x
Surah Ash-Syar-h - سورة الشرح
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.'
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ?
(Ash-Syar-h 94:1) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦
Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) -
(Ash-Syar-h 94:2) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦
Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
(Ash-Syar-h 94:3) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦
Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
(Ash-Syar-h 94:4) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Ash-Syar-h 94:5) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Ash-Syar-h 94:6) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
(Ash-Syar-h 94:7) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦
Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).
(Ash-Syar-h 94:8) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota | Bookmark | Muka Surat 596 - ٥٩٦Tafsir Surah Al-Sharh Ayat 1-8
Pengenalan:
Surah ini ada kaitan yang amat rapat dengan surah Dhuha. Ianya adalah penyambungan dari surah Dhuha. Iaitu penyambungan dari ayat-ayat yang dimulai dengan أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ dimana Allah menyebut nikmat-nikmat yang telah pernah diberikan kepada baginda. Dan akan disambung dalam surah ini nanti. Kita boleh tengok bagaimana surah ini juga dimulai dengan kalimah أَلَم juga, bukan?
Kedua-dua surah ini khitab kepada Nabi Muhammad. Sebab itu kita lihat selalu digunakan ك yang merujuk kepada Nabi Muhammad.
Ianya adalah surah yang pendek tapi amat penting sekali dan banyak pengajaran di dalamnya.
Di hujung sudah Dhuha ada nasihat untuk kita yang perlu diambil kira. Arahan-arahan itu dalam bentuk ayat yang dimulai dengan ف. Allah suruh Nabi sampaikan dakwah dan ajar agama kepada manusia. Dalam surah ini tentang kelebihan agama itu sendiri kepada baginda.
Soalan yang digunakan dalam Dhuha dan juga dalam ayat ini adalah dalam negative question iaitu dimulai dengan أَلَم (tidakkah?). Tujuannya Allah bertanya dalam bentuk itu adalah kerana hendak menekankan yang memang perkara itu telah dilakukan. Kalau kita kata kepada seseorang: “bukan aku dah cakap kat kau untuk buat kah?” Soalan itu maksudnya nak beritahu yang memang sudah beritahu dah dulu.
Dan telah disebut dalam Surah Dhuha, pasti yang kemudian akan lebih mudah. Dalam surah ini juga disebut tentang kesenangan yang akan diberikan kepada baginda. Allah berjanji dengan Nabi Muhammad dalam surah ini.
Dalam Surah Dhuha disebut bagaimana Nabi pernah mencari-cari kebenaran dan Allah beri petunjuk kepada baginda. Orang yang mencari-cari sesuatu sebenarnya tidak tenang dalam hati mereka. Dan bila mereka dapat, barulah hati mereka akan jadi tenang. Dan ini disebut dalam ayat pertama lagi dalam surah Inshirah ini. Akan disebut bagaimana baginda tenang kerana Allah telah beri petunjuk kepada baginda.
Dalam Surah Dhuha, Allah sebut bagaimana baginda akan diberi dengan nikmat sampaikan baginda akan redha dan puas hati dengan pemberian itu. Dalam surah ini, disebut bagaimana Allah menaikkan nama baginda. Itu adalah pemberian yang amat besar sekali.
Dalam surah ini juga akan disebut tentang dua amalan seorang mukmin: satu bersama dengan manusia lain iaitu dalam memberi dakwah, mengajar dan sebagainya (وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث). Dan satu lagi bahagian, dimana manusia hanya bersama dengan Allah dalam ibadat. Ini akan disebut di hujung surah ini nanti. Ia mengajar kita untuk kena ada keseimbangan antara dua perkara ini.
Ayat 1:
أَلَم نَشرَح لَكَ صَدرَكَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Ash-Sharḥ or al-Inshirāh: Expansion.
Did We not expand for you, [O Muḥammad], your breast?¹
- i.e., enlighten, assure and gladden your heart with guidance.
(MALAY)
Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
Allah memberitahu Nabi Muhammad bagaimana Dia telah lapangkan dada Nabi dengan cahaya Islam. Apabila Allah lapangkan dada baginda, baginda boleh faham agama dan menerima wahyu. Satu lagi, ia juga bermakna Allah melapangkan dada Nabi, sampai baginda boleh sabar dalam menghadapi segala dugaan, tidak mudah merajuk, tidak putus asa.
Ramai juga mufassir yang memberikan pendapat, ayat ini merujuk kepada kisah bagaimana dada Nabi telah pernah dibelah dan dibersihkan dua kali sepanjang hidupnya. Sekali semasa kecil dan sekali lagi sebelum isra mi’raj. Tapi ada mufassir lain yang kata, ini bukan makna yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Kerana pendapat itu adalah lemah kerana bukanlah ayat ini hendak menyatakan tentang pembedahan dada Nabi. Ayat ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kejadian itu. Kita katakan begitu kerana kalimah شرَح tidak kena mengena dengan ‘memotong’ seperti memotong dada Nabi.
شرَح membuka sesuatu yang sebelum itu terangkum, terbelit. Sebelum dibuka, ianya adalah susah. Dalam bahasa kita pun kita guna kalimah ‘syarah’ apabila menyampaikan pelajaran agama. Iaitu dijelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami kalau tidak diberitahu. Kerana itu ada syarahan agama, syarahan ilmu hadis dan macam-macam lagi.
Ada empat kali perkataan sharh ini disebut dalam Quran.
Maksud dalam ayat ini, Allah mengembangkan dada Nabi dan menenangkan fikiran baginda. Mereka yang mendapat pengembangan ini akan merasa puas hati kerana sebelumnya fikiran dan hati mereka kusut. Selepas itu, baginda amat redha dengan apa yang baginda telah diberi oleh Allah dan tidak ada rasa kekurangan dan kekusutan lagi.
Ia juga bermaksud, apa-apa halangan yang menghalang Nabi mendapatkan ilmu wahyu diangkat dari baginda. Oleh itu baginda mendapat pemahaman penuh tentang wahyu. Ini adalah kerana kalau kita telah faham sesuatu perkara, kita akan rasa lega. Kadang-kadang satu-satu ilmu disampaikan kepada kita, tapi kalau kita tidak dapat memahaminya, kita akan rasa kusut, bukan? Ini bermakna, Allah memberi kefahaman Quran kepada Nabi. Begitulah kadang-kadang pelajar disuruh tulis apa yang ada di papan hitam, tapi mereka hanya tulis sahaja maklumat yang diberikan kerana mereka tidak faham. Tapi apabila mereka faham apa yang mereka tulis, itu adalah satu perasaan lain. Mereka akan jadi lega dan senang hati dengan apa yang mereka fahami itu.
Dalam dunia ini, ada orang yang tahu hukum Allah, tapi mereka tidak faham kenapa mereka kena lakukan perkara itu. Oleh kerana itu, walaupun mereka taat dan ikut juga hukum syariat yang disampaikan, tapi kerana mereka tidak faham, dan kerana itu mereka rasa ketat. Selalu manusia tertanya-tanya kenapa Allah suruh buat begini dan begitu? Oleh itu, mereka melakukan tindakan yang berkenaan dengan hukum itu bukan dengan sepenuh hati. Tapi kalau ada orang yang faham dan nampak hikmat hukum itu, mereka rasa amat senang hati dan ringan sahaja untuk mereka melakukannya. Sebab itu berbeza orang yang tahu hikmat solat dengan mereka yang tidak tahu. Mereka yang tahu akan ringan dan mudah sahaja untuk mengerjakan solat, malah mereka tertunggu-tunggu bilakah waktu solat yang seterusnya.
Dan kalau dia tidak tahu pun hikmatnya (kerana hikmat itu kadang-kadang memang tidak dapat diketahui), tapi hatinya dapat menerima dengan senang dan yakin yang kalau Allah suruh buat sesuatu perkara itu, tentu ada kelebihan dan hikmat di sebaliknya. Maknanya dia tidak persoalkan langsung segala hukum yang telah ditetapkan. Macam kita makan ubat yang pahit, kita makan juga walaupun kita rasa pahit sangat kerana kita tahu yang ianya baik untuk kita. Dan kita suka dengan adanya ubat itu kerana kalau tidak ada ubat, tentu kita lagi susah. Begitu juga dengan hukum dari Allah – kita taat kerana kita tahu yang ianya baik untuk kita dan kita gembira kerana Allah telah berikan kita syariat itu kerana kalau Allah tidak beri, tentu kita dalam kesesatan dan kesusahan menghadapi kehidupan dalam dunia. Kerana segala hukum yang diberikan oleh Allah adalah untuk mengurus kehidupan dunia kita dengan cara yang terbaik.
Jadi ini adalah sifat yang baik yang disebut dalam ayat ini dan juga dalam An’am:125. Dalam ayat dari Surah al-An’am, Allah sebut Allah bukakan hatinya kepada ‘Islam’, tidak kata ‘iman’, kerana Islam itu adalah ‘penyerahan diri dengan sepenuhnya’. Sesiapa yang Allah mahu berikan petunjuk, Allah mudahkan dia untuk senang menerima syariat Islam. Satu lagi disebut dalam Zumar:22. Mereka yang bersifat seperti itu senang sahaja untuk mengamalkan arahan dari Allah. Mereka yakin yang ianya baik untuk mereka. Mereka selesa dengan agama Islam dan tidak mempersoalkan hukum-hukum Allah.
Ada seorang lagi Nabi yang dibuka dadanya iaitu Nabi Musa dan ini disebut dalam Taha:25. Nabi Musa ada gagap dan seorang yang pemarah. Dan baginda telah diarahkan untuk pergi dakwah Firaun dan dia tahu yang dia akan berhadapan dengan seorang individu yang tentu akan beri macam-macam alasan. Dia tahu yang nanti dia akan jadi marah dan tidak dapat kawal apa yang dia buat pula nanti. Dan kalau dia marah, dia akan jadi gagap pula dan tidak dapat menyampaikan apa yang hendak disampaikan. Maka Nabi Musa berdoa dalam ayat itu meminta supaya Allah kembangkan dan lapangkan hati baginda. Jadi ini adalah permintaan baginda untuk memudahkan kerja dakwah baginda. supaya senang sedikit urusan mereka dalam menyampaikan agama ini.
Nabi Muhammad pun akan mengalami dugaan dalam menyampaikan dakwah kepada umat baginda. Memang akan ada sahaja kata-kata macam-macam terhadap baginda – kutuk keji dan sebagainya. Dan tentu itu akan menyebabkan ketat dada Nabi. Nabi akan menemui banyak rintangan di dalam dakwahnya dan dadanya akan menjadi ketat. Oleh itu, sebagaimana Nabi Musa minta supaya dadanya dilapangkan, maka Allah melapangkan dada Nabi sebelum baginda minta lagi. Ini salah satu tanda cinta Allah kepada Nabi: sebelum Nabi Muhammad minta lagi, Allah sudah beri dah. Bayangkan semasa Nabi menyampaikan dakwah baginda, baginda telah ditolak, dicemuh, dicaci, sampaikan hendak dibunuh oleh orang kafir, maka Allah telah melegakan hati Nabi.
Makna kedua adalah Quran yang diturunkan kepada Nabi adalah amat berat sekali. Sampaikan kalau diturunkan kepada gunung, gunung itu akan pecah (boleh baca 59:21). Maka perlu dilapangkan dada Nabi untuk menerima Quran itu. Ini penting kerana baginda akan menerima sesuatu yang berat. Dalam Muzzammil:5 pun Allah telah memberitahu tentang perkara ini. إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا (Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat).
Dalam ayat ini, Allah bercakap dalam bentuk membahasakan DiriNya sendiri (Allah gunakan kalimah ‘Kami’). Ini berbeza dengan soalan yang digunakan dalam surah Dhuha sebelum ini. Dalam sudah Dhuha digunakan dalam bentuk kalimah ghaibah(pihak ketiga): أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ (Bukankah ‘Dia’ mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu ‘Dia’ melindungimu?). Penggunaan takallum (membahasakan diri sendiri) dalam ayat ini menunjukkan dekatnya Allah kepada Nabi Muhammad.
Dalam surah Dhuha, disebutkan tentang kelebihan yang telah diberikan kepada Nabi, ‘sebelum’ baginda menjadi Nabi. Kali ini, surah Inshirah ini adalah sebagai persediaan Nabi untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Iaitu diberikan apakah yang baginda perlukan untuk menjalankan tugas baginda. Iaitu dikembangkan dada baginda untuk memulakan dakwah baginda. Nabi Musa kena minta dada baginda dibuka, tapi Nabi Muhammad tidak minta pun terus dibuka.
Ayat ini meletakkan perkataan ‘لَكَ’ (untuk kamu) di awal (takdim) ayat kerana hanya kelebihan ini diberikan kepada Nabi sahaja. Oleh itu, ada makna ‘ikhtisas’ (pengkhususan) dalam ayat ini. Ini kita dapat tahu dari segi nahu dan balaghah bahasa Arab. Kelebihan ini tidak pernah diberi kepada orang lain sebelum ini dan tidak akan diberi kepada orang lain. Orang lain dapat juga dibuka hati mereka, tapi tidak seperti yang diberikan kepada baginda. Apa yang Nabi dapat itu adalah tingkat pembukaan yang amat tinggi.
Lihatlah cara pertanyaan Allah kepada Nabi: ianya dalam bentuk soalan retorik: (Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?) Soalan jenis ini bukanlah nak tanya sangat sebenarnya, tapi sebagai penekanan. Kerana memang Allah telah beri pun perkara itu.
Dan dalam masa yang sama, ia akan menyebabkan orang yang telah menerimanya rasa beruntung sungguh. Oleh itu, ayat ini sebagai tasliah kepada baginda.
Ayat 2:
وَوَضَعنا عَنكَ وِزرَكَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We removed from you your burden¹
- By forgiving any errors which you may have committed previously or might commit consequently. “Burden” can also refer to the anxiety experienced by the Prophet (ṣ) at the beginning of his mission.
(MALAY)
dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,
Nabi Muhammad sebelum jadi Nabi, baginda rasa serabut melihat keadaan perangai buruk penduduk Mekah, sampaikan baginda kena naik ke Gua untuk bertapa, menyendiri dari mereka. Baginda sampai tidak tahan melihat keburukan syirik dan kerosakan moral masyarakatnya. Baginda rasa terbeban sangat. Maka Allah angkatkan ‘beban’ yang Nabi rasa itu. Iaitu Allah berikan baginda wahyu untuk mengubah keadaan orang Arab sampai mereka boleh jadi baik.
وَضَع maknanya mengangkat sesuatu dan meletakkannya ke bawah. Sebagai contoh: angkat beg dari atas meja dan letak ke bawah. Juga digunakan kalau ibu mengandung anaknya dalam kandungan, dan kemudian melahirnya. Sebagai yang disebut dalam Ali Imran:36.
وِزرَ maknanya beban yang sangat berat sampai tak boleh bawa. Ianya berat sangat sampai boleh mematahkan belakang seseorang yang menanggungnya. Kalau guna perkataan lain seperti حمل, ia bermakna beban yang berat, tapi masih mampu dibawa lagi. Jadi وِزرَ itu lebih berat lagi. Dan beban ke atas baginda Nabi memang berat sangat.
Allah beritahu yang beban itu diangkat dari baginda. Dan kita telah beritahu apakah pendapat mufassir tentang ‘beban’ itu. Iaitu rasa ketat pada dada baginda.
Ada juga pendapat yang mengatakan Allah mengampunkan segala dosa-dosa Nabi dulu dan akan datang. Semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:
{لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ}supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang. (Al-Fath: 2)
Ayat 3:
الَّذي أَنقَضَ ظَهرَكَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Which had weighed upon your back
(MALAY)
yang memberatkan belakangmu?
نقَضَ bermaksud mematahkan, meleraikan, memutuskan perjanjian. Oleh itu, apabila digunakan kalimah أَنقَضَ, ia bermaksud meletakkan beban yang sangat berat sampaikan tempat letak itu sudah nak patah atau pecah – dah mula dengar bunyi kerak kerak nak patah dah. Ini macam kita letak barang atas meja dan semakin banyak kita letak, dah dengar bunyi ia nak pecah dah.
ظَهرَ – belakang badan. Beban itu berat sangat sampai nak patah tulang belakang. Ini adalah ayat yang bersifat majaaz, iaitu sebagai imbalan sahaja – bukannya ada beg besar diletakkan belakang Nabi, bukan?
Apakah ‘beban’ yang Nabi berat sangat nak tanggung tu? Ada beberapa pendapat seperti di bawah ini:
A. Perasaan berat baginda dalam mencari kebenaran. Nabi mencari-cari kebenaran sebelum baginda menjadi Nabi dan diberikan dengan wahyu. Nabi tidak macam kita yang asyik fikir tentang makan dan pakai sahaja.
Manusia ini ada berjenis-jenis dari segi pemikiran mereka. Memang ada orang yang memikirkan lebih lagi dari makan dan pakai sahaja. Sebagai contoh, ada orang yang tidak hanya fikirkan diri dan keluarga mereka sahaja, tapi mereka fikirkan juga tentang kawasan kejiranan mereka dan mereka mula buat kebaikan – tolong orang susah, buat kutipan derma dan sebagainya. Ada pula yang lebih lagi concern mereka yang buat sumbangan kepada tahap negara – ada yang masuk politik dan macam-macam lagi. Tidak semestinya mereka orang Islam yang beriman pun. Kerana ada orang yang bukan muslim pun, tapi kesedaran mereka tentang manusia lain pun tinggi juga.
Tapi itu semua adalah setakat hal dunia juga. Tapi tidak dengan Nabi Muhammad. Sebelum baginda menjadi Nabi lagi, baginda sudah memikirkan tentang kehidupan dunia dan apakah maksud kehidupan. Baginda mencari-cari erti kehidupan. Sampai baginda pergi ke Gua Hira’ untuk beribadat dan menyendiri dari kaum baginda. Baginda sampai kena pergi ke gua kerana keadaan masyarakat Mekah yang tidak menenangkan dan menyebabkan susah pada hati baginda. Oleh itu, pencarian ini adalah sangat berat kepada Nabi, kerana baginda hendak sangat mencari kebenaran. Selagi baginda tidak mendapat jawapan itu, baginda tidak tenang hati, tidak sedap hati dan resah gelisah, sampaikan menyebabkan baginda tidak tenang. Kita mungkin tidak dapat bayangkan kerana kita tidak ada perasaan begitu. Tapi Nabi memang seorang yang begitu dan kita pun tahu yang baginda bukanlah manusia biasa. Kalau kita baca sirah baginda sebelum Islam pun, kita akan dapat tahu bagaimana keadaan baginda yang lain dari orang lain. Maka Allah berikan wahyu kepada baginda untuk mengangkat segala keresahan itu.
B. Pendapat kedua yang dikatakan sebagai beban itu adalah keadaan masyarakat baginda waktu itu. Baginda ingin sangat menolong masyarakat semua tapi baginda rasa tertekan kerana banyak sangat kemungkaran yang mereka sedang lakukan. Ini sebelum baginda diangkat menjadi Nabi lagi. Banyak dah baginda buat untuk membantu, tapi nampak macam tidak ada kejayaan sebab manusia jahiliah teruk sangat. Sampaikan Nabi rasa nak putus asa. Macam usahanya tidak akan membuahkan hasil dan ini menyebabkan Nabi rasa tertekan. Maka Allah berikan jalan wahyu untuk mengubah masyarakat di sekeliling baginda. Kerana hanya dengan wahyu sahaja masyarakat baginda boleh diubah ke arah kebaikan.
C. Beban ketiga yang dikatakan oleh ulama adalah beratnya hati Nabi apabila berhentinya wahyu buat seketika. Ini adalah satu jangkamasa yang dinamakan fatratil wahyi. Sampaikan isteri Abu Jahal kata Allah dah tinggalkan Nabi. Ini kita boleh rujuk kepada surah Dhuha. Waktu itu Nabi sudah dapat pangkat kenabian dan sudah mula menerima wahu, tapi apabila selepas berberapa ayat yang awal, tiba-tiba penurunan wahyu berhenti, menyebabkan Nabi rasa tertekan. Sambil dalam masa yang sama, baginda kena cemuh kerana wahyu itu berhenti. Itu adalah keadaan yang berat untuk baginda kerana baginda pun rasa sangsi pada diri baginda sendiri. Maka Allah angkat perasaan berat baginda itu dengan menyambung beri wahyu kepada baginda.
D. Beban mendapat tohmahan dari penentang. Seperti yang kita tahu, baginda kena kutuk, kena tuduh bermacam-macam, kena hina dan macam-macam lagi. Keadaan ini adalah amat berat untuk Nabi. Tambahan pula kerana Nabi adalah seorang yang sensitif jiwanya. Segala tohmahan itu telah menyendatkan jantungnya. Tapi baginda tidak berhenti berdakwah walaupun masyarakat semakin teruk menentang baginda. Dan apabila baginda terus berdakwah, mereka terus meningkatkan sikap buruk kepada baginda. Oleh itu dalam keadaan berat ini, Allah berikan baginda dengan Solat Tahajjud. Dengan menjalankan qiyamullail, bermunajat kepada Allah, maka hati Nabi menjadi lega.
E. Beban tekanan kerana menjadi Rasul dan Nabi terakhir. Jadi Nabi rasa tugasnya amat berat. Kerana baginda sedar, kalau baginda tak jalankan tugas dengan baik, maka seluruh umat selepas itu akan sesat. Kerana selepas baginda, tidak ada lagi Nabi yang lain yang akan memperbetulkan agama atau meneruskan tugas baginda. Baginda hanya ada satu peluang sahaja semasa hayat baginda untuk mengubah dunia. Oleh kerana memikirkan perkara ini dan kesan jangkapanjang, Nabi jadi risau memikirkan sampai menjadi beban kepada baginda. Maka Allah ingatkan baginda yang baginda hanya sebagai pemberi peringatan sahaja. Bukanlah tugas Nabi hendak memberikan hidayah. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja tapi hidayah itu milik Allah dan Allah pilih siapa yang Allah hendak beri. Baginda cuma perlu teruskan usaha untuk menyampaikan dakwah sahaja dan jangan risau sangat kepada mereka yang tidak dapat menerima. Kerana akan ada sahaja yang tidak akan menerima ajaran tauhid dan itu bukanlah salah baginda. Dan pasti akan ada yang menerima ajakan baginda itu. Ini disebut dalam banyak ayat-ayat dalam Quran. Ayat-ayat itu dinamakan jenis ayat tasliah iaitu ayat-ayat yang memujuk hati baginda.
F. Baginda rasa terbeban kerana Allah ada menegur baginda. Contohnya, dalam Surah Abasa, ada kejadian dimana Nabi tidak memberi perhatian kepada seorang lelaki buta. Sebenarnya tidaklah perkara itu menjadi kesalahan yang besar, tapi Allah masih tetap tegur baginda kerana kedudukan baginda sebagai seorang Nabi. Apabila dah kena tegur tu, Nabi rasa berat sangat. Allah tegur itu adalah untuk meningkatkan lagi ketinggian baginda. Bukan nak marah sangat. Selepas itu Allah turunkan ayat-ayat sebagai tasliah dan menghiburkan hati Nabi. Allah beritahu yang segala kesilapan Nabi dimaafkan. Maka tenanglah hati baginda.
Ayat 4:
وَرَفَعنا لَكَ ذِكرَكَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And raised high for you your repute.
(MALAY)
Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu,
رَفَع bermaksud ‘meninggikan’ sesuatu. Ini berlawanan dengan kalimah وَضَع yang disebut dalam ayat ke dua surah ini. Selalu Allah berikan kalimah-kalimah yang berlawanan dan ini menambahkan kecantikan dalam ayat ini.
Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelum ini? Apakah kelebihan kalau nama Nabi diangkat? Kalau nama Nabi diangkat, tentu itu bermakna yang dakwah baginda telah sampai kepada manusia, dan inilah yang baginda mahukan. Sebelum ini telah disebut bagaimana baginda rasa terbeban dengan berbagai-bagai keadaan masyarakat baginda dan baginda mahu sangat untuk menyelamatkan mereka. Maka Allah berikan berita gembira dalam ayat ini yang nama Nabi akan diangkat yang bermakna dakwah baginda berjaya.
ذِكرَ bermaksud diingati dan sesuatu itu diingati dengan dua cara – samada dalam hati atau disebut pada lisan.
Allah memuliakan nama Nabi Muhammad menunjukkan yang Allah amat sayang kepada baginda. Kelebihan ini hanya diberikan kepada Nabi Muhammad sahaja.
Bagaimanakah cara Allah meninggikan sebutan nama Nabi? Lihatlah bagaimana dalam banyak keadaan, apabila nama Allah disebut, akan disebut bersamanya nama Nabi Muhammad. Sebagai contoh dalam sebutan Syahadah, azan, tashahud dan sebagainya. Ini selalu sangat terjadi dan bukankah azan itu tidak berhenti setiap masa, kerana akan ada sahaja waktu solat di mana-mana sahaja? Itu ditambah lagi dengan umat Islam memberikan selawat kepada baginda. Allah telah mengarahkan malaikat dan manusia untuk berselawat kepada baginda. Maknanya, nama Nabi Muhammad sentiasa disebut hampir setiap ketika, tidak pernah sunyi dari bibir manusia. Begitulah kita juga kena memuliakan nama baginda, tapi janganlah sampai nama Nabi setanding dengan nama Allah pula. Jangan pula puja nama Nabi Muhammad seperti memuja nama Allah.
قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنِي يُونُسُ، أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ دَراج، عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: “أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّ رَبِّي وَرَبَّكَ يَقُولُ: كَيْفَ رَفَعْتُ ذِكْرَكَ؟ قَالَ: اللَّهُ أَعْلَمُ. قَالَ: إِذَا ذُكِرتُ ذُكِرتَ مَعِي”Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, dari Darij, dari Abul Haisam, dari Abu Sa’id, dari Rasulullah Saw., bahawa beliau Saw. pernah bersabda: Jibril datang kepadaku dan berkata, “Sesungguhnya Tuhanku dan Tuhanmu pernah berfirman, ‘Tahukah kamu bagaimana Aku meninggikan sebutan (nama)mu?’ Jibril menjawab, ‘Allah lebih mengetahui.’ Allah berfirman, Apabila nama-Ku disebut, maka disebut pula namamu bersama-Ku’.”
Dalam Quran, Allah sentiasa panggil Nabi dengan gelaran (laqab) yang manja. Allah tidak memanggil baginda setakat panggil nama sahaja. Sebagai contoh Allah bainda dengan gelaran: يا أَيُّهَا المُزَّمِّلُ [Hai orang yang berselimut], يا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ [Hai orang yang menutupi dirinya], يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ [Hai Nabi], يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ [Hai Rasul]. Ini adalah satu penghormatan yang tinggi kerana kepada Nabi-Nabi yang lain, Allah panggil mereka dengan nama mereka, يَا مُوسَى, يَا زَكَرِيَّا, dan sebagainya. Dan kalimah يا محمد tidak ada dalam Quran. Semuanya Allah gunakan laqab apabila bercakap kepada baginda. Ini sebagai penghormatan kepada baginda. Bayangkan, kalau dalam tentera, yang ada pangkat tidak dipanggil dengan nama mereka, tapi dengan pangkat mereka. Jadi Allah tinggikan kuantiti dan juga kualiti panggilan kepada Nabi.
Allah juga telah mengingatkan Nabi-Nabi lain sebelum ini bahawa jika Nabi Muhammad datang, mereka kena tolong baginda. Ini semua telah disebut dalam kitab-kitab yang dahulu dan telah disebut dalam Ali Imran:81. Jadi banyak betul nikmat dan peringatan yang telah diberikan kepada Nabi.
Ayat 5:
فَإِنَّ مَعَ العُسرِ يُسرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
For indeed, with hardship [will be] ease [i.e., relief].
(MALAY)
Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
إِنَّ bermaksud ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. Ini adalah satu penekanan.
مَعَ bermaksud ‘bersama’. Iaitu menyebut tentang dekatnya satu perkara dengan perkara yang lain.
العُسرِ bermaksud kesusahan atau waktu yang susah.
يُسرًا bermaksud sesuatu yang mudah, senang, suatu kerja yang boleh dibuat without banyak usaha.
Ayat ini bermaksud, sesungguhnya pasti dengan kesusahan yang dialami, ada kesenangan yang datang bersamanya, dekat dengannya. Dan kesenangan itu lebih banyak dari kesusahan. Ini kita dapat tahu dari bahasa yang digunakan. Sebab العُسرِ bermaksud ‘satu’ kesukaran kerana ada ال pada kalimah itu, tapi kalimah يُسرًا dalam format nakirah kerana tidak ada ‘ال’ maka maksudnya ada banyak kemudahan. Oleh itu, dari bahasa, kita dapat tahu yang susah itu ada satu sahaja, tapi kemudahan diberikan banyak. Setiap satu kesusahan ada banyak kemudahan padanya.
Dari segi bahasa juga, kita tahu yang ayat ini hendak menyebut tentang ‘kesenangan’, bukan kesusahan. Kerana apabila ada kalimah إِنَّ, ia merujuk kepada kalimah yang berbentuk nasb, iaitu kalimah يُسرًا. Ini adalah dari pelajaran bahasa Arab kepada mereka yang memahami.
Ayat 6: Allah ulang sekali lagi.
إِنَّ مَعَ العُسرِ يُسرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, with hardship [will be] ease.
(MALAY)
sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
Kenapa ada pengulangan. Pengulangan ayat keenam yang sama dengan ayat kelima ini adalah kerana Allah hendak menunjukkan Allah sayangkan kita. Bukankah kalau kita pujuk orang lain, kita akan cakap dua kali? Oleh itu, kita boleh lihat ayat ini bagaimana Allah memujuk dua kali kepada Rasulullah.
Dari segi bahasa, apabila diulang sekali lagi ia membawa maksud: sekali susah, dua kesenangan. Ini kerana ال merujuk kepada kesusahan yang sama, tapi يُسرًا dalam bentuk nakirah itu, adalah kesenangan yang berlainan – oleh itu, العُسرِ dalam ayat 5 dan 6 adalah kesusahan yang sama, tapi kalimah يُسرًا dalam ayat 5 dan 6 itu bukan kesenangan yang sama. Jadi apabila satu susah, ada bersamanya dua kesenangan. Begitulah dalam hal agama, kalau ada satu perbuatan atau hukum yang susah, ada dua kebaikan dan kesenangan. Maknanya, dalam hal agama ini, lebih banyak yang mudah dari yang susah. Maka janganlah kita pula yang susahkan agama. Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang senang-senang sahaja susahkan ajaran agama ini kepada manusia. Mereka ada yang reka hukum-hukum yang susah dalam agama, sedangkan amalan agama ini senang sahaja. Sebagai contoh, ada guru yang ajar, kalau istinjak selepas buang air besar, sampai kena jolok lubang dubur – ini adalah tambahan dalam agama dan tidak patut dilakukan. Agama tidaklah menyusahkan sampai begitu sekali.
Ayat ini juga hendak mengatakan bahawa apabila kita mengalami kesukaran dalam hidup, maka bersabarlah. Kerana akan datang bersamanya dua kali senang. Ingatlah kisah Nabi Ayyub yang berada bersama kesusahan. Tapi baginda bersabar dan baginda mendapat kesenangan selepas itu.
Ada satu pendapat yang mengatakan, apabila ada pengulangan, itu bermaksud satu untuk masa lalu dan yang satu lagi untuk masa hadapan. Jadi masa yang lalu pun ada mudah yang banyak dan di masa hadapan pun nanti akan ada masa hadapan yang mudah.
Ia juga boleh bermaksud, satu untuk dunia dan satu lagi untuk akhirat. Jadi di dunia senang dan di akhirat nanti pun ada kesenangan.
Ayat 7:
فَإِذا فَرَغتَ فَانصَب
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So when you have finished [your duties], then stand up [for worship].
(MALAY)
Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
Yang dimaksudkan adalah Solat Qiyamullaiil (solat di malam hari). Nabi Muhammad memang menunggu-nunggu waktu untuk mendirikan ibadat qiyamullail kepada Allah. Inilah yang sepatutnya terjadi. Bayangkan, kalau kita dapat peluang untuk bermunajat kepada Allah, tentu kita akan ambil peluang untuk terus bercakap dengan Allah. Lihat bagaimana Nabi Musa apabila dapat bercakap dengan Allah, baginda memanjangkan komunikasi itu. Lihatlah bagaimana apabila Allah tanya baginda pasal tongkat yang di tangan baginda dalam Taha:17, Nabi Musa jawap panjang berjela (sedangkan kalau nak jawap pendek pun boleh juga), kerana baginda nak panjangkan masa bercakap itu.
Begitulah dengan Nabi Muhammad. Baginda teringin sangat untuk menghabiskan masa bermunajat kepada Allah. Akan tetapi seorang Nabi itu kena berkomunikasi dengan Allah, dan dalam masa yang sama, kena juga berdakwah dan berkomunikasi dengan manusia. Begitulah selepas Nabi Musa bercakap dengan Allah seperti yang disebut dalam Surah Taha, Allah terus suruh baginda pergi berdakwah kepada Firaun. Agak-agaknya Nabi Musa suka kah nak jumpa Firaun? Tentu tidak, tapi baginda kena lakukan kerana itulah tugas seorang Nabi. Para Nabi itu kalau boleh, nak bercakap terus sahaja dengan Allah, tapi mereka ada tugas. Jadi mereka kena jalankan tugas dakwah. Dalam Quran, bermunajat dengan Allah disentuh dalam surah Muzzammil dan bercakap dengan manusia disentuh dalam surah Muddaththir.
Bagaimana dengan Nabi Muhammad? Sepanjang hari baginda kena berdakwah kepada umatnya. Tapi hati baginda tertunggu-tunggu untuk dapat bermunajat dengan Allah. Allah beritahu baginda dalam ayat ini, apabila baginda sudah selesai menjalankan kerja dakwah baginda, bolehlah baginda bermunajat denganNya. Maknanya, baginda menunggu-nunggu untuk solat kepada Allah. Ini seolah-olah dakwah itu sebagai kerja dan qiyamulail itu adalah percutian untuk baginda.
Begitulah Nabi rasa, tapi bagaimana pula dengan kita? Maka, ini mengingatkan kita bahawa apabila habis urusan dunia, bangunlah untuk beribadat kepada Allah. Kita kena faham bahawa bermunajat dan ibadat kepada Allah itu adalah perkara yang indah dan kita kena lakukan. Tambahan pula kalau seorang pendakwah – jangan sibuk berdakwah sahaja tapi kenalah kuatkan hubungan dengan Allah. Seolah-olah ibadat dengan Allah itu adalah minyak kereta untuk kita terus berjalan berdakwah kepada manusia.
Apakah pengajaran kepada kita dalam ayat ini? Ayat ini mengajar kita untuk seimbangkan kehidupan kita dalam menghayati agama Islam. Jangan ada yang dakwah sahaja, tapi tidak zikir bermunajat kepada Allah. Itu tidak seimbang. Dan ada pula banyak zikir sahaja, tapi tidak dakwah. Maka kita kena imbangkan keduanya. Sebagai seorang yang menjalankan kerja dakwah, jangan lupa untuk meluangkan masa dengan Allah.
نصَب bermaksud mempasak diri, memenatkan diri. Dan beginilah yang dilakukan oleh baginda dalam solat malam baginda, sampaikan telah sampai kepada kita hadis bagaimana kaki baginda bengkak kerana melakukannya.
فَرَغ bermaksud lega dari sesuatu tugas. Apabila telah selesai menjalankan tugas. Maksud dalam ayat ini kita telah faham, apabila telah selesai menjalankan kerja dakwah, maka beribadatlah kepada Allah. Oleh itu, dalam hal kita, apabila kita telah buat kerja-kerja keduniaan kita, maka bersiaplah untuk beribadat kepada Allah. Tapi janganlah sibuk sangat dengan kerja-kerja dunia sampai tidak ada masa langsung untuk ibadat. Ramai yang tidak kisah habiskan masa dengan kerja dan ahli keluarga, tapi tidak luangkan masa untuk bermunajat kepada Allah.
Jadilah seperti Nabi Muhammad (Nabi Muhammad itu memang sebagai contoh kita, bukan?)Selepas Nabi selesai menjalankan kerja dakwah disiang hari, malamnya Nabi akan mengadap Allah. Itu dalam tugas baginda seharian. Maknanya, kepada Allah kena beribadah.
Itu adalah dalam kehidupan seharian baginda. Begitu juga dalam kehidupan baginda secara keseluruhan, di hujung-hujung hayat baginda selepas baginda selesai kerja sebagai Nabi, Nabi memilih untuk bersama dengan Allah. Dalam satu hadis, disebutkan bahawa Nabi memilih untuk memilih bersama Allah. Dalam Sahih al-Bukhari:
إِنَّهُ لَمْ يُقْبَضْ نَبِىٌّ قَطُّ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الْجَنَّةِ ثُمَّ يُحَيَّا أَوْ يُخَيَّرَ » . فَلَمَّا اشْتَكَى وَحَضَرَهُ الْقَبْضُ وَرَأْسُهُ عَلَى فَخِذِ عَائِشَةَ غُشِىَ عَلَيْهِ ، فَلَمَّا أَفَاقَ شَخَصَ بَصَرُهُ نَحْوَ سَقْفِ الْبَيْتِ ثُمَّ قَالَ « اللَّهُمَّ فِى الرَّفِيقِ الأَعْلَى »
(Bahawa tidak seorang Nabi pun yang dicabut nyawanya melainkan diperlihatkan tempatnya dalam syurga. Apabila Rasulullah s.a.w dalam kesakitan dan menghampiri maut, kepala baginda atas peha ‘Aishah dalam keadaan pitam. Apabila baginda sedar, matanya memandang ke arah bumbung rumah lalu menyebut: “ALLAHUMMA FI AL-RAFIQ AL-A’LA (YA ALLAH! PADA TEMAN YANG MAHA TINGGI)
Oleh kerana tugas baginda sudah habis untuk menyampaikan ajaran agama kepada umat, maka keinginan baginda adalah hendak bersama dengan Allah.
Satu lagi tafsir ayat ini, selepas selesai tabligh wahyu, atau selepas mengajar wahyu kepada manusia, maka ambil peluang untuk doa.
Ayat 8:
وَإِلىٰ رَبِّكَ فَارغَب
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And to your Lord direct [your] longing.
(MALAY)
dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.
رغَب bermaksud mengadap dan memberikan perhatian. Berharap kepada seseorang dengan perasaan kasih. Dalam ayat ini kita disuruh untuk berharap kepada Allah. Dan apabila kalimah إِلىٰ, itu bermaksud ada ikhtisas (pengkhususan). Maka hendaklah hanya kepada Allah sahaja kita berharap, bukan kepada orang lain.
Oleh itu, ayat ini menyuruh kita sentiasa mengadap Allah. Begitulah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad – walaupun baginda sedang bercakap dengan manusia, hati baginda tetap terkait dengan Allah. Dan dari hadis, kita dapat tahu yang walaupun baginda tidur, baginda tidak meninggalkan zikir kepada Allah. Maka kita kenalah cuba untuk sentiasa tawajjuh kepada Allah sentiasa.
Ayat ini menyambung ayat sebelum ini – selepas selesai tugas dakwah, maka hadapkan diri kepada Allah.
Penutup:
Surah ini meninggikan kedudukan Nabi Muhammad. Dan ini penting. Malangnya, pada zaman sekarang, ramai yang menghina Nabi secara terbuka. Sampaikan ada yang buat kartun menghina Nabi Muhammad, ada yang buat filem dan macam-macam lagi. Tapi dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa Allah menaikkan nama Nabi. Ini mengajar kita, walaupun mereka hina baginda dengan macam mana pun, penghormatan kepada Nabi lagi tinggi. Oleh itu, perbuatan mereka menghina Nabi Muhammad itu adalah macam meludah ke matahari sahaja, ludah itu akan kena balik kepada siapa yang meludah.
Allah nak beritahu yang Allah tahu yang baginda rasa ketat kerana apa yang dikatakan tentang baginda, maka baginda beri tasliah (pujukan) kepada baginda.
Dalam surah al-Kautsar nanti, kita akan belajar bagaimana orang kafir mengutuk Nabi. Mereka kata keturunan Nabi terputus kerana anak lelaki baginda mati. Tapi yang sebenarnya, merekalah yang akan terputus. Sampai sekarang, nama Nabi diingat dan disanjung, tapi nama mereka dihina sampai hari Kiamat.
Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah at-Teen.
No comments:
Post a Comment