Senarai

Menu

Pages - Menu

Pages

Pages - Menu

Monday, October 15, 2018

Tafsir Surah al-Qadr Ayat 1-5 (Kehebatan Qur’an)

x
x

Surah Al-Qadr - سورة القدر


Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.'

97_1
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
(Al-Qadr 97:1) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 598 - ٥٩٨

97_2
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
(Al-Qadr 97:2) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 598 - ٥٩٨

97_3
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
(Al-Qadr 97:3) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 598 - ٥٩٨

97_4
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
(Al-Qadr 97:4) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 598 - ٥٩٨

97_5
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
(Al-Qadr 97:5) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 598 - ٥٩٨

x

Tafsir Surah al-Qadr Ayat 1-5 (Kehebatan Qur’an)


Pengenalan:
Surah ini memberitahu kehebatan Quran kepada kita. Quran itu amat hebat, sampaikan malam turunnya pun dah hebat dah. Malam itu hebat kerana malam itulah turunnya Quran dan inilah tajuk perbincangan surah ini. Malam Lailatul Qadr itu adalah untuk memperingati turunnya wahyu. Macam kita buat perayaan kerana mengingatkan peristiwa kejadian yang telah berlaku pada hari tu. Seperti kita sambut Hari Kemerdekaan kerana mengingatkan kita merdeka dari penjajah dan itu adalah peristiwa yang penting. Maka, tentulah penurunan Quran itu lebih penting lagi kerana ianya adalah penurunan wahyu Allah.
Kaitan surah ini dengan surah sebelumnya, Surah al-Alaq.
1 – Surah ‘Alaq menceritakan bagaimana wahyu mula diturunkan (kisah di Gua Hira’) sedangkan surah ini menceritakan bilakah wahyu mula diturunkan, iaitu pada Lailatul Qadr.
2 – Surah ‘Alaq menyebut bagaimana Allah lah yang mengajar manusia dengan maklumat yang mereka tidak akan dapat tahu tanpa Allah yang memberitahu: [Alaq 96:5]; Dalam Surah Qadr, Allah bertanya: وَما أَدراكَ ما لَيلَةُ القَدرِ (Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?). Ini menunjukkan bahawa kita tidak akan tahu tentang Lailatul Qadr itu tanpa Allah mengajarkannya kepada kita. Ilmu kita bergantung kepada Allah. Kita jahil agama tanpa ilmu yang Allah berikan.
3 – Ayat terakhir Surah Alaq adalah: وَاسجُد وَاقتَرِب. dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan) [Alaq 96:19]; dalam Surah Qadr kita akan diberitahu bahawa waktu yang paling baik untuk mendekatkan diri dengan Allah adalah pada Lailatul Qadr.
4 – Dalam Surah ‘Alaq, Allah suruh kita baca (اقرَأ); dalam Surah Qadr kita akan diberitahu apa yang hendak dibaca? Kita akan diberitahu bahawa yang disuruh baca adalah Quran yang diturunkan pada Malam Qadr itu.
Apabila membicarakan tentang Lailatul Qadr, satu persoalan yang tidak dapat dielakkan adalah, bilakah Malam itu? Ini adalah satu perkara yang banyak diperbincangkan, malah ada lebih dari 40 pendapat ulama.
Kita hampir pasti yang ianya adalah salah satu dari 5 malam ganjil dari 10 malam terakhir Ramadhan (malam 21, 23, 25, 27, atau malam ke 29). Ada pendapat yang mengatakan, kerana hanya ada 5 ayat dalam surah ini, maka ada kaitan antara malam yang 5 itu dengan 5 ayat yang ada dalam surah ini. Pendapat yang paling banyak adalah malam ke 27. Ibn Abbas pernah menjelaskan bagaimana malam Qadr itu adalah pada malam ke 27.
Allahu a’lam. Allah lebih tahu bilakah malam itu sebenarnya. Kita dan ulama hanya dapat mengagak sahaja dan tidak dapat pastikan. Pendapat yang selamat adalah ianya jatuh pada salah satu dari malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir seperti yang telah disebut tadi. Sepatutnya kita ambil peluang untuk meningkatkan amal kita pada malam-malam itu. Malangnya, waktu itulah yang umat sudah berkurang buat amal kerana ianya adalah malam-malam akhir Ramadhan. Dah penat buat amal dari awal bulan; dan waktu itu sudah sibuk nak membeli belah dan bersedia untuk beraya. Amat malang sekali. Sepatutnya kita kena simpan tenaga kita supaya dapat tahan sampai ke hujung Ramadhan.


Ayat 1:

إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةِ القَدرِ

Sahih International
Indeed, We sent the Qur’an down during the Night of Decree.
Malay
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

Dalam Surah sebelum ini, iaitu surah Alaq, Allah menceritakan bagaimanakah Quran itu diturunkan pertama kalinya. Kali ini, Allah menceritakan tentang ‘bilakah’ Quran diturunkan. Dalam ayat ini, disebut bahawa ianya diturunkan pertama kali pada لَيلَةِ القَدرِ (Malam Qadr).
Allah menggunakan perkataan ‘Kami’ untuk diriNya dalam ayat ini. Ramai juga yang keliru tentang kenapa Allah gunakan kalimah ‘Kami’ ini. Sampai ada yang kata, ini adalah dalil menunjukkan bahawa Tuhan itu banyak (seperti fahaman Kristian – triniti). Ini amat keliru sekali dan kita kena jelaskan kerana orang Islam pun tidak tahu perkara ini dan apabila diberi hujah karut seperti di atas oleh orang Krsitan, pening jadinya mereka. Apabila Allah menggunakan kataganti ‘Kami’, ini tidaklah mengatakan bahawa Tuhan itu banyak. Dalam Bahasa Arab, ini adalah ‘Royal We’ yang menunjukkan keagungan Allah. Allah akan menggunakan perkataan ‘Kami’ ini, apabila dalam ayat-ayat yang menunjukkan rahmat Allah: seperti menurunkan hujan. Dan ini biasa sahaja dalam Bahasa Arab – buktinya, Musyrikin Mekah yang percaya kepada ilah yang banyak pun tidak keliru mengatakan dalam Qur’an ada cakap ilah banyak, kerana mereka faham bahasa. Orang kita sahaja yang tidak tahu.
Kalau kita lihat dengan teliti, penggunaan dhomir (kataganti) dalam Qur’an tentang Allah:
  • أنا – Aku
  • نحن – Kami
  • أنت – Kamu
  • هو – Dia
Dalam penggunaan dhomir ini, hanya satu sahaja dalam bentuk jamak (Kami). Selain dari itu, semuanya menggunakan dhomir mufrad (singular). Kalau benarlah Tuhan itu banyak seperti yang didakwa oleh puak kafir, tentulah semua penggunaan itu menggunakan bentuk jamak, bukan? Oleh itu, hujah yang mengatakan Tuhan itu satu sahaja:
1 – Semua penggunaan dhomir adalah mufrad.
2 – نحن memang digunakan dalam bahasa Arab dan tamadun sebelum Arab untuk menunjukkan kekuatan dan kekuasaan. Sebagai contoh, seorang raja akan membahasakan dirinya dengan kalimah ‘kami’ juga – (kami maafkan mereka), (kami telah membuat keputusan) dan sebagainya. Walaupun raja itu seorang sahaja, tapi sebagai menunjukkan kekuasaannya dalam negeri itu, dia bahasakan dirinya dengan kalimah ‘kami’. Ini biasa dan sampai sekarang pun digunakan juga.
Oleh itu, Allah gunakan kalimah dhomir نحن apabila Dia menurunkan rahmat seperti menurunkan hujah, makanan dan segala nikmat lain. Itu semua adalah perbuatan yang besar-besar. Oleh itu, penggunaan نحن adalah penggunaan dalam bentuk rasmi.
3 – Allah ada juga menggunakan dhomir ‘Aku’. Iaitu pada dua tempat – apabila Allah sangat marah atau apabila Allah sangat belas kasihan kepada hambaNya. Jadi, penggunaan ‘Aku’ adalah penggunaan tidak rasmi sedangkan penggunaan نحن adalah penggunaan yang rasmi.
4 – Apabila kalimah dhomir نحن digunakan, kalau kita perhati betul-betul, pasti akan ada kalimah Allah atau Rabb bersamanya (sebelum atau selepas kalimah نحن). Ini menunjukkan bahawa Allah itu memang Esa. Jadi, mereka yang menggunakan hujah kalimah نحن untuk mengatakan Tuhan itu banyak, mereka tidak baca Qur’an dengan teliti.
Satu lagi persoalan yang timbul tentang Lailalul Qadr adalah: adakah malam itu memang telah diberkati atau ianya diberkati selepas Quran diturunkan pada malamnya? Walaupun ada pendapat yang berbeza, tapi kita pilih pendapat yang mengatakan ianya memang malam yang berkat dan apabila Quran diturunkan pada malamnya, menambahkan lagi keberkatannya. Dalilnya dalam Dukhan:3,
إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةٍ مُبارَكَةٍ
sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi
Allah menggunakan ganti nama ‘ه’ dalam أَنزَلناهُ yang merujuk kepada Quran kerana semua orang sudah tahu. (Walaupun agama Sesat Syiah mengatakan yang dimaksudkan adalah Imam Mahdi). Allah tidak kata ‘Qur’an pun dalam ayat ini. Allah tidak perlu beritahu apakah yang diturunkan pada malam itu kerana ianya adalah maklumat universal yang semua orang dah tahu. Ini adalah kerana ia sudah ada dalam hati iaitu telah diilhamkan oleh Allah, sampai tak perlu cakap pun. Maksudnya, orang kafir atau orang Islam pun sudah tahu sepatutnya.
إِنّا أَنزَلناهُ: Allah menekankan dalam ayat ini (dan juga dalam ayat Dukhan itu) yang Allah lah (dengan menggunakan kataganti Kami) yang menurunkan Qur’an. Ianya bukan dari kata-kata Jibrail walaupun Jibrail yang menyampaikannya secara lisan kepada Nabi Muhammad. Ini adalah kerana Jibrail hanya sebagai penyampai sahaja.
أَنزَل: kalau kita lihat dalam terjemahan biasa, hanya dikatakan ‘menurunkan’ sahaja. Akan tetapi kadang-kadang digunakan kalimah yang berbeza iaitu نزّل yang juga diterjemahkan sebagai ‘menurunkan’ juga. Oleh itu, tentu ada perbezaan antara keduanya kerana wazan (bentuk susunan dan ejaan) yang digunakan adalah berbeza.
أَنزَل – dari wazan أفعل bermaksud menurunkan sesuatu SEKALI SAHAJA.
نزّل – dari wazan فعّل bermaksud menurunkan sesuatu banyak kali – sedikit demi sedikit.
Oleh kerana itu, selalu dalam Qur’an, apabila menyebut tentang penurunan Qur’an, digunakan kalimah نزّل, dan kalau kitab-kitab sebelum Qur’an seperti Taurat dan Injil, kalimah yang digunakan adalah أَنزَل. Kenapa ada perbezaan itu? Kalau kalimah yang digunakan berbeza, tentu ada perbezaan. Sebagai contoh, kalau kita lihat dalam Ali Imran:3, Allah berfirman:
نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقاً لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ التَّوْرَاةَ وَالإِنجِيلَ
Dia menurunkan Al Kitab (Al Quran) kepadamu dengan sebenarnya; membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil,
Dari ayat Ali Imran di atas, kita boleh lihat dengan jelas, apabila menyebut penuruhan Qur’an, Allah gunakan kalimah نَزَّلَ dan apabila menyebut tentang penurunan Taurat dan Injil, kalimah أَنزَلَ yang digunakan. Jadi, memang ada perbezaan. Ini adalah kerana Taurat dan Injil itu diturunkan dengan lengkap sekali gus, dan Qur’an diturunkan sedikit demi sedikit, selama lebih kurang 23 tahun.
Tapi dalam ayat surah Qadr ini, Allah menggunakan perkataan أَنزَلَ pula. Kenapa digunakan kalimah yang lain pula? Ini adalah kerana dalam ayat ini, ianya menceritakan bagaimana penurunan Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia (Baitul Izzah) dengan cara ‘sekaligus’. Kerana itulah digunakan kalimah أَنزَلَ dalam ayat ini. Ini bermakna, berkenaan Qur’an, ada dua cara penurunan: pertama, penurun sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Langit Dunia (Langit Pertama). Dan kemudian dari situlah penurunan jenis kedua iaitu diturunkan Quran secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad selama 23 tahun. Dalam masa yang agak lama itu, ayat-ayat Qur’an diturunkan mengikut keperluan dan ikut masa yang telah Allah tetapkan. Allah sahaja yang Maha Tahu kenapa dan bila ia patut diturunkan. Begitulah, banyak yang kita boleh tahu dari penggunaan bahasa Qur’an. Oleh kerana itulah, pengetahuan tentang Bahasa Arab penting untuk memahami Qur’an.
Memang ada yang komen, kenapa tak turunkan Qur’an itu semua sekali? Allah lebih mengetahui, tapi setakat yang kita boleh fikirkan, kalaulah Qur’an itu diberikan sekali harung, ianya akan menyebabkan kita terbeban dengan maklumat yang terlalu banyak pada satu masa. Oleh itu, ada kelebihan apabila ianya diturunkan sedikit demi sedikit. Para sahabata dapat memahami Qur’an sedikit demi sedikit dan dapat masuk dalam hati. Ini akan menyebabkan kita lebih faham. Dan begitu jugalah dengan kita yang mempelajari  Qur’an ini – memerlukan masa untuk belajar Qur’an. Kena belajar satu persatu, perlahan-lahan. Kerana kalau belajar sekali harung, akan lupa akhirnya kerana tidak dapat penumpuan.
لَيلَةِ القَدرِ – kita tahu yang لَيلَةِ itu bermaksud ‘malam’, tapi apakah maksud القَدرِ itu? Ada yang menterjemahkannya dengan ‘Malam Kuasa’. Tapi tak berapa nak faham, bukan? Ulama tafsir cuba menjelaskan dengan beberapa pendapat yang kita cuba senaraikan di bawah:
1. Digunakan القَدرِ itu dalam maksud ‘kadar’. Allah menentukan bahagian apa yang manusia akan dapat pada tahun itu. Kalau dalam negara kita, apabila kerajaan buat budget 5 tahun, setiap tahun akan dikeluarkan pula kadar pemberian kewangan kepada kementerian yang patut dapat. Begitu jugalah dengan القَدرِ Allah Taala ini: القَدرِ keseluruhan telah ditetapkan di Lauh Mahfuz, tapi setiap tahun akan dibentangkan kepada para malaikat untuk menjalankan kadar untuk tahun itu sahaja. Jadi ini adalah penentuan apakah yang akan terjadi pada tahun itu, siapa yang akan hidup, siapa akan mati, rezeki apa yang makhluk akan terima dan sebagainya.
2. القَدرِ juga boleh diterjemahkan sebagai kemuliaan. Dan kerana itu Lailatul Qadr boleh juga dikatakan sebagai Malam yang Mulia.
3. القَدرِ juga boleh diterjemahkan sebagai penghargaan. Oleh itu, sesiapa yang beribadat pada malam itu kepada Allah, dan taat kepada Allah, Allah akan hargai dan berikan kelebihan amalan mereka itu melebihi 1,000 bulan.
4. القَدرِ juga boleh bermaksud penahanan, tertahan, tersekat; sebagai contoh, Allah tahan rezeki seseorang. Ini kita boleh lihat digunakan dalam Qur’an seperti dalam  Fajr:16 وَأَمّا إِذا مَا ابتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيهِ رِزقَهُ (Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya). Digunakan maksud ini kerana apabila sesuatu itu tertahan, tersekat kerana banyak sangat – dan pada malam Qadr, memang amat banyak sekali para malaikat yang turun ke bumi dan kerana itu keadaan menjadi tersekat.
Jadi, ada banyak sekali maksud القَدرِ itu dan semuanya boleh digunakan untuk menjelaskan maksud لَيلَةِ القَدرِ itu, dan tidak hanya satu makna sahaja. Kalau kita bataskan maksudnya kepada ‘Malam Kuasa’, maka akan kurangnya maknanya untuk pemahaman kita.


Ayat 2:

وَما أَدراكَ ما لَيلَةُ القَدرِ

Sahih International
And what can make you know what is the Night of Decree?
Malay
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

وَما أَدراكَ – apakah makna ما dalam ayat ini? Salah satu guna ‘ما’ adalah Maa at-ta’ajjub (untuk menyatakan kejutan dan kagum dengan sesuatu). Maksudnya begini: apakah yang dapat memberitahu kamu tentang kehebatan Malam Qadr yang hebat itu? Tahukah kamu kelebihan malam itu? Dengan menggunakan kalimah ini, kita dengan sendiri dapat tahu bahawa malam itu adalah amat penting dan hebat sekali.
Kalau kita perhatikan, kalimah أَدرى adalah dalam katakerja lepas (past tense). Dan ada dalam ayat-ayat lain dimana Allah menggunakan penggunaan present tense seperti dalam Abasa:3 وَما يُدريكَ لَعَلَّهُ يَزَّكّىٰ (Bagaimanakah kamu boleh tahu, barangkali ia ingin membersihkan dirinya). Kalau kita lihat perbezaan penggunaan kalimah ini, kita akan perasan, apabila Allah gunakan dalam past tense, Allah tidak berikan jawapannya selepas itu. Tapi kalau Allah gunakan dalam present tense, Allah tidak beritahu maklumatnya selepas itu. Sebagaimana contoh dalam Abasa:3 itu, Allah tidak beritahu apakah yang ada dalam hati lelaki buta yang bertanya kepada Nabi itu. Tapi oleh kerana dalam ayat Surah Qadr ini, Allah gunakan dalam past tense, maka Allah akan beritahu tentang apakah malam itu. Ada maklumat yang Allah akan beritahu, tapi Allah tidaklah beritahu bilakah malam itu. Tapi adalah maklumat Allah beritahu.
Apabila Allah bertanya tentang sesuatu, tentunya kerana ianya adalah perkara yang amat penting. Ini kita boleh lihat dalam surah-surah yang lain dimana Allah bertanya soalan yang sama.
Dan satu lagi, apabila digunakan kalimah ما أَدراكَ dalam surah-surah yang lain, tidak diulang lagi soalan itu. Tapi dalam surah ini, Allah sebut sekali lagi soalan itu dalam ayat selepas ini, menunjukkan kelebihan Malam Qadr itu.
Kadang-kadang Allah akan gunakan pengulangan sesetengah perkataan sebagai penekaran. Dan dalam ayat ini, Allah mengulang perkataan ‘Lailatul Qadr’ kali kedua dalam ayat ini sebagai penekanan kepentingan malam itu. Ada juga Allah melakukan perkara yang sama dalam surah-surah yang lain. Tapi dalam surah ini, Allah ulang lagi untuk kali ketiga dalam ayat ketiga. Ini menunjukkan lebih penting lagi Lailatul Qadr itu, Maka kita kena beri perhatian lebih sedikit lagi dari biasa.
Seperti yang kita telah sebut dalam pengenalan, kita tidak tahu bilakah Lailatul Qadr itu. Ada kelebihan kalau kita tak tahu.
Pertamanya, kalau kita tahu, kita akan hanya beribadat pada malam itu sahaja dan malas nak beribadat pada malam lain pula.
Keduanya, kalau kita tahu, tapi kita tidak beribadat pada malam itu, ia sudah boleh dikira sebagai satu kesalahan kepada kita. Macam pernah Nabi suruh Saidina Ali gerakkan orang Badwi waktu solat dah masuk. Saidina Ali hairan kenapa Nabi tak gerak sendiri, kerana Nabi memang suka buat kebaikan. Saidina Ali tanya baginda, dan Nabi jawap, kalau orang itu tak nak bangun kalau baginda yang gerak, orang itu akan berdosa besar kerana tidak mengikut perintah Nabi. Tapi kalau orang itu tidak dengar kata Ali, tidak mengapa. Jadi, kalau kita tahu bilakah Malam Qadr itu dengan tepat, tapi kita ambil peluang itu dengan tidak meningkatkan amal ibadat pada malam itu, maka itu adalah satu perkara yang teruk. Jadi, lebih baik kita tidak tahu.
Tentang perkara ini, pernah Nabi hendak beritahu bilakah akan terjadinya malam itu. Tapi semasa baginda keluar hendak beritahu, ada orang bertengkar, maka dilupakan tentang berita itu kepada Nabi. Oleh itu, kita tidak akan dapat tahu bilakah malam itu akan berlaku.
Dari Ubadah bin Shamit Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar pada Lailatul Qadar, ada dua orang sahabat berdebat, beliau bersabda : “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang malam Lailatul Qadar, tapi ada dua orang berdebat hingga tidak bisa lagi diketahui kapannya; mungkin ini lebih baik bagi kalian, carilah di malam 29. 27. 25 (dan dalam riwayat lain : tujuh, sembilan dan lima)” Riwayat Bukhari.


Ayat 3: Kali ketiga Allah ulang kalimah لَيلَةُ القَدرِ. Allah menerangkan rahsia Lailatul Qadr.

لَيلَةُ القَدرِ خَيرٌ مِن أَلفِ شَهرٍ

Sahih International
The Night of Decree is better than a thousand months.
Malay
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Allah memberi peluang kepada kita untuk mendapat pahala yang banyak. Kalau kita melakukan ibadat pada malam itu, ianya ‘lebih’ dari amalan ibadat yang kalau kita buat selama 83 tahun. Iaitu sepanjang hidupnya, kerana kalau kita hidup panjang pun, dalam 80 tahun sahaja, malah ada yang lebih rendah lagi dari umur itu. Maka, ini adalah pemberian nikmat yang amat tinggi dari Allah. Bayangkan kebaikan yang kita boleh dapat kalau kita beramal pada malam itu – kita dapat pahala amalan sepanjang hidup, tapi buat pada satu malam sahaja. Alangkah rahmatnya Allah beri kepada kita.
Pemberian ini diberikan kepada umat Nabi Muhammad kerana baginda risau umatnya tidak dapat menyamai amalan umat-umat yang terdahulu. umat terdahulu umur mereka panjang-panjang. Maka, Allah telah memberikan malam Lailatul Qadr. walaupun umur kita pendek, tapi pahala kita boleh jadi lagi banyak dari umat-umat terdahulu. Adapun asbabun Nuzul atau sebab-sebab turunnya surat tersebut diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al-Wahidi, yang bersumber dari Mujahid bahawa Rasulullah saw pernah menyebut-nyebut bani Israel yang berjuang fiisabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus. Kaum Muslimin mengagumi perjuangan orang tersebut. Maka Allah menurunkan surat al-Qadr 1-3 yang menegaskan bahwa satu malam laitatul qadr lebih baik daripada perjuangan bani Israel selama seribu bulan itu.
Sementara di dalam riwayat lain oleh Ibnu Jarir, yang bersumber dari Mujahid bahwa di kalangan bani Israel terdapat seorang laki-laki yang suka beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukannya selama seribu bulan. Maka Allah menurunkan ayat ini (al-Qadr 1-3) yang menegaskan bahwa satu malam lailatul qadr lebih baik daripada amal seribu bulan yang dilakukan seorang laki-laki dari bani Israel tersebut. Usia umat Nabi Muhammad SAW memang lebih pendek dari umat terdahulu. Dalam riwayat lainnya disebutkan bahwa Rasulullah SAW pernah merenungi hal itu. Nabi SAW pun bersedih, kerana mustahil umatnya dapat menandingi amal ibadah umat-umat terdahulu.
خَيرٌ مِن أَلفِ شَهرٍ – Kalau dibuat kiraan, أَلفِ شَهرٍ (seribu bulan) itu lebih kurang 83 tahun jangkanya. tapi Allah juga menggunakan kalimah خَيرٌ (lebih baik) dalam ayat ini. Ini bermakna, ia lebih baik lagi, atau ia juga boleh bermakna, bukan setakat seribu bulan sahaja, tapi selama-lamanya, kerana apabila dikatakan ‘seribu’, itu bermaksud selama-lamanya dalam Bahasa Arab. Iaitu ianya dalam bentuk mubalaghah (bersangatan) yang boleh membawa maksud ‘infiniti’.


Ayat 4: Penerangan tambahan tentang Lailatul Qadr itu.

تَنَزَّلُ المَلائِكَةُ وَالرّوحُ فيها بِإِذنِ رَبِّهِم مِن كُلِّ أَمرٍ

Sahih International
The angels and the Spirit descend therein by permission of their Lord for every matter.
Malay
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

تَنَزَّلُ bermaksud turun. Tapi ada perbincangan balaghah sedikit tentang wazan yang digunakan pada تَنَزَّلُ. Seperti yang kita tahu, setiap perkataan yang digunakan dalam Qur’an adalah tepat. Bukan sahaja kalimah yang digunakan adalah tepat, tapi cara ejaan pun tepat juga. Sekarang lihat kalimah تَنَزَّلُ yang digunakan dalam ayat ini. Sebenarnya ejaan ini adalah ringkasan dari kalimah yang penuh – تَتَنَزَّلُ (tatanazzalu – ada tambahan ت di awalnya). Dalam Bahasa Arab pun ada juga ejaan ringkasan, macam kita gunakan ejaan ‘math’ untuk mathematic, ‘demo’ untuk demonstration dan sebagainya. Dalam Bahasa Arab, ini dipanggil ‘hazf’. Tapi ada sebab kalau sesuatu huruf itu dihazafkan. Secara asasnya, kalau huruf lagi banyak, maka menunjukkan lebih banyak lagi dari segi kuantiti atau selalu. Jadi, dalam ayat ini, digunakan kalimah تَنَزَّلُ tapi sekarang lihat Fussilat:30 pula. Dalam ayat Fussilat itu, digunakan kalimah yang hampir sama, tapi ejaan berlainan – تَتَنَزَّلُ.
Digunakan kalimah تَتَنَزَّلُ dalam Surah Fussilat itu kerana ayat itu memperkatakan tentang malaikat yang turun apabila kematian adanya kematian manusia. Kalau dari segi bilangan, tentu kejadian itu lagi banyak dari bilangan malaikat yang turun pada Malam Qadr, kerana Malam Qadr berlaku sekali setahun sahaja sedangkan kematian berlaku hampir setiap masa.
Ini adalah satu mukjizat, kerana Qur’an menggunakan ejaan yang tepat. Bayangkan kalaulah Qur’an ini rekaan dari Nabi Muhammad, bagaimana baginda boleh sampaikan perkara ini? Tentu tidak boleh kerana ketepatan dari segi bahasa itu amat tepat sekali. Dan apabila kita faham perkara ini, maka keindahan ayat ini akan dilihat sebagai mukjizat dan akan menambahkan iman kita kepada Qur’an. Bayangkan begitu tepat sekali apa yang baginda sampaikan, tapi ingat kembali yang Nabi sebut sahaja ayat ini secara lisan, bukannya baca dari kitab pun. Dan kita telah sebutkan bagaimana kalau sesuatu itu disampaikan secara lisan, tentu susah untuk memastikan ketepatan sesuatu perkara itu. Tapi apa yang baginda sampaikan itu tepat sekali sampaikan satu huruf pun tidak salah. Maka, ini sebagai dalil bukti lagi bahawa tidak mungkin Qur’an itu dari Nabi Muhammad sendiri, tapi ianya pasti dari Allah swt.
وَالرّوحُ: Telah ijmak ulama bahawa ‘الرّوحُ’ yang disebut dalam ayat ini adalah Malaikat Jibrail. Seperti yang pernah disebut di dalam Risalah, kalimah الرّوحُ itu mempunyai banyak makna dan makna yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Jibrail. Kenapa disebut namanya secara spesifik, sedangkan dia juga adalah malaikat juga? Kenapa tak sebut sahaja para malaikat turun pada malam itu dan tentunya termasuk sekali dengan Jibrail? Nama baginda disebut khusus kerana pangkatnya yang tinggi. Jibraillah yang menurunkan Quran kepada Nabi Muhammad dan menurunkan wahyu kepada para Rasul yang lain, dan berbagai lagi tugas penting yang dilakukan oleh baginda. Kerana kedudukan baginda itu, nama baginda disebut secara khusus. Ini biasa kita pakai dalam bahasa biasa kita pun – Ramai orang pergi majlis itu termasuk Perdana Menteri – bukankah Perdana Menteri itu orang juga, bukan? Tapi disebut khusus kedatangan dia kerana dia orang yang penting.
Memang selalu Jibrail (الرّوحُ) disebut cara begitu dalam Qur’an dimana kalimah الرّوحُ disebut selepas kalimah المَلائِكَةُ disebut. Tapi susunannya tidak sama – kadang-kadang disebut المَلائِكَةُ dulu, dan kadang-kadang disebut الرّوحُ dulu. Selalunya kalimah المَلائِكَةُ yang disebut dahulu seperti dalam Ma’arij:4
تَعرُجُ المَلائِكَةُ وَالرّوحُ إِلَيهِ في يَومٍ
Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari
Ini adalah kebiasaan penggunaan susunan ini. Cuma sekali sahaja susunan itu ditukar, iaitu dalam Naba’:38 disebut ruh dulu baru malaikat.
يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا
Pada hari, ketika ruh dan para malaikat berdiri bershaf-shaf,
Apabila diteliti, beza susunan itu adalah kerana pergerakan yang berbeza. Kalau Allah menyebut tentang malaikat, selalunya berkenaan mereka bergerak (turun naik dan sebagainya). Tapi apabila disebut tentang Jibrail, selalunya baginda disebut dalam keadaan tidak bergerak atau sedang melakukan kerja yang khusus, contohnya dalam Takweer:20
عِندَ ذِي العَرشِ مَكينٍ
di sisi Allah yang mempunyai ‘Arsy,
Oleh itu, kalau kita perhatikan, dalam ayat Naba’:38 itu, ianya tentang para malaikat yang duduk berdiri dalam saf-saf tidak bergerak. Dan kerana itulah agaknya Jibrail disebut dahulu sebelum para malaikat yang lain disebut secara umum. Sedangkan dalam ayat al-Qadr ini, ada pergerakan para malaikat, maka kalimah المَلائِكَةُ disebut dahulu, barulah disebut kalimah الرّوحُ. Inilah antara keindahan bahasa Qur’an yang diteliti oleh para ulama.
Oleh itu, tahulah kita bahawa Jibrail turun setiap tahun ke bumi, walaupun sudah tidak ada Rasul untuk diberikan dengan wahyu. Ini adalah kerana kepentingan dan kehebatan Malam Qadr itu. Baginda mengulangi sunnahnya setiap tahun.
بِإِذنِ رَبِّهِم – Dengan izin Tuhan mereka. Kenapa kena sebut mereka turun dengan izin Allah pula? Ini adalah kerana para malaikat sebenarnya memang teringin untuk turun ke dunia untuk bertemu dengan umat manusia yang melakukan ibadah. Kerana mereka suka sangat nak berjumpa dengan mereka yang beruntung itu. Dan kerana itu mereka telah memohon kepada Allah dan Allah telah ‘memberi izin’ kepada mereka. Kerana para malaikat tidak boleh turun ikut suka mereka, kalau ada izin dari Allah baru mereka boleh turun. Malaikat-malaikat itu teringin untuk turun memberi salam kepada umat yang sedang melakukan ibadah. Itulah sebabnya ayat ini disambung dengan perkataan سَلامٌ هِيَ حَتّىٰ مَطلَعِ الفَجرِ.
مِن كُلِّ أَمرٍ – dari setiap urusan. Apakah maksudnya? Kalimah مِن selalu diterjemahkan ‘dari’ tapi ianya juga boleh bermaksud ‘kerana’. Oleh itu, para malaikat itu turun kerana hendak menjalankan arahan Allah. Ini kita boleh lihat juga dalam Dukhan:3-5.
إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةٍ مُبارَكَةٍ ۚ إِنّا كُنّا مُنذِرينَ ❊ فيها يُفرَقُ كُلُّ أَمرٍ حَكيمٍ
sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan ❊ Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.
Kerana membawa segala perkara: maksudnya, Allah telah menetapkan apa yang akan terjadi untuk tahun itu. Maka, malaikat-malaikat itu menjalankan tugas Allah untuk tahun itu. Contohnya, siapakah yang akan mati, lahir, dapat anak, dapat rezeki, dapat kahwin dan sebagainya.
Para malaikat itu turun kerana menjalankan perintah Allah. Soalan: kenapa kena sebut Allah yang suruh dan beri arahan kepada mereka? Ini penting kerana banyaklah manusia yang melakukan syirik dengan mengatakan mereka boleh meminta tolong kepada malaikat dalam urusan keduniaan dan keagamaan mereka. Ini dilakukan oleh banyak orang, samada kafir atau orang yang mengaku Islam pun. Itu adalah salah kerana dalam ayat ini, Allah menekankan bahawa malaikat tidak boleh berbuat apa-apa, melainkan dengan suruhan dan izin Allah. Kalau Allah tidak suruh mereka lakukan apa-apa tugas, mereka tidak akan melakukannya. Jadi kalau kita minta terus kepada malaikat, sudah pasti yang para malaikat itu tidak dapat tolong sedikit pun.


Ayat 5:

سَلامٌ هِيَ حَتّىٰ مَطلَعِ الفَجرِ

Sahih International
Peace it is until the emergence of dawn.
Malay
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Malam itu adalah malam yang aman dari syaitan. Oleh itu, ini tidak ada kejahatan langsung. Kalau malam lain, ada juga sejahtera, tapi ada juga bercampur dengan keganasan dan keburukan. Tapi Allah beritahu pada Malam Qadr ini ianya sejahtera sampai ke waktu Fajar.
Ia juga bermakna, para malaikat memberi salam dari terbenam matahari waktu maghrib hari itu hingga ke terbit fajar, diberikan kepada orang Islam yang melakukan ibadat di masjid. Maknanya kena beramal di masjid tapi ada juga yang kata para malaikat itu pergi ke setiap mukmin yang beramal samada mereka ke masjid atau tidak.
Bayangkan begitu jauh sekali perjalanan mereka untuk memberi salam sejahtera kepada orang mukmin. Maka alangkah tingginya kemuliaan yang Allah berikan kepada orang mukmin.

Khulasah Surah dari mula hingga akhir:
Surah ini bermula dengan penceritaan turunnya Qur’an, kemudian diteruskan dengan turunnya para malaikat dan turunnya juga kesejahteraan sehingga ke waktu Fajar (kerana sejahtera juga diturunkan oleh Allah). Oleh itu, tiga benda sekali telah disentuh (Qur’an, malaikat & sejahtera).
Yang menarik, ada juga disebut Fajr dalam ayat ini. Maka ulama telah mengaitkan ayat ini dengan bacaan Qur’an. Kalau ditanya bilakah masa terbaik untuk baca Qur’an, maka dalam ayat ini, diberi isyarat yang Qur’an itu paling molek dibaca pada waktu fajar. Ini dikuatkan lagi dengan dalil dalam ayat Israa’:78
إِنَّ قُرآنَ الفَجرِ كانَ مَشهودًا
Sesungguhnya bacaan Qur’an waktu subuh itu disaksikan
Jumhur ulama mengatakan yang surah ini diturunkan di Makkah. Kita sudah membaca bagaimana Allah menceritakan kelebihan beribadah pada Lailatul Qadr. Jadi, ayat-ayat menceritakan kelebihan ibadah itu disampaikan kepada puak (Musyrikin Mekah) yang tidak percaya kepada tauhid dan ibadah hanya kepada Allah? Bagaimana pula begitu? Seolah-olah mereka tidak mendapat manfaat pula dari ayat ini kerana mereka pun tidak beribadat, bukan? Mereka tak kisah pun, tak ambil tahu pun, tak buat apa pun.
Jawapannya: Ada perkara penting yang Allah hendak sampaikan. Dalam Surah ‘Alaq, diceritakan bagaimana Rasulullah diserang oleh Abu Jahl. Akhir sekali dalam surah itu, Allah beritahu jangan kisah kepada perbuatan Abu Jahal itu.
Nabi disuruh untuk terus berdakwah dan jangan hiraukan tentang dari penentang. Dalam berdakwah, kadang-kadang kita rasa macam kita ini jurujual, bukan? Kalau penjual, dia akan sebutkan kelebihan barang jualannya itu dengan harapan pembeli akan terkesan untuk membeli. Dalam keadaan begitu, pembeli berada dalam kedudukan yang tinggi, kerana mereka yang sedang diajak, dan mereka yang diperlukan oleh penjual kerana pembeli itu yang ada duit. Begitulah yang dirasai oleh Rasulullah – baginda berharap sangat supaya umat baginda mahu dengar dakwah baginda dan beriman kerana baginda risaukan sangat tentang keselamatan mereka. Baginda beriya-iya benar mengajar dan rasa susah hati apabila mereka tidak mahu beriman.
Allah tak terima macam itu. Allah nak beritahu yang baginda yang sebenarnya yang berada di atas, bukan mereka yang didakwah itu. Baginda tidak perlu sangat beriya-iya, terhegeh-hegeh untuk mengharap umatnya beriman. Allah nak beritahu, kalau mereka yang tak terima, mereka yang rugi. Kerana kelebihan yang Allah berikan adalah amat banyak, seperti yang disebut dalam Surah al-Qadr ini. Kalau mereka yang tidak mahu terima, mereka yang rugi, bukannya Rasulullah.
Kitab Qur’an ini yang di hadapan kita dan mereka ini adalah sangat mulia, diturunkan pula pada malam yang mulia – menunjukkan ketinggian dan kemulian Qur’an itu. Kalau mereka tidak mahu terima Qur’an ini, maka jangan risau tentang mereka, mereka yang rugi. Ketahuilah, mereka yang memerlukan Qur’an dan kalau mereka tidak terima, mereka yang rugi, bukannya Nabi Muhammad.
Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk sedar tentang kelebihan Lailatul Qadr in di tahun-tahun mendatang. Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk terus beramal dan meningkatkan amalan kita pada malam itu. Sekurang-kurangnya kita dapat istiqamah untuk solat berjemaah di masjid pada malam itu. Kerana sesiapa yang Solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah pada malam itu, dikira boleh dapat Lailatul Qadr. Kalau dapat tambah dengan amalan lain, seperti Solat Terawih dan Qiyamullail, tentulah lagi baik.
Semoga Allah beri kecintaan kepada Qur’an ini dan beri kekuatan dan taufik kepada kita untuk mengamalkannya. Di akhir Surah ‘Alaq, Allah suruh kita mendekatkan diri denganNya. Dan dalam Surah Qadr ini, kita dapat tahu bahawa kita dapat mendekatkan diri dengan Allah.
Kedua-dua Surah Alaq dan Qadr menekankan tentang Qur’an. Dan Surah Qadr ini memberitahu kita yang membaca Qur’an di malam hari dan di waktu subuh adalah antara amalan yang paling baik.
Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Bayyinah.

x

No comments:

Post a Comment