Senarai

Menu

Pages - Menu

Pages

Pages - Menu

Tuesday, October 16, 2018

Tafsir Surah al-Humazah Ayat 1 – 3 (Mencari dan menyebut kelemahan orang lain)

x

x

Surah Al-Humazah - سورة الهمزة

[104:1 - 104:3] - Ini adalah sebahagian dari keseluruhan surah. [Papar keseluruhan surah]


Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.'

104_1
Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji,
(Al-Humazah 104:1) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 601 - ٦٠١

104_2
Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;
(Al-Humazah 104:2) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 601 - ٦٠١

104_3
Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!
(Al-Humazah 104:3) | <Embed> | English Translation | Tambah Nota Bookmark | Muka Surat 601 - ٦٠١

x

Tafsir Surah al-Humazah Ayat 1 – 3 (Mencari dan menyebut kelemahan orang lain)


Pengenalan
Surah ini berkaitan rapat dengan Surah Takathur dan juga Surah al-Asr.
Dalam Surah Takathur telah disebut tentang sifat manusia secara umum. Kebanyakan dari manusia leka dengan dunia, sampailah mereka mati dan masuk ke dalam kubur, barulah mereka akan sedar dengan realiti dunia ini. Tapi waktu itu mereka sudah terlambat untuk melakukan apa-apa lagi untuk memperbetulkan diri mereka.
Kemudian dalam Surah al-Asr, Allah memberitahu yang mereka yang leka itu, berada dalam kerugian. Oleh itu jangan leka lagi, jangan buang masa tapi hendak melakukan perkara yang patut mereka lakukan kalau mereka hendak selamat; dan kemudian telah diberikan dengan empat perkara utama yang manusia kena lakukan.
Allah hendak memberitahu dalam surah ini, yang orang yang puja dunia akan dimasukkan ke dalam neraka juga akhirnya. Mereka tidak akan pergi ke mana lagi. Kalau tidak ikut nasihat dalam Surah Takathur dan Surah al-Asr itu, maka tempat akhir mereka adalah dalam neraka.
Dan dalam Surah Humazah ini akan diberitahu tentang neraka itu. Ulama tafsir mengatakan, tidak ada lagi penjelasan yang lebih menakutkan tentang neraka, melainkan surah ini. Ini adalah kerana Allah sebut dalam surah ini tentang “Naarullah” [Api Allah!]. Kerana dalam surah-surah lain, Allah selalunya sebut “Naaru Jahanam” (Api Neraka) atau lain-lain nama yang digunakan. Tetapi apabila Allah mengaitkan api itu dengan DiriNya, ianya memberi isyarat yang api itu dinyalakan sendiri oleh Allah! Api yang kita buat tentunya tidak sama dengan api yang dibuat oleh Allah. Oleh itu, ini adalah sesuatu yang memang dahsyat sungguh! Tidak dapat dibayangkan.
Allah memberi deskripsi yang berat tentang neraka kerana ini adalah surah terakhir di dalam Qur’an yang menyebut tentang akhirat dan neraka. Surah-surah selepas ini tidak membincangkan tentang akhirat lagi dah. Oleh itu, apabila yang terakhir, maka Allah berikan peringatan yang paling menakutkan sekali.


Ayat 1: Apabila menusia berebut dunia, tentunya akan bermusuh dengan manusia lain kerana dunia memang akan memisahkan manusia. Hanya kalau berebut akhirat barulah ada kasihan belas. Allah akan menjelaskan apakah maksud Humazah dan Lumazah dalam ayat ini:

وَيلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Humazah: The Scorner.
Woe to every scorner and mocker
(MALAY)
Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,

وَيلٌ bermaksud ‘kemusnahan’. Asalnya, kalimah ini adalah وَي sahaja (tanpa ل) yang juga bermaksud ‘kemusnahan’ tapi selalunya ditambah dengan ل yang bermaksud ‘untuk’ seperti وَيلَكَ [kemusnahan untuk kamu]. Kerana selalu ditambah ل itu, maka kalimah ini terus memakai ل menjadi وَيلٌ terus.
Kalimah ini digunakan apabila seseorang itu sangat marah dan kecewa dengan orang lain. Sebagai contoh, digunakan oleh ibubapa yang kecewa dengan anak mereka. Mereka boleh kata: waylaka, aamin! (kecelakaan kepada kamu! berimanlah!). Dalam masa yang sama, orang yang mengatakan itu adalah sangat-sangat sedih kerana anak mereka telah derhaka. Ini seperti yang Allah firmankan dalam Ahqaf:17
وَالَّذي قالَ لِوالِدَيهِ أُفٍّ لَكُما أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ وَيلَكَ آمِن إِنَّ وَعدَ اللَّهِ حَقٌّ فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَساطيرُ الأَوَّلينَ
Dan orang yang berkata kepada dua orang ibu bapaknya: “Cis bagi kamu keduanya, apakah kamu keduanya memperingatkan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan, padahal sungguh telah berlalu beberapa umat sebelumku? lalu kedua ibu bapanya itu memohon pertolongan kepada Allah seraya mengatakan: “Celaka kamu, berimanlah! Sesungguhnya janji Allah adalah benar”. Lalu dia berkata: “Ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu belaka”.
Dalam surah Humazah ini, Allah kecewa dengan kerakusan manusia yang ada harta tapi tidak membelanjakannya untuk kebaikan, untuk jalan Allah dan untuk orang yang memerlukan; tapi mereka hanya menumpukan perhatian dan usaha mereka untuk mendapatlan lebih banyak dan lebih banyak lagi harta mereka. Jadi untuk mereka itu, Allah janjikan kecelakaan dalam surah ini (satu lagi surah yang dimulai dengan وَيلٌ adalah Surah Mutaffifin). Kedua-duanya tentang orang yang mempunyai perangai yang buruk – korup kerana tamak. وَيلٌ digunakan sebanyak 27 kali di dalam  Quran, dan digunakan 10 kali dalam Surah Mursalaat.
Apabila Allah letakkan kalimah لِكُلِّ, ia bermaksud semua mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu akan terkena, jadi jangan sangka akan terlepas.
Kalimat هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ adalah dalam wazan فُعَلَ yang bermaksud perbuatan itu selalu dilakukan. Dan kerana kedua-dua kalimat itu bunyi berdekatan sahaja, bermaksud maknanya juga adalah lebih kurang sama sahaja dan boleh ditukarganti antara satu sama lain (kadang-kadang boleh guna هُمَزَةٍ dan kadang-kadang boleh guna لُمَزَةٍ). Perbezaan antara keduanya adalah sikit sahaja dan kerana digunakan bersebelahan dalam ayat yang sama, maka maknanya tentu tidak sama dan kita akan cuba untuk membezakan maksudnya dari segi bahasa.
Ibn abbas mengatakan هُمَزَ bermaksud belakang dan لُمَزَ pula depan muka. Oleh itu, هُمَزَةٍ digunakan apabila seseorang mengumpat orang lain di belakang mereka – ini juga dinamakan ghibah dan لُمَزَةٍ pula digunakan apabila mengata berhadapan. Mengata berdepan juga adalah salah besar (kadang-kadang ada orang kata: “tak salah ni sebab aku cakap depan-depan, bukan mengutuk!”). Ayat ini memberitahu yang ini pun salah juga. Oleh itu هُمَزَةٍ adalah berkenaan orang yang suka mengumpat. Dan kita jangan lupa yang apabila dikatakan ‘mengumpat’, kadang-kadang perkara yang dikatakan itu memang betul pun, tapi orang yang dikatakan itu tidak suka kalau dikatakan tentang dia dengan cara itu. Dan لُمَزَةٍ pula adalah orang yang suka mencela. Dan kadang-kadang perkara itu tidak betul tapi orang yang melakukannya itu berniat nak jatuhkan orang lain.
Malangnya, orang kita memang suka kalau nak bercerita tentang orang lain. Katakanlah ada empat kawan orang makan sekali, dan seorang lagi kawan mereka yang kelima tidak ada kerana dia ada hal. Agaknya apa yang empat orang kawan dia akan bercakap? Kita boleh agak dah yang mereka berempat itu akan bercakap tentang kawan mereka yang kelima itu. Macam-macam mereka akan katakan tentang dia. Dan katakanlah kalau salah seorang dari mereka berempat itu kena bangun untuk pergi kerja, kita dah boleh agak dah yang tiga orang kawan dia yang tinggal itu akan bercakap tentang kawan mereka yang keempat itu pula! Ini adalah هُمَزَةٍ.
Bagaimana pula maksud لُمَزَةٍ dalam kes ini? Kadang-kadang mereka bertiga akan bersama-sama mengutuk kawan mereka yang keempat dengan berdepan, sambil mereka makan! Mereka akan gelakkan dia – ini bukan terjadi dengan musuh, tapi dengan kawan kawan ni! Bayangkan kalau musuh yang mereka tidak suka? Kita sangka perkara itu biasa sahaja, tapi lihatlah bagaimana Allah memberi kecelakaan kepada orang yang jenis begini!
Oleh itu, هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ banyak berlaku dalam gossip. Ini terjadi apabila fikiran manusia itu tidak berfikiran tinggi, jadi mereka kena cari hiburan dengan cara lain, dan yang paling mereka suka adalah gossip tentang orang lain – cara orang bercakap, pakai baju dan apa sahaja yang orang lain lakukan. Dan kerana itulah Allah telah sebut dalam Surah al-Asr sebelum ini, mereka itu adalah jenis orang yang dalam kerugian. Tidak berfaedah langsung apa yang mereka lakukan itu. Orang yang akhlaknya rendah sahaja yang akan mencari kesalahan dan kesilapan orang lain; mereka suka untuk memalukan orang lain. Mungkin kerana mereka sendiri ada banyak kelemahan dan kesilapan, maka mereka cuba menutup kelemahan mereka dengan menekankan dan menyebut-nyebut kelemahan orang lain supaya kelemahan mereka tidak nampak.
Kadang-kadang لُمَزَةٍ dilakukan dengan cara tersembunyi. Sebagai contoh, nampak macam kita puji orang itu, tapi sebenarnya kita kutuk dia dengan menggunakan nada yang berlainan. Sebagai contoh, kita mungkin boleh kata kepada orang lain: “wah, pandai engkau yer?”. Dari segi lafaz, nampak macam puji tapi kita boleh gunakan nada yang sinis dengan memek muka yang berlainan untuk memberi isyarat sebenarnya kita mengutuk dia. Orang yang bercakap dan orang yang mendengar boleh faham apakah yang disampaikan. Tapi kalau kita tegur dia, dia mungkin kata: “eh, bukan aku puji dia ke?”.
Begitu juga, kalau kita menggunakan bahasa yang kesat, bahasa yang huduh kepada orang lain, itu juga adalah لُمَزَةٍ. Ataupun kadang-kadang mentertawakan orang lain di hadapan kita.
Dalam Tafsir Ibn Kathir, disebut: Al-hammaz dan al-lammaz, bezanya: Kalau yang pertama melalui ucapan, sedangkan yang kedua melalui perbuatan. Makna yang dimaksud ialah tukang mencela orang lain dan menjatuhkan mereka.
Kalimah وَيلٌ juga boleh bermaksud perasaan menderita – ini adalah kerana mereka yang diperkatakan dengan sedemikian rupa, hati mereka akan menderita kerana mereka diperlakukan dengan sedemikian. Mereka rasa ‘pecah hati’. Akan tetapi, dalam ayat ini, Allah mempertahankan mereka yang sebegitu, kerana Allah menggunakan kalimah وَيلٌ sebagai kutukan kepada mereka golongan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu. Allah berjanji akan balas kepada mereka yang melakukan kesalahan itu. Kalau Allah yang mempertahankan, tentulah kita senang hati, bukan? Dan mereka yang dizalimi memang mendapat kelebihan seperti sabda Nabi:
Hadis dari Anas r.a , Rasulullah saw bersabda: اتق دعوة المظلوم وإن كان كافرا فإنه ليس دونها حجاب “Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah.” Hadis riwayat Ahmad – sanad hasan
Dan ingatlah, kalau ianya janji Allah, maka janji Allah itu adalah sesuatu yang patut ditakuti. Maka janganlah kita termasuk ke dalam golongan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ. Berhati-hatilah dengan percakapan kita.
Kalimah وَيلٌ juga boleh digunakan sebagai membawa maksud apa yang dilakukan oleh هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu adalah perkara yang huduh dan buruk. Allah memberi janji kepada mereka yang melakukannya: bersedialah untuk menerima kehancuran!
Kadang-kadang kita buat lawak dan tidak sangka yang perkara itu adalah perkara yang besar, tapi belajarlah apa yang Allah katakan dalam ayat ini. Allah berfirman dalam Hujurat:11:
يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا يَسخَر قَومٌ مِن قَومٍ عَسىٰ أَن يَكونوا خَيرًا مِنهُم وَلا نِساءٌ مِن نِساءٍ عَسىٰ أَن يَكُنَّ خَيرًا مِنهُنَّ ۖ وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم وَلا تَنابَزوا بِالأَلقابِ ۖ بِئسَ الِاسمُ الفُسوقُ بَعدَ الإيمانِ ۚ وَمَن لَم يَتُب فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّالِمونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

هُمَزَةٍ juga boleh bermaksud memanggil orang dengan nama yang mereka tidak sukai. Orang pendek, orang gelap, orang kepala besar dan macam-macam lagi. Ini selalu kita lakukan, bukan? Berhentilah dari melakukannya. Kadang-kadang kita sangka kita buat lawak sahaja. Kadang-kadang kita buat sambil lewa sahaja. Jadi, ia boleh dilakukan dengan cara sengaja atau sambil lewa sahaja.
Ia juga boleh bermaksud memalukan atau menghina orang yang duduk di sebelah kita, walaupun dengan pandangan mata. Dan memang kita faham bagaimana kita boleh kutuk atau jatuhkan orang dengan pandangan mata pun, dengan cemek muka.
Dan yang lebih teruk, ia boleh berlaku dalam hal agama – sebagai contoh, ada orang yang mengutuk atau menghina orang lain yang hendak mengamalkan sunnah – simpan janggut, pakai niqab dan sebagainya. Kadang-kadang orang Islam pun cakap macam itu juga. Ini bukan orang kafir pun, orang Islam! Orang Islam jenis apa pun tak tahulah! Ketahuilah yang ini bukan perkara ringan – orang itu nak buat sunnah tapi ada orang yang jahil yang gelakkan pula. Tapi zaman sekarang, ramai yang jauh dari agama, dan mereka meringankan perkara itu. Kita kena ingat yang mereka buat itu kerana pada mereka, mereka sayang kepada Nabi, jadi mereka nak ikut apa yang Nabi lakukan. Kadang-kadang mereka lakukan perkara yang bukan syar’iyah pun. Sebagai contoh, kita pernah dengar bagaimana para sahabat ikut perbuatan Nabi walaupun ia bukan sunnah yang syariyyah pun – macam ibn Umar yang buat sengaja jatuh di tempat yang pernah Nabi hampir jatuh.
Ayat ini adalah dalam format Jumlah Ismiah. Selalunya, dalam Jumlah Ismiah, ال digunakan, maka sepatutnya secara kebiasaan kalimah yang digunakan adalah الوَيلٌ dan bukan وَيلٌ sahaja. Akan tetapi, seperti yang kita lihat, Allah menggunakan kalimah وَيلٌ dalam bentuk nakirah (bentuk umum) sahaja. Ini bukan sesuatu yang biasa. Kenapa agaknya?
Kalau kalimah الوَيلٌ yang digunakan, jadi ayat 1 ini diterjemahkan begini: Kebinasaan kepada هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu. Dan itulah juga maksud kalau menggunakan وَيلٌ dalam bentuk nakirah. Akan tetapi, dengan menggunakan format nakirah, ianya juga boleh digunakan dalam bentuk harapan atau doa. Ini seperti kalau kita gunakan ayat سلامٌ عليكم – ia boleh bermaksud: “sejahtera ke atas kamu” (dalam bentuk khabariah), atau “semoga sejahtera ke atas kamu” (dalam bentuk doa – insya’iyyah – moga-moga). Oleh itu, apabila وَيلٌ digunakan, ia boleh juga bermaksud semoga kecelakaan ke atas mereka atau kecelakaan ke atas mereka. Kedua-dua makna ini boleh jadi, dengan membuang ال dari kalimah وَيلٌ itu. Dengan ada kebarangkalian doa ini, maka ini memberi tekanan kepada mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ, yang mereka mungkin akan dikenakan dengan kecelakaan itu, atau mungkin mereka telah tetap akan kena. Maka, kalau mereka ‘mungkin’ akan kena, maka mereka masih ada harapan lagi untuk mengubah sikap mereka.
Ada juga pendapat yang mengatakan وَيلٌ bermaksud satu bahagian di dalam neraka. Ianya sangat teruk sampaikan neraka sendiri meminta Allah untuk menghancurkan bahagian wail itu. Dan ianya diperuntukkan untuk mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu.
Apabila diletakkan ة (ta marbootah) pada kalimah هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu, ia menunjukkan sesuatu yang ‘banyak’. Maksudnya, orang yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu, mereka banyak melakukan kutukan dan celaan kepada orang lain, bukan sekali sekala sahaja. Dan kita boleh lihat bagaimana setiap ayat dalam Surah Humazah ini diakhiri dengan ة sebagai keindahan bahasa Qur’an. Ia juga sebagai tanda mubalaghah (extreme) – sebagai contoh, kalimah qiyam bermaksud ‘berdiri’ tapi apabila kena berdiri pada jangkamasa yang lama di mahsyar nanti, Allah gunakan kalimah qiyamah setelah ditambah dengan ة. 
Dari segi nahu juga, kita boleh lihat bagaimana kalimah وَيلٌ ini status marfu’. Ini menjadikan ayat ini jumlah ismiyyah. Dan dari segi balaghah, apabila dalam jumlah ismiyyah, ia memberi maksud pengekalan kerana apabila kemusnahan itu diberikan, ianya sampai bila-bila.
Katadasar kalimah هُمَزَةٍ adalah ه م ز yang bermaksud mencucuk seseorang dengan sesuatu yang tajam. Kalimah ini juga digunakan dalam Mu’minoon:97
وَقُل رَبِّ أَعوذُ بِكَ مِن هَمَزاتِ الشَّياطينِ
Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan.
Maksudnya, syaitan akan mengganggu manusia dengan bisikan-bisikan mereka, dan diumpamakan sebagai cucukan. Oleh itu, همز adalah gangguan yang menyebabkan orang yang kena gangguan itu tidak suka.
لُمَزَةٍ pula dari katadasar ل م ز yang bermaksud berterusan mencari kesalahan pada seseorang dan kemudian membongkar kesalahan itu untuk memalukan orang itu. Ini adalah perbuatan yang buruk sekali. Kita sebagai manusia memanglah ada kekurangan sentiasa. Dan kalau dicari kekurangan itu, memang akan berjumpa, tidak syak lagi. Oleh itu, jangan dicari kekurangan orang lain kerana kita pun ada kekurangan juga. Akan tetapi mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini sanggup mencari dan menyebut-nyebut tentang kelemahan orang lain.


Ayat 2: Kerja mereka mengumpul harta sahaja. Mereka fokus pada kumpul harta dengan banyak, padahal kalau nak pakai bukan banyak pun. Kalau buat rumah seratus biji pun bukan boleh duduk semua rumah yang dia beli itu. Kalau beli baju banyak pun, bukan boleh pakai semua pun.

الَّذي جَمَعَ مالًا وَعَدَّدَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
Who collects wealth and [continuously] counts it.¹
  • Rather than spending in the way of Allāh.
(MALAY)
yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung,

Ini adalah sifat kedua orang yang layak mendapat وَيلٌ itu.
Kaitan ayat ini dengan ayat 1: Orang yang kedekut sedang dikritik dalam ayat ini. Mereka akan mencari kesalahan dan kelemahan orang lain, dan mereka akan menceritakan kelemahan orang itu, supaya kelemahan dan kesalahan mereka tidak kelihatan. Allah marah dengan orang sebegini.
Lagi satu, apabila kalimah yang melibatkan همز disebut dalam Qur’an, akan ada kaitan dengan harta. Lihat Qalam:11
هَمّازٍ مَشّاءٍ بِنَميمٍ (yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah). Kemudian lihat pula Qalam:14
أَن كانَ ذا مالٍ وَبَنينَ (karena dia mempunyai (banyak) harta dan anak).
Ini adalah sebahagian dari ketepatan yang ada dalam Qur’an dimana konsep yang sama digunakan. (Lalu bagaimana lagi ada orang yang kata Nabi Muhammad sendiri yang menulis Qur’an ini? Tidak mungkin!)
جَمَعَ memberi isyarat yang orang yang dimaksudkan dalam ayat ini menghabiskan seluruh usaha hidupnya untuk mencari dan mengumpul harta dan kekayaan. Kita dapat tahu dari kalimah جَمَعَ yang dalam bentuk past tense. Maknanya, ia menceritakan tentang kehidupannya yang telah lepas, sebab itu kita boleh katakan yang dia sebelum dia mati, memang mengumpulkan harta sahaja. Mereka ini jenis yang sanggup buat macam-macam untuk mengembangkan perniagaan mereka, kekayaan mereka – sebagai contoh, ada yang gunakan pekerja dan bayar gaji murah dan susahkan kehidupan mereka. Sebagai contoh, ada syarikat yang melayan pekerja mereka sebagai hamba, sampaikan mereka tidak dapat lari dari kilang mereka – kena kerja tanpa cuti.
عَدَّدَهُ mereka suka untuk mengira-ngira harta mereka, berapa banyak dah bertambah. Juga bermaksud mereka bersedia – maksudnya mereka menyediakan harta dan wang mereka sebagai insuran untuk masa depan mereka. Mereka kata kena pandang jauh dan kena bersedia terhadap apa yang jadi di masa hadapan. Ini tidaklah salah sangat, tapi kita orang mukmin pandang lagi jauh, sampai ke akhirat. Sebab itu kita bersedia dengan amal soleh, tapi mereka yang mengumpul harta untuk masa depan itu sebenarnya hanya pandang pendek sahaja, kerana mereka pandang setakat dunia sahaja.
Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah مالًا (kekayaan). Ianya dalam bentuk mufrad sahaja kerana Allah hendak merendahkan kemewahan itu. Kalau jamak, kalimah اموال yang digunakan, tapi Allah tidak gunakan begitu kerana harta itu tidak banyak pun – tidak kira berapa banyak pun pada kita, ianya tidak boleh dibandingkan dengan harta seluruh alam ini. Kita sangka apa yang kita ada itu dah banyak dah, tapi kita pun tahu, ada banyak lagi orang yang lebih kaya dan banyak lagi yang bukan harta kita. Kalau bekerja tidak berhenti sampai mati pun, tidak akan dapat semua harta itu. Maka jangan banggalah kalau ada duit banyak, sebab bukan banyak pun. Kalau ada yang bangga, mereka itu berbangga tak kena tempat. Dan harta yang banyak di dunia itu tidak ada nilai langsung kalau dibandingkan dengan akhirat. Seperti yang Allah telah firmankan dalam Tawbah:38
يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا ما لَكُم إِذا قيلَ لَكُمُ انفِروا في سَبيلِ اللَّهِ اثّاقَلتُم إِلَى الأَرضِ ۚ أَرَضيتُم بِالحَياةِ الدُّنيا مِنَ الآخِرَةِ ۚ فَما مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا فِي الآخِرَةِ إِلّا قَليلٌ
Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit.
Tidak berguna langsung harta yang banyak itu kalau ada masalah di akhirat kelak. Seperti yang firmankan dalam Ali Imran:91
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang diantara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.
Mereka sangka duit mereka banyak dan dapat menyelamatkan mereka, tapi tidak sama sekali. Mereka buang masa sahaja di dunia mengumpul harta yang mereka tidak boleh bawa mati pun dan tidak memberi manfaat kepada mereka langsung kalau mereka kufur dengan perintah Allah.
Mereka yang mahukan harta yang banyak itu, kadang-kadang sanggup buat apa sahaja cara untuk dapat harta dengan banyak dan banyak lagi. Mereka tidak kisah kalau mereka menyusahkan manusia lain. Antara yang selalu digunakan oleh organisasi yang kaya dan banyak duit adalah mengenakan riba untuk orang lain pakai duit mereka. Ini adalah keburukan yang amat teruk sekali. Ia menyusahkan orang yang tidak ada wang dan menyebabkan rosaknya ekonomi. Bayangkan: kerana ribalah yang menyebabkan susah orang kita hendak hidup dengan senang. Sebagai contoh, katakanlah ada satu rumah yang asalnya 20 ribu sahaja asalnya. Tapi kerana pembeli tidak ada wang modal, maka mereka akan pinjam pada bank. Harga rumah yang 20 ribu itu entah jadi 40 ribu. Kemudian apabila pembeli pertama itu mahu pindah ke rumah yang lebih besar, dia akan jual rumahnya itu dengan untung, bukan? Tentu dia akan jual lebih lagi dari 40 ribu itu, bukan? Jadi mungkin dia akan jual dengan harga 50 ribu kerana tambah untung dia sikit. Orang yang mahu membeli rumah itu pun kena pinjam bank juga, maka harga rumah itu sekarang dah jadi 100 ribu pula! Padahal asalnya 20 ribu sahaja tapi telah naik jadi berkali ganda kerana riba. Maka susahlah orang kita hendak tinggal di rumah sendiri. Ada yang sampai mati duduk di rumah sewa sahaja lah kerana tidak mampu untuk beli rumah yang mahal-mahal harganya.
Jadi nampak atau tidak bagaimana keburukan riba ini? Kerana itulah ia ditentang dalam Islam. Islam tidak membenarkan riba dijalankan kerana akan menyebabkan kesusahan kepada masyarakat. Ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana mereka nampak Islam sahaja yang menentang perkara buruk ini. Mereka nampak yang Islam ini memang agama yang menjaga kebajikan manusia dan ianya bukan sahaja mengajar dalam perkara ibadat sahaja, tapi dalam perkara kehidupan sekali – maknanya Islam ini adalah agama yang syumul, yang lengkap. Ianya untuk dunia dan akhirat sekali.
Kerana itu orang mukmin yang sudah tua pun, mereka akan tanam pokok supaya dapat memberi manfaat kepada generasi selepasnya walaupun dia tidak sempat lagi untuk menikmati pokok itu. Kerana orang mukmin akan faham tentang konsep sedekah jariah – sedekah yang berterusan yang boleh dimanfaat di akhirat walaupun dia sudah tiada lagi. Inilah keindahan Islam.
Jadi, orang yang dikutuk dalam ayat ini, mereka tidak hiraukan orang lain. Mereka hanya mementingkan harta mereka sahaja. Mereka kumpul harta dan suka untuk mengira berapa banyak dah bertambah. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan kekayaan lagi dan lagi. Mereka tidak gunakan wang mereka itu untuk kebaikan manusia lain. Mereka rasa yang mereka akan hidup selama-lamanya. Mereka tidak ingat mati pun kerana mereka hidup dengan mewah sekali sampaikan mereka terlupa yang mereka akan akhirnya akan mati. Memang mereka tahu mereka akan mati pun, tidak ada yang hidup selamanya, tapi cara mereka itu seolah-olah mereka tidak akan mati pula.
Jangan sangka ayat ini tentang orang kafir sahaja. Kita orang Islam ini pun begitulah juga – sudah terikut-ikut dengan cara kafir. Ini kerana kita jauh sekali dari agama dan dari Qur’an. Nama sahaja Islam, tapi cara hidup jauh dari cara Islam.
عَدَّدَ = mereka menyediakan harta mereka itu sebagai insurans persediaan masa hadapan. Mereka tidak yakin dengan qada dan qadar Allah, maka mereka nak bersedia dengan harta yang banyak supaya hidup mereka terjamin. Ia juga bermaksud, mereka mengira dengan teliti (jangan ada tertinggal) dan selalu mengira, selalu tengok akaun bank mereka. Kita tahu ada elemen ‘selalu’ ini kerana ada syaddah dalam kalimah عَدَّدَ itu.
Oleh itu, ayat 1 adalah tentang sifat mereka dengan orang lain dan ayat 2 ini adalah mentaliti dalaman mereka, apa yang mereka fikirkan. Mereka tidak melakukan yang sepatutnya – bertindak baik dengan orang lain dan memberi bantuan kepada orang lain yang memerlukan.


Ayat 3: Apakah mentaliti mereka lagi? Mereka kumpul harta mereka seolah mereka yakin harta itu akan mengekalkan kehidupan mereka. Mereka rasa, kalau tidak ada harta, macam mati dah pada mereka.

يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
He thinks that his wealth will make him immortal.
(MALAY)
dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengekalkannya,

Dalam ayat 2, Allah gunakan kalimah مالًا, tidak sebut harta siapa kerana hakikatnya semua yang ada adalah milik Allah. Tapi Allah gunakan kalimah مالَهُ (hartanya) dalam ayat ini untuk memberitahu apakah sangkaan mereka – mereka sangka yang harta itu mereka yang punya. Itu hanya sangkaan mereka sahaja. Mereka sangka, harta dan wang yang mereka kumpul itu (dengan cara salah dan dengan cara yang buruk seperti riba itu) adalah harta mereka. Mereka sangka kerana mereka yang lakukan segala usaha untuk mendapatkannya, maka tentulah itu harta mereka.
Satu soalan yang kita mahu tanyakan: Kenapa manusia berkejaran untuk mengumpulkan wang dan harta? Berkemungkinan besar, mereka akan jawap, “kerana kami nak pakai harta dan wang itu apabila perlu.” Itu jawapan mereka, tapi adakah benar? Adakah mereka benar-benar pakai wang dan harta mereka itu?
أَخلَدَ = dari kalimah خ ل د yang bermaksud ‘berterusan’. Juga boleh bermaksud ‘kekal’. Kita pun selalu dengar bagaimana kisah Nabi Adam a.s. memakan buah yang selalu disebut ‘Buah Khuldi’ (nama buah itu tidak disebut, kecuali oleh Iblis, jadi tidak sesuai pakai nama Khuldi itu). Jadi, kalimah أَخلَدَ dalam ayat ini mungkin bermaksud ‘jangkamasa panjang’ atau ia boleh bermaksud ‘selama-lamanya’.
Manusia memang ada keinginan untuk mendapatkan rezeki yang berpanjangan. Ramai yang mahu dapat lebih lagi dari apa yang mereka telah ada. Itulah sebabnya ada orang yang buat kerja overtime, buat kerja tambahan, buat kerja hujung minggu, dan sebagainya. Itu semua kerana mereka mahu lebih kerana keperluan kadang-kadang lebih lagi dari apa yang mereka dapat dengan kerja biasa. Dan ada juga yang mahu lebih kerana hendak simpan wang itu, menabung untuk hari-hari mendatang – takut-takut ada keperluan yang mendesak waktu itu – sakit, kebakaran, kena buang kerja dan sebagainya. Tujuannya adalah supaya kehidupan mereka berterusan dalam kesenangan. Ini kita faham.
Tapi yang tidak patut dilakukan adalah kalau pengejaran kepada harta dan wang itu menyebabkan perkara yang lebih penting terabai – iaitu persediaan kepada akhirat dan juga menjaga hubungan baik dengan masyarakat. Atau dalam ertikata lain, kalau dengan mengejar harta itu menyebabkan meninggalkan taat kepada Allah. Kita telah sebutkan dalam Surah al-Asr bagaimana manusia semuanya dalam kerugian kecuali orang yang beriman. Maka mereka yang rugi adalah mereka yang melebihkan dunia dari akhirat. Mereka melebihkan dunia itu kerana mereka meletakkan kelebihan pada harta. Mereka sangka harta mereka itu akan menyebabkan mereka kekal hidup. Sampaikan mereka kelam kabut tentang perkara inilah yang menyebabkan ada orang yang bunuh diri kalau saham mereka jatuh merudum. Ini adalah kerana mereka mengaitkan kehidupan dengan harta – oleh itu, apabila harta mereka tergugat, mereka sangka nyawa mereka pun tergugat sekali.
Memang ada manusia yang dalam hati mereka, mereka mahu hidup selama-lamanya. Ini seperti yang Nabi Hud a.s. tegur kepada kaumnya, Kaum Aad dalam Syu’ara:129
وَتَتَّخِذونَ مَصانِعَ لَعَلَّكُم تَخلُدونَ
dan kamu membuat binaan-binaan dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?
Mereka rasa bila ada monument ada atas nama mereka, mereka akan kekal selamanya. Ini adalah kerana manusia ada keinginan untuk hidup selamanya. Ini tidak salah kerana orang mukmin pun mahu hidup selamanya juga, iaitu di syurga. Tapi kalau manusia yang tidak beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka tidak membiakkan keinginan itu dengan cara yang sihat, maka mereka akan melancarkannya pada tempat yang salah. Mereka akan bekerja keras untuk tambah harta dan kekayaan, supaya mereka boleh jadi terkenal dalam sejarah (supaya terus kekal), supaya dapat bina bangunan dan sebagainya (dan namakan bangunan itu dengan nama mereka supaya nama mereka kekal juga) dan cara-cara lain. Sebab itulah kita dengar bagaimana ada jutawan yang sanggup dermakan harta mereka, asalkan nama mereka diabadikan dalam pelbagai bentuk (nama bangunan, nama jalan, plak di dinding dan sebagainya). Ini kerana mereka ingin nama mereka masih disebut selepas mereka mati pun.
Ayat ini juga boleh bermaksud: mereka sangka harta mereka itu akan kekal. Ada manusia yang sangka mereka tidak perlu risau tentang masa hadapan, samada di dunia ini atau di akhirat kelak. Mereka sangka, oleh kerana Tuhan telah mengkayakan mereka semasa mereka di dunia, maka tentulah Tuhan sudah sayang kepada mereka. Oleh itu, kalau sudah sayang semasa di dunia, tentulah Tuhan akan sayang juga di akhirat kelak. Mereka sangka yang mereka akan terus mendapat kesenangan di akhirat kelak juga. Ini juga adalah pandangan yang salah.
Orang Islam pun ada yang berpendangan begitu. Mereka rasa macam duit mereka boleh menyebabkan mereka dapat kedudukan baik di akhirat. Kerana itu ada orang Islam yang menggunakan harta mereka dengan beri sedekah untuk selamat di akhirat kelak. Padahal harta itu mereka dapat dengan cara yang salah. Mereka rasa mereka dapat membeli syurga dengan cara itu. Jadi tidak kisahlah kalau mereka dapat wang mereka itu dengan cara riba, dengan cara tipu orang, dengan cara rasuah atau jual arak, asalkan mereka ada derma kepada madrasah, sekolah anak yatim atau masjid, mereka rasa itu dapat ‘cuci’ dosa mereka dan menempatkan mereka dalam syurga.
Lagi satu maksud ayat ini adalah: mereka amat sayang sekali pada harta mereka itu, sampaikan kalau harta mereka berkurangan, mereka juga akan berkurangan dan akhirnya mati. Jadi mereka tidak akan menginfakkan harta mereka itu kerana ianya seperti memberi nyawa mereka sendiri. Mereka tidak faham yang kalau harta yang mereka infakkan itulah nanti yang akan menjadi harta mereka yang sebenarnya di akhirat kelak yang akan meninggikan kedudukan mereka di syurga nanti.
Ada kesamarataan dalam surah ini. Dalam surah ini disebut 5 kesalahan yang dilakukan oleh manusia dari ayat 1 – 3:
  1. هُمَزَةٍ
  2. لُمَزَةٍ
  3. جَمَعَ مالًا
  4. عَدَّدَهُ
  5. يَحسَبُ أَنَّ مالَهُ أَخلَدَهُ
Dan nanti dalam ayat 4-9 akan diberi pula 5 penerangan tentang azab yang akan dikenakan kepada mereka.

Allahu a’lam.
x

No comments:

Post a Comment