan menolak mereka yang memerlukan kita (وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر). Kerana mungkin kitalah asbab bagi Allah memberi bantuan kepada mereka.


Ayat 1: Sumpah yang pertama dari Allah.

وَالضُّحىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
AdhDhuḥā: The Morning Brightness, i.e., the brightness or heat of the sun.
By the morning brightness
(MALAY)
Demi waktu matahari sepenggalahan naik,

Allah bersumpah dengan waktu Dhuha. Ianya adalah satu waktu di pagi yang amat menenangkan di mana manusia mula bergerak untuk memulakan kehidupan dan kerja mereka. Kalau subuh, orang baru bangun tidur tak keluar rumah ramai-ramai lagi. Tapi waktu dhuha memang ramai-ramai akan keluar untuk memulakan kerja atau memulakan aktiviti mereka hari itu. Waktu itu manusia dalam keadaan segar kerana belum mula bekerja lagi dan baru lepas berehat di malam hari.
Waktu Dhuha adalah isyarat kepada wahyu yang datang kepada Nabi Muhammad SAW; ianya menyegarkan baginda sebagaimana juga waktu Dhuha itu. Ianya penuh cahaya, sebagaimana juga dengan cahaya waktu Dhuha.
Allah membezakan waktu Dhuha dengan masa yang akan disebut selepas ini iaitu malam yang bening. Ada pasangan di antara siang dan malam. Sebagaimana setiap sesuatu ada pasangannya masing-masing – Kiri dan kanan, atas bawah, lelaki perempuan dan sebagainya. Manusia memang memerlukan kedua-duanya. Pasangan kepada siang (waktu Dhuha) adalah malam. Dengan malam, manusia baru nampak kebaikan dan kesenangan yang ada dengan adanya siang. Kerana kalau kita sakit, barulah kita dapat menilai nikmat sihat, bukan? Oleh itu, dua-dua waktu itu kita perlukan: siang untuk bekerja dan malam untuk berehat.
Begitu juga dengan kehidupan kita – ada waktu senang dan ada waktu susah. Ianya adalah sebahagian dari putaran hidup kita. Sebagai manusia, memang kita kena lalui susah dan senang. Memang ada kebaikan juga apabila kita ada kesusahan. Eh, bagaimana pula? Kerana ada pengajaran yang Allah hendak berikan kepada kita semasa kita melalui kesusahan itu. Sebagai contoh, dengan adanya susah lah baru ada perasaan sabar. Kerana sifat sabar itu datang setelah adanya kesusahan dalam hidup. Kalau tidak ada susah, bagaimana lagi kita nak belajar sabar itu? Dan sabar hanya keluar semasa susah, bukan? Dan kalau kita sabar dengan dugaan hidup, kita akan dapat pahala. Maknanya kalau kita tidak dapat susah, kita tidak dapat peluang untuk mendapatkan pahala sabar.
Apa lagi kelebihan yang ada pada kesusahan? Lagi satu, perasaan menghargai sesuatu hanya akan ada apabila sesuatu kepunyaan kita pernah diambil, hilang, rosak dan sebagainya. Jadi kita lebih menghargai barang yang kita ada kerana kita pernah hilang sesuatu itu. Dan ada banyak lagi contoh yang boleh dibincangkan oleh manusia tentang kelebihan musibah dan dugaan hidup ini. Oleh itu, walaupun dalam kesusahan, ada kebaikan.
Allah bersumpah dengan waktu Dhuha, kita tak boleh. Kita hanya dibenarkan bersumpah dengan Allah sahaja. Apabila Allah bersumpah dengan waktu Dhuha, itu menunjukkan ada kelebihan pada waktu Dhuha.
Waktu Dhuha adalah waktu yang terang tapi cahaya belum panas lagi. Oleh itu, kita dapat melihat bagaimana surah ini akan menggunakan bahasa-bahasa yang lembut dan menyenangkan juga. Ini adalah kerana Allah sedang bercakap dengan RasulNya yang Dia amat sayangi, maka tentulah Dia bercakap dengan nada yang lembut dan menyenangkan. Ini menunjukkan cinta Allah kepada baginda.


Ayat 2: Sumpah kedua.

وَاللَّيلِ إِذا سَجىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [by] the night when it covers with darkness,¹
  • And becomes still.
(MALAY)
dan demi malam apabila telah sunyi (gelap),

Malam apabila ia senyap sunyi menandakan isyarat kepada satu waktu di mana Nabi tidak mendapat wahyu. Ianya seperti malam kerana sebagaimana malam itu gelap, begitu juga alam ini tanpa cahaya wahyu.
Kenapa Allah sebut waktu dhuha dulu sebelum sebut waktu malam? Disebut siang dulu menandakan wahyu sudah mula diturunkan dan malam apabila wahyu berhenti seketika. Ini mengikut susunan keadaan yang hendak disampaikan dalam surah ini iaitu tentang wahyu yang diturunkan semua selepas fatratil wahyi.
سَجىٰ – tenang, tidak bergerak, berhenti. Pada waktu malam yang bening, waktu itu daun pokok pun tidak bergerak. Walaupun malam itu gelap, tapi tentunya ada guna malam seperti yang disebut dalam  Ghafir:61.


Ayat 3: Ini adalah jawabul qasm (jawapan kepada sumpah sebelum ini). Sekarang kisah tentang tuduhan orang kafir Quraish terhadap Rasulullah. Allah hendak menolak tuduhan mereka. Seperti yang kita telah sebut, mereka menuduh yang Tuhan Muhammad telah meninggalkan baginda.

ما وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَما قَلىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Your Lord has not taken leave of you, [O Muḥammad], nor has He detested [you].
(MALAY)
Tuhanmu tidak meninggalkan kamu dan tidak (pula) benci.

Dan Allah hendak menegaskan yang Allah tidak meninggalkan Nabi Muhammad dan tidak membenci baginda. Selepas wahyu berhenti turun seketika, puak kafir Quraish sudah kata yang Allah sudah meninggalkan Nabi Muhammad kerana benci kepada baginda. Allah menidakkan tuduhan mereka itu.
Atau, mungkin baginda sendiri sudah rasa begitu apabila wahyu berhenti seketika. Kerana baginda takut sangat kalau-kalau ada kesalahan yang baginda telah lakukan. Tapi Allah hendak beritahu yang baginda tidak ada buat apa-apa kesalahan.
Lagi satu keindahan bahasa yang digunakan dalam surah ini, Allah gunakan waktu Dhuha dan malam sebagai sumpahNya kerana kedua-dua perkara itu tidak kekal. Hendak menunjukkan, walaupun Allah tidak turunkan wahyu seketika, tapi itu tidaklah kekal sebagaimana waktu dhuha dan waktu malam tidak kekal. Sekejap sahaja Allah tidak turunkan wahyu itu, kerana kemudian disambung balik.
Kalimah وَدَّ, seperti yang digunakan dalam kalimah tawaf wida’ (tawaf selamat tinggal), bermakna mengucapkan selamat tinggal. Tidak benar apa yang dikatakan oleh orang kafir bahawa Allah telah meninggalkan Nabi dengan tidak menurunkan wahyu lagi kerana benci. Mana mungkin Allah membenci Nabi. Allah sayangkan Nabi dan sahabat-sahabat Nabi. Bahasa yang digunakan dalam surah ini adalah bahasa yang lembut menunjukkan betapa kasihnya Allah terhadap Nabi Muhammad.
Allah menggunakan perkataan ‘ما’ dalam ayat ini dan bukan ‘لا’ kerana perkataan ‘ما’ itu menunjukkan past tense – iaitu Allah ‘tidak pernah’ meninggalkan baginda. Kerana itu ada penekanan apabila digunakan kalimah ما. Ini tidak sama kalau guna لم sahaja kerana kalau guna ما, ia bermaksud ada sesuatu yang hendak ditolak (tuduhan orang kafir).
Dan ada sebab kenapa Allah menggunakan perkataan ‘rabb’ dalam ayat ini – ‘Rabb’ bermaksud Tuhan yang mencipta, menjaga dan memelihara. Allah mengatakan bahawa Tuhan yang menjaga dan memelihara kamu tidak pernah meninggalkan kamu. Bagaimana Tuhan yang menjaga dan memelihara baginda boleh meninggalkan baginda? Allah tidak pernah tinggalkan baginda.
قَلىٰ – digunakan apabila marah kepada seseorang, sampaikan tidak mahu bercakap dengan orang itu lagi. Tidaklah Allah berperasaan begitu dengan Nabi Muhammad. Allah hendak memberitahu baginda yang Allah tidak membenci baginda langsung.
Dalam ayat ini, Allah berfirman وَما قَلىٰ (dan tidaklah Dia benci). Allah tidak kata: وَما قلّاك تيد (dan tidaklah Dia membenciMU) kerana tidak ada huruf ك dalam ayat ini. Dari segi bahasa, sepatutnya kena sebut siapa yang tidak disukai itu kerana قَلىٰ adalah dalam bentuk muta’addi, bermaksud mesti ada yang ‘kena buat’ atau penerima perbuatan itu. Akan tetapi Allah tidak gunakan huruf ك yang merujuk kepada Nabi dalam ayat itu. Sedangkan dalam وَدَّعَكَ, ada pula ك. Ini adalah kerana kalimah وَدَّعَ, boleh juga digunakan kalau perpisahan antara seorang yang dalam perhubungan baik; jadi tidak salah sangat kalau dikenakan ganti nama Nabi dalam perkataan itu. Ini macam kita mengucapkan selamat tinggal kepada kawan kita, dan ini biasa. Akan tetapi kalau قَلىٰ, ianya antara orang yang tidak berbaik dan ada perkelahian, ada elemen negatif di dalamnya. Jadi Allah tidak gunakan untuk kaitkan dengan Nabi. Sampai begitu sekali Allah jaga penggunaan bahasa.
Ada satu lagi kelebihan – apabila huruf ‘ك’ tidak digunakan, bermakna maksudnya lebuh luas. Bermakna bukan sahaja Allah tidak membenci Nabi, malah Allah juga tidak membenci para sahabat dan pengikut baginda.


Ayat 4: Ayat tasliah kepada Nabi.

وَلَلآخِرَةُ خَيرٌ لَكَ مِنَ الأولىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the Hereafter is better for you than the first [life].
(MALAY)
Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).

Dan sesungguhnya kesudahan untukmu adalah lebih baik dari permulaannya. Apabila ada ل tambahan dalam وَلَلآخِرَةُ, itu menunjukkan ada penekanan (taukid) – pasti sekali akhirat itu lebih baik. Allah beri penekanan kerana ada yang mendengar tidak percaya (musyrikin Mekah).
Ia mungkin bermaksud akhirat, ataupun kesudahan perjuangan Nabi. Jadi ada dua pendapat tentang kalimah آخِرَةُ.
Tetapi, bagaimana boleh dikatakan apa yang akan dilalui oleh baginda selepas itu dikatakan senang sedangkan kita pun tahu, nanti Nabi akan menerima banyak lagi dugaan. Jawapnya, memang di permulaan dakwah Nabi adalah amat berat. Salah satunya kerana pengikutnya tidak ramai. Mereka mendapat cemuhan dan dugaan yang banyak. Tapi nanti Allah mengatakan bahawa ianya akan menjadi lebih mudah. Sampaikan baginda akan dapat menakluk Mekah dan membersihkan Kaabah dari berhala-berhala yang ada di situ.
Dan bagaimana pula dikatakan yang keadaan awal itu lagi susah? Dari sejarah Islam, kita tahu nanti baginda akan kena halau, baginda akan bertempur di Perang Badr, Perang Uhud dan macam-macam lagi dugaan dan perjuangan yang kena dilalui oleh baginda. Bukankah itu semua susah?
Sebenarnya memang lagi susah kerana di Mekah, dugaan yang dihadapi adalah dugaan psikologi. Kerana itu adalah tahap awal lagi, dan mereka amat sedikit. Tapi lama kelamaan, apabila baginda dan sahabat sudah semakin yakin dengan kebenaran Islam, maka walaupun ada tentangan dan dugaan selepas itu, tapi hati baginda sudah tetap dan semakin mantap.
Kita juga kata, satu pendapat lagi,  آخِرَةُ bermaksud ‘akhirat’. Dalam makna kedua ini, ia bermaksud yang kehidupan Akhirat untuk Nabi adalah juga lebih baik untuk Nabi. Ianya khusus untuk baginda kerana Allah letak لَكَ dalam ayat ini. Ini adalah kerana Nabi akan mendapat kelebihan dan kedudukan tinggi yang tidak diberi kepada orang lain. Nabi akan mendapat maqam mahmudah dan baginda akan diberikan Telaga Kauthar dan lain-lain lagi kelebihan eksklusif.
Tapi itu bukanlah bermakna baginda susah selamanya di dunia ini. Ini adalah kerana di dunia lagi Nabi sudah diberi dengan kelebihan melebihi orang lain. Sebagai contoh, nama baginda akan disebut bersama dengan nama Allah dalam azan, dalam tashahud dan macam-macam lagi. Dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang baginda akan dapat. Sebagai contoh, baginda akan mendapat kemenangan peperangan yang banyak, dapat menakluk Mekah,  dapat membersihkan Kaabah dan lain-lain lagi. Dan sekarang walaupun akhirat belum bermula lagi, baginda sudah mendapat banyak kelebihan. Bayangkan, segala amal ibadat yang kita lakukan, Nabi akan mendapat pahala sedekah jariah.
Kita boleh gunakan makna ‘الأولىٰ’ itu untuk awal period dakwah Nabi dan juga kehidupan dunia untuk Nabi kerana Allah menggunakan perkataan yang luas (الأولىٰ). Sebagai contoh, dari sejarah kita tahu yang Nabi itu adalah anak yatim, Nabi mencari-cari kebenaran, Nabi miskin kerana baginda tidak ada ayah dan ibu. Tapi itu semua adalah kehidupan awal baginda (الأولىٰ) kerana selepas itu Allah telah memberikan banyak nikmat kepada baginda. Dalam surah ini Allah mengingatkan yang Nabi telahpun mendapat kebaikan yang lebih baik dari dulu lagi. Dan Allah hendak memberitahu, kebaikan itu akan bertambah-tambah.
Allah tak sebut ‘dunia’ dalam ayat ini. Kalau Allah gunakan perkataan ‘dunia’, akhirat itu lebih baik dari ‘dunia’, itu bermakna kelebihan itu hanya untuk akhirat sahaja. Tapi kita tahu yang dalam dunia juga Nabi telah mendapat kebaikan. Iaitu Nabi akan dapat kebaikan semasa di dunia lagi dan tentunya di akhirat kelak. Jadi, Allah gunakan kalimah الأولىٰ untuk merujuk kepada segala perkara yang awal.
Setelah Allah menjanjikan kebaikan di masa hadapan yang amat banyak, maka Allah hendak memujuk Nabi – tidak mengapalah kalau susah sedikit kalau nanti akan mendapat kebaikan yang banyak sekali. Kalau kita tahu yang kita susah hanya sekejap sahaja tapi akan senang kemudian, tentulah lega sedikit hati kita bukan? Begitu jugalah pujukan Allah kepada kita. Memang menegakkan agama ini susah, tapi sabarlah kerana nanti di akhirat akan dapat kelebihan yang tinggi. Dan pembalasan di akhirat itu lebih baik.


Ayat 5: Allah janji yang nanti baginda akan diberi nikmat sampai baginda sampai puas hati.

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And your Lord is going to give you, and you will be satisfied.
(MALAY)
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikan kepadamu sehingga kamu akan berpuas hati. Huruf ل dalam وَلَسَوفَ adalah sebagai taukid – penekanan, kepastian. Pasti Allah akan lakukan.
Pada masa ayat ini diturunkan, Nabi dan para sahabat sedang menghadapi cubaan dan dugaan yang amat berat dan Allah ingin memberitahu kepada Nabi dan para sahabat bahawa dia akan mendapat kebaikan yang banyak. Selalunya Allah apabila Dia menceritakan tentang masa hadapan, Dia akan memberikan penekanan. Sebab selepas ayat ini diturunkan, memang baginda dan sahabat akan menerima kepayahan lagi, jadi Allah nak tekankan bahawa baginda tentunya akan menerima kebaikan yang banyak. supaya Nabi dan para sahabat akan terus bersemangat – Allah hendak beritahu, jangan takut, nanti kamu akan menang juga akhirnya.
سَوفَ dari segi bahasa adalah masa hadapan yang agak jauh kalau dibandingkan dengan huruf س. Oleh itu, Allah akan beri, tapi tidaklah cepat sangat – kena tunggu juga. Sebelum sampai masa mendapat apa yang dijanjikan, ada masa yang lama juga, maka kena bersabar sepanjang waktu itu. Tapi waktu senggang itu bukanlah duduk-duduk sahaja, tapi ada kerja yang perlu dilakukan, dan itu akan diberitahu nanti.
Perkataan يُعطيكَ bermaksud pemberian yang amat banyak sekali. Ini adalah kerana kalimah أعطى membawa pemberian yang banyak, bukan pemberian biasa kerana kalimah itu dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan). Oleh itu, dalam penggunaan bahasa pun sudah memberi isyarat yang apa yang akan diberi itu adalah pemberian yang besar.
Lagi satu, apabila digunakan أعطى, penerima boleh buat apa sahaja dengan apa yang dia dapat. Kalau digunakan أتى sahaja, mungkin ada tanggungjawap terhadapnya. Sebagai contoh, apabila Allah kata Dia beri al-kitab, ada kerja yang kena dilakukan dengan kitab itu – iaitu kena ikut, kena sampaikan. Tapi apabila kalimah أعطى digunakan, penerima pemberian itu tidak bertanggungjawab untuk melakukan apa-apa sahaja, boleh menikmati nikmat itu. Jadi kalimah أعطى adalah satu pemberian yang hebat sekali kerana memang pemberian itu adalah pemberian yang tanpa tanggungjawab yang perlu dilakukan.
Apakah pemberian yang dimaksudkan itu? Persoalan ini mungkin timbul sebab tidak disebut apakah yang akan diberikan kepada baginda. Allah hanya kata nak beri sahaja, tapi tak disebut apakah yang akan diberikan. Kenapa Allah tidak sebut?
Allah tidak menjelaskan apa yang akan diberikan, bermakna ianya adalah tidak ada hujungnya. Macam-macam akan diberikan sampai baginda akan redha dengan pemberian itu. Allah adalah Tuhan, jadi apa sahaja Dia nak beri, Dia boleh beri. Kalau kita fikirkan, pemberian itu mengikut siapa yang memberi, bukan? Sebagai contoh, kalau orang kaya, tentu dia boleh beri lebih banyak lagi dari orang yang sederhana, bukan? Bagaimana pula kalau Allah yang akan memberi? Kalau manusia, tentulah terhad apakah yang manusia boleh beri, tapi yang janji nak beri dalam ayat ini adalah Allah.
Apakah yang akan diberikan? Banyak sekali perkara yang dikatakan oleh para mufassir tentang apa yang baginda akan dapat. Jadi kita tidak dapat nak sebut apakah yang akan diberikan. Tapi para mufassir cuba juga untuk menyenaraikan beberapa perkara yang mungkin termasuk dalam ‘pemberian’ ini. Antaranya mereka katakan, Allah akan memberikan kepada Nabi kelebihan memberikan syafaah kepada umatnya nanti. Inilah satu kelebihan yang amat besar yang diberikan kepada baginda. Dan inilah juga yang diharapkan oleh kebanyakan dari manusia.
Cuma nanti akan ada dua syafaah. Satu kepada mereka yang mengikuti jalan baginda. Diberikan kepada mereka untuk menyelamatkan mereka. Tapi bukan hanya memberi pertolongan sahaja, tapi ada juga yang baginda akan ‘dakwa’ umat Islam. Kerana di akhirat nanti, Nabi akan mengadu kepada Allah tentang mereka yang menentang dan tidak menerima ajarannya. Baginda juga akan menjadi saksi kepada mereka yang menerima dan mereka yang tidak menerima dakwah baginda. Kerana tidak faham perkara ini, banyak muslim yang ada salah faham dengan syafaat. Mereka sangka mereka boleh buat apa sahaja, dan nanti Nabi akan beri syafaat kepada mereka. Sebab itulah ada orang yang senang sahaja buat amalan bidaah dan dalam masa yang sama, tidak malu minta syafaat dari Nabi. Sebagai contoh, golongan Habib yang buat amalan bidaah tapi mereka buat majlis terkinja-kinja minta syafaat terus dari Nabi Muhammad. Mereka sangka mereka akan dapat syafaat dari Nabi, tapi nanti akan jadi sebaliknya, kerana Nabi akan mendakwa mereka kerana tidak ikut sunnah. Ayat yang menakutkan ini ada dalam Furqan:30.
Nabi mengadu kepada Allah bagaimana ramai dari umatnya yang meninggalkan Quran. Nabi tidak kata pun ‘kafir’ yang tinggalkan quran, tapi qawmi – umat baginda. Maksud ‘tinggalkan’ bukannya tidak baca, tapi tidak faham dan tidak amalkan. Kerana ramai dari kalangan orang kita yang suka dan rajin baca Quran tapi mereka fahamkah apa yang mereka baca itu? Maka kalau kamu tidak belajar tafsir Quran, agaknya kamu duduk dalam kumpulan yang mana?
فَتَرضىٰ – kamu akan redha. Redha dengan siapa? Tentulah dengan Allah. Sebenarnya, kalau tak Allah beri nikmat tambahan lagi pun, Nabi telah redha dengan Allah juga, bukan? Jadi kenapa sebut dalam ayat ini? Maksudnya Allah akan benarkan baginda meminta sehingga baginda puas hati.
Dan banyak lagi pemberian yang Allah akan beri lagi kepada Nabi. Antaranya adalah maqam Mahmoodah; dan baginda juga akan diberikan dengan Telaga al Kauthar, yang baginda boleh beri umatnya yang mengikut jalan baginda untuk minum dari telaga itu; dan baginda akan diberikan dengan sahabat yang ramai yang akan mengikuti baginda; dan baginda juga akan diberikan dengan ‘ikhwan’ nanti. Iaitu mereka yang lahir di zaman hadapan yang walaupun tidak melihat baginda, tapi mengikuti ajaran baginda.
Itulah antara perkara-perkara yang disenaraikan oleh ulama berkenaan apakah yang akan diberikan kepada baginda. Ada lagi pendapat-pendapat yang lain yang berbagai-bagai.


Ayat 6: Sebelum ini Allah telah berjanji dan Allah mengingatkan baginda dengan nikmat-nikmat yang Dia telah pernah berikan kepada baginda sendiri.

أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Did He not find you an orphan and give [you] refuge?
(MALAY)
Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu?

Bukankah engkau dulu yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan?
آوىٰ – bermaksud memberikan perlindungan kepada seseorang di dalam waktu bahawa. Juga bermaksud membawa seseorang yang tidak ada rumah ke dalam rumah kita.
Allah kata Dia akan berikan nikmat kepada Nabi, sebagaimana Dia telah memberikan perlindungan kepada baginda semasa baginda menjadi yatim piatu. Iaitu baginda diberikan dengan Abu Talib yang memberi perlindungan kepada baginda. Malah bukan itu sahaja, semua orang-orang yang menjaga baginda amat sayang kepada baginda. Mulanya yang menjaga baginda adalah datuknya sendiri iaitu Abdul Mutalib. Abdul Mutalib telah menjaga baginda selepas ibu baginda meninggal dunia. Tapi tidak lama penjagaan Abdul Mutalib kerana dia mati tidak lama kemudian. Oleh itu, yang mengambil tugas menjaga baginda adalah bapa saudara baginda, Abu Talib yang sayangkan baginda lebih dari beliau sayang kepada anak sendiri. Dan kemudian Khadijah pula yang menjaga selepas perkahwinan mereka dan Khadijah juga amat sayang kepada baginda. Bayangkan Saidatina Khadijah sanggup habis hartanya kerana suaminya itu. Selepas Khadijah tidak ada, baginda ada sahabat-sahabat yang sentiasa bersama baginda. Semua mereka itu amat sayangkan baginda tanpa berbelah bahagi.
Allah menekankan yang Dia lah yang memberi perlindungan kepada Nabi Muhammad, walaupun kita tahu Abu Talib dan yang lain-lain yang mengambil dan menjaganya. Jadi walaupun yang membantu Nabi adalah seorang manusia, tapi sebenarnya Allahlah jua yang mendorong mereka untuk memberi bantuan kepada baginda. Allah juga yang mencampakkan kasih sayang ke dalam hati mereka kepada baginda. Hakikatnya, Allah lah yang memberi perlindungan kepada Nabi.
Jadi, kalau ada manusia yang tolong kita, memang kita akan berterima kasih kepada orang itu. Tapi kena terima kasih kepada Allah juga, kerana Allah lah yang menggerakkan orang itu untuk menolong kita.
Dalam ayat ini, Allah menggunakan kaedah soalan. Digunakan cara ini untuk menekankan bahawa yang berkata itu memang layak. Sebagai contoh, kalau kita kata: “Bukan aku dah buat dulu, kan? kamu tidak percayakah?” Apabila kita dah pernah buat sesuatu perkara itu, tentu kita boleh buat lagi. Begitulah yang Allah lakukan dengan merujuk apa yang Dia telah buat dahulu. Allah nak beritahu kepada baginda, jangan bersedih –  sepertimana Dia telah memberikan perlindungan kepada baginda dahulu, Dia juga akan memberikan pemberian yang banyak kepada baginda nanti.
Allah menyebut yang baginda Rasulullah dulu adalah seorang anak yatim. Yatim selalu disebut di dalam Quran. Mereka adalah golongan yang lemah kerana tidak ada orang yang menjaga dan memberi perlindungan kepada mereka. Kalau orang lain yang jaga mereka pun, tidak sama dengan ibubapa sendiri yang mereka. Oleh itu, Allah selalu menekankan kepentingan menjaga dan memelihara anak-anak yatim, jangan buat salah kepada mereka dan sebagainya. Dan kita boleh lihat dalam ayat ini, Allah tidak menggunakan huruf ‘ك’ selepas perkataan ‘آوىٰ’ – kerana kalau ada tambahan ‘ك’, ia hanya merujuk kepada Nabi sahaja. Jadi makna perlindungan dalam ayat ini adalah luas. Jadi ia juga merujuk kepada anak-anak yatim yang lain.
Nabi diingatkan bahawa, sama macam Allah telah memberi perlindungan kepada baginda yang yatim, maka baginda juga perlu untuk memberi perlindungan kepada anak-anak yatim juga. Dan kalau baginda disuruh, tentulah kita juga disuruh untuk berbuat begitu. Kita disuruh untuk memberikan pertolongan kepada anak-anak yatim sebagaimana Allah telah memberikan pertolongan kepada Nabi dahulu. Banyak ayat-ayat dan hadis tentang perkara ini.


Ayat 7: Apa lagi track record Allah yang Allah ingatkan?

وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And He found you lost and guided [you],
(MALAY)
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk.

Dan didapatiNya engkau mencari-cari, lalu Dia memberikan hidayah.
ضالًّا secara literalnya bermakna ‘sesat’, tapi tidak sesuai kalau digunakan kalimah ‘sesat’ untuk Nabi Muhammad pula. ضالًّا dalam ayat ini tidak sama dengan sesat seperti manusia yg kafir yang sesat itu. Sebagai Nabi dan begitu juga dengan nabi-nabi lain, mereka tidaklah pernah melakukan dosa-dosa syirik. Begitu juga Nabi Muhammad tidak pernah menyembah berhala walaupun masyarakat baginda bergelumang dalam penyembahan berhala dan amalan-amalan syirik yang lain. Dan para Nabi-nabi itu sudahpun mempunyai nilai-nilai yang mulia walaupun mereka belum lagi menerima wahyu.
Apakah yang dimaksudkan dengan ضالًّا ini ada dijawap dalam quran sendiri dalam Yusuf:3 – وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغافِلينَ (dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui). Maknanya, sebelum baginda diberikan dengan wahyu Quran, baginda tidak tahu tentu tentang iman. Tapi kita kena ingat, walaupun para Nabi tidak dapat lagi wahyu dan ilmu agama, mereka tetap tidak melakukan syirik dan mereka sudah menjadi manusia yang baik. Mereka dipelihara oleh Allah dari melakukan perkara-perkara yang buruk.
Tapi mereka memang tidak tahu kebenaran lagi, maka waktu itu mereka dikatakan sedang ‘mencari-cari’. Iaitu mencari-cari kebenaran dan ini lebih sesuai kalau digunakan untuk para Nabi. Memang selama mereka tidak mendapat wahyu, mereka tidak tahu agama. seperti yang Allah sebut dalam Syura:52. Jadi ضالًّا tidak sama dengan ‘sesat’ seperti dalam surah Fatihah itu (وَلَا الضّالّينَ).
Jadi ’ضالًّا’ dalam ayat ini adalah ‘tidak jumpa jalan wahyu’. Kalau kita belajar sirah, kita akan tahu bagaimana Nabi Muhammad amat kasihan kepada orang musyrik di Mekah itu yang bergelumang dalam kesyirikan, sampaikan baginda habiskan duit beri kepada orang Mekah supaya mereka jadi baik, tinggalkan perkara yang salah. Tapi mereka masih juga tidak jadi baik, masih tetap nak buat syirik menyembah berhala. Dan apabila dah habis duit dan harta baginda, barulah baginda pergi bertahannuts di Gua Hira’. Maknanya, baginda cuba untuk memperbetulkan kaum baginda, tapi baginda gunakan akal dan harta baginda, baginda tidak berjaya. Hanya apabila Allah beri wahyu baru baginda berjaya memperbaiki kaum baginda. Ini juga mengajar kita, nak beri manusia jadi baik, tetap kena guna wahyu juga. Kita kena ajar manusia dengan tauhid dulu, baru berjaya. Oleh itu, kenalah mengajak manusia belajar tafsir Quran.
Tetapi kalimah yang digunakan hanya فَهَدىٰ. Tidak ditambah ditambah dengan perkataan ‘ك’ selepasnya (فَهَدىيك). Ini meluaskan lagi maknanya. Jadi maknanya, hidayah itu tidak terhad kepada Nabi Muhammad sahaja. Jadi ianya boleh jadi Allah memberi hidayah kepada Nabi, dan melalui Nabi, manusia lain pun mendapat hidayah juga daripada Allah menerusi baginda.
Allah hendak memberitahu dalam ayat ini yang manusia tidak akan mendapat hidayah tanpa bantuan dari Allah. Nabi Muhammad tidak akan dapat mencari kebenaran tanpa Allah memberinya hidayah. Begitu juga akal manusia tidak dapat mencapai haq tanpa mendapat dari Allah. Tidak kisahlah kalau pandai macam Einstein pun, kalau Allah tidak beri hidayah, tidak beri wahyu, tidak akan berjaya untuk mencapai iman yang sebenar.
Jadi, Allah ingatkan baginda yang hidayah ini adalah satu lagi kebaikan yang Allah pernah berikan kepada Nabi Muhammad.


Ayat 8: Apa lagi yang telah pernah diberikan kepada baginda?

وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And He found you poor and made [you] self-sufficient.
(MALAY)
Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

Dan didapatiNya kamu miskin, lalu Dia memberikan kekayaan.
عائِلًا bermaksud miskin. Juga bermaksud seseorang yang tertekan dan terkesan dengan tekanan itu. Memang ada banyak lagi kalimah untuk miskin seperti faqir, miskin dan lain-lain, tapi Allah gunakan kalimah عائِلًا dalam ayat ini.
أَغنىٰ bermaksud tidak memerlukan. Sebab itu juga digunakan untuk membawa maksud kekayaan itu mereka yang kata tidak memerlukan bantuan orang lain. Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan dari Abdullah ibnu Amr yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda:
«قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بما آتاه»
Sesungguhnya beruntunglah orang yang Islam dan diberi rezeki secukupnya serta Allah telah menjadikannya menerima seadanya menurut apa yang diberikan oleh-Nya (diberi sifat qana’ah).
Allah tidak sebut bagaimana Nabi dikayakan dalam ayat ini. Pendapat ulama memberi pendapat bagaimana Allah memberikan kekayaan kepada baginda adalah dengan diberikan baginda dengan Saidatina Khadijah. Khadijah itu seorang yang kaya, jadi beliau dapat membantu baginda. Dengan kekayaan yang Allah berikan kepada baginda itu juga, telah mengkayakan orang lain juga. Lihat Allah tidak sebut yang Dia mencukupkan bagi RasulNya (tidak ada kalimah ك dalam أَغنىٰ itu). Jadi makna itu boleh digunakan dengan luas.


Ayat 9: Sekarang sampai kepada arahan kepada Nabi dan kepada kita semua. Allah sudah sebut tiga perkara yang Allah berikan kepada baginda. sekarang Allah akan menyebutkan tiga perkara yang baginda perlu lakukan pula.

فَأَمَّا اليَتيمَ فَلا تَقهَر

(SAHEEH INTERNATIONAL)
So as for the orphan, do not oppress [him].
(MALAY)
Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang.

تَقهَر bermaksud menguasai orang lain dan kemudian memalukan mereka.  Bukan setakat menguasai sahaja, tapi termasuk memalukan mereka juga. Allah nak beritahu dengan tegas dalam ayat ini, tak boleh buat begitu dengan anak yatim ini, kena sentiasa berlembut dengan mereka.
Tentulah Nabi tidak akan melakukan perkara ini tapi peringatan ini adalah kepada kita sebagai umat baginda. Kerana apabila Nabi membacakan ayat ini, orang lain pun dengar juga, maka arahan ini terjatuh ke atas mereka yang mendengar juga. Maka jangan kita sekali sekala buat.
Perlulah kita ingat bahawa Nabi Muhammad dulu adalah juga seorang anak yatim. Kita tahu bagaimana payahnya kehidupan seorang anak yatim itu. Betapa mereka memerlukan bantuan. Maka kenalah cari mereka untuk kita bantu. Malangnya, siapa anak yatim dalam kalangan kita pun kita tak tahu kerana kita tidak peka tentang perkara ini. Sedangkan banyak sekali hadis-hadis tentang kelebihan berbuat baik dengan mereka.


Ayat 10: Perkara kedua yang Nabi kena jaga.

وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر

(SAHEEH INTERNATIONAL)
And as for the petitioner,¹ do not repel [him].
  • Anyone who seeks aid or knowledge.
(MALAY)
Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu mengherdiknya.

السّائِلَ adalah mereka yang meminta. Dan meminta itu boleh jadi bantuan dari segi harta, pengetahuan ataupun makanan, tempat tinggal dan sebagainya. Maknanya, ia boleh jadi macam-macam. Jangan kita sangka peminta sedekah itu sahaja golongan السّائِلَ.
تَنهَر dari perkataan نهَر iaitu ‘sungai’. Kalau kita bayangkan sungai, ianya adalah air yang banyak yang bergerak laju. Apabila kita mengherdik orang yang meminta, ianya adalah seperti air sungai yang melimpah menerjah seseorang. Begitulah perasaan orang yang kena marah dan kena tengking rasa. Janganlah buat begitu kepada mereka. Kepada Nabi pun Allah suruh buat macam tu, apatah lagi kita ini. Bayangkan kalau kita sendiri yang meminta – kita waktu itu berharap sangat dengan orang yang kita minta itu, tapi bila kita minta, kena tengking dan kena marah pula, tentulah sedih sekali hati kita. Kita mungkin waktu itu memang tertekan sangat, sampaikan terpaksa meminta. Tentulah kita malu masa nak minta itu, tapi kerana terpaksa, kita lakukan juga. Banyak kali kita fikir sebelum kita minta, cari jalan lain dulu tapi kerana tidak ada jalan lain, kita mintalah juga. Tapi kalau kena herdik, apalah perasaan kita. Oleh itu, janganlah kita buat begitu kepada orang lain. Kalau kita boleh bantu, kita bantu. Tapi kalau tidak boleh bagi, kita jawaplah dengan baik, siap minta maaf dengan mereka kerana waktu itu tidak boleh beri. Kita katakan, lain kali kalau kita boleh beri, kita beri. Supaya dia pun tidaklah berasa hati sangat.
Dalam ayat ini, Allah mengajar kita bagaimana melayan mereka yang meminta dan bertanya. Seperti yang kita telah sebut, permintaan itu mungkin meminta duit, atau juga boleh jagi meminta ilmu pengetahuan. Jadi ini adalah peringatan yang kuat. Kadang-kadang kita yang dalam dakwah ini, mungkin kita sudah ada ilmu sedikit sebanyak, orang pun panggil kita ustaz, tentu akan ada orang yang akan tanya macam-macam. Kadang-kadang soalan-soalan yang datang itu pun boleh dikatkaan bodoh juga. Kita pun tidak terfikir nak bertanya soalan-soalan begitu. Tapi mereka tanya juga dan kadangkala mereka bertanya berkali-kali. Maka, dalam keadaan begitu, janganlah kita herdik mereka, marah mereka kenapa tanya soalan sebegitu, sebaliknya kenalah kita layan mereka dengan baik. Ini adalah ujian buat kita. Iaitu ujian kepada orang berilmu. Kita kalau dah ada ilmu, jangan kita pandang serong terhadap mereka yang tidak ada ilmu.


Ayat 11: Perkara ketiga yang kena jaga.

وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث

(SAHEEH INTERNATIONAL)
But as for the favor of your Lord, report [it].
(MALAY)
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan.

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan.
نِعمَةِ dari kalimah نعم yang bermaksud kelembutan, kesenangan, relaks, selesa. Ianya adalah sesuatu yang kita suka.
Allah nak ingatkan yang segala nikmat yang kita ada itu adalah pemberian dari Allah, sebab itu Allah sebut بِنِعمَةِ رَبِّكَ (dengan nikmat Tuhanmu).
Apakah نِعمَةِ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Oleh kerana Allah tidak sebut dalam ayat ini, maka ianya mungkin bermaksud  semua nikmat yang Allah berikan dalam ayat ini (nikmat petunjuk, perlindungan dan kekayaan). Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa nikmat yang diberi oleh Allah itu adalah pengetahuan, nikmat kenabian dan ajaran Islam itu. Maka hendaklah Nabi menyampaikannya kepada orang lain (فَحَدِّث) – kena sebut-sebutkan yang bermaksud, kena sampaikan, kena ajar kepada orang. Ini adalah dalam surah ini sudah ada disebut tentang nikmat-nikmat yang Allah telah berikan kepada baginda. Tapi Allah menyebut nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada baginda itu, Allah tidak suruh Nabi ‘menyebut’ tentang nikmat itu. Allah tidak gunakan kalimah فَحَدِّثه (sebut tentang nikmat itu), tapi Allah kata فَحَدِّث ‘sebut-sebutkan’ sahaja. Ini boleh bermakna bukan sebut nikmat-nikmat itu, tapi sebutkan tentang agama Allah.
Tapi ada juga yang kata kita sebut-sebutkan nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Itu sebagai tanda syukur. Kerana kita bersyukur dengan apa yang kita dapat dan kita amat menghargainya, kita sebut apa yang kita dapat itu, tapi bukanlah untuk bermegah, tapi sebagai tanda kesyukuran. Kita puji-puji Allah kerana telah beri kita segala nikmat itu.
Kadang-kadang Allah menguji kita dengan nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Dulu kita miskin, dulu kita bodoh, tapi Allah beri rezeki kepada kita dalam bentuk harta atau ilmu. Allah ajar kita dan beri ilmu kepada kita sampai kita jadi pandai, mungkin jadi ustaz. Jadi janganlah kita mengutuk orang yang tak tahu. Kita dulu pun tak tahu juga. Dengan nikmat yang kita ada, diharap jangan jadikan kita sombong. Bersyukurlah dan beradablah kepada orang yang belum lagi sampai ke tahap kita.
Selepas ini adalah surah Insyirah yang duduk dekat dengan surah Dhuha ini. Surah Dhuha ini adalah tasliah kepada Nabi, dan surah Insyirah nanti adalah tasliah kepada sahabat Nabi. Ini adalah kerana sahabat Nabi pun kena dipujuk juga kerana mereka juga mendapat kesusahan untuk menjaga dan mengembangkan agama Allah ini. Ia juga akan menyambung nikmat-nikmat lain yang diberikan kepada Rasulullah.
Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Alam Nasyrah.

x

No comments:

Post a Comment