x
Tafsir Surah al-Feel. Pengenalan kepada 10 surah terakhir
Pengenalan:
Kita sudah masuk ke dalam tafsir 10 surah-surah terakhir dalam Qur’an. Adalah baik kalau kita memberikan penerangan ringkas tentang surah-surah ini kerana ianya adalah bersangkutan antara satu sama lain. Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, Surah Humazah adalah surah terakhir yang memperkatakan tentang neraka dan 10 surah terakhir adalah tentang perkara lain pula. Ianya banyak berkaitan dengan Rasulullah dan surah-surah ini kena diketahui asbabun nuzulnya untuk memahami ayat-ayatnya. Ini adalah kerana surah-surah ini ada kaitan sejarah yang berkaitan rapat dengan Nabi Muhammad.
Dalam kita memberi nasihat kepada manusia, kadang-kadang kalau kita hanya nasihat sahaja dengan cara umum, tanpa menyebut nama mereka, mereka mungkin rasa yang kita bukan memperkatakan tentang mereka. Mereka akan rasa mereka tidak perlu mengubah diri mereka. Begitu jugalah dengan golongan Quraish yang menerima Qur’an ini pertama-tama kali. Banyak ayat-ayat telah diberikan kepada mereka, tapi mereka tidak terasa bahawa ayat-ayat itu ditujukan kepada mereka. Maka dalam surah-surah selepas ini, banyak ayat-ayat itu berkenaan dengan mereka sendiri, tepat berkenaan kisah mereka dan perangai mereka. Mereka tidak sedar bahawa ancaman-ancaman yang diberikan sebelum ini tentang neraka dan sebagainya adalah tentang mereka kerana perangai mereka begitu. Mereka menentang dakwah wahyu bertalu-talu. Kita pula sebagai umat yang terkemudian, kenalah lihat samada kita sama perangai dengan mereka atau tidak. Kerana kalau sama, maka kita pun akan mengalami nasib yang sama dengan mereka.
Surah al-Humazah adalah surah yang terakhir yang memperkatakan tentang neraka. Dan banyak lagi surah-surah lain yang Allah berikan sebagai ancaman di akhirat (Takhwif Ukhrawi). Kadang-kadang manusia nampak akhirat itu jauh sahaja, atau mereka tidak benar-benar percaya adanya hari akhirat itu – sebagaimana Musyrikin Mekah yang tidak mempercayai adanya Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula. Maka dalam surah-surah selepas ini, ada Allah sebut tentang azab di dunia, dimulai dengan Surah al-Feel tentang azab yang dikenakan kepada Tentera Bergajah Abrahah.
Peristiwa bersejarah itu berlaku di Mekah yang asalnya dikenali sebagai Bakkah. Pengasas Kota Mekah ini adalah Nabi Ibrahim a.s. Baginda telah berdoa kepada Allah dan kerana doa baginda itulah, Allah telah menjadikan Kota Mekah itu. Doa baginda itu disebut dalam Surah Baqarah dan Surah Ibrahim. Kita kena tahu doa Nabi Ibrahim itu untuk faham apakah yang terjadi dalam 10 surah ini.
وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُDan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani seksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”. [Baqarah:126]
Lihatlah dalam doa Nabi Ibrahim a.s. itu. Baginda meminta:
- اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا – ini adalah keamanan
- وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ – ini pula adalah kemakmuran
Kepentingan ‘Keamanan’ dan ‘Kemakmuran’.
Mengikut kajian sains politik, masyarakat memerlukan dua perkara untuk kekal – kena aman dan makmur. Kedua-duanya kena ada. Sebagai contoh, kalau satu negara itu makmur – ada rumah, perniagaan, kekayaan dan sebagainya – tapi ia tidak aman, negara itu tidak akan kekal. Manusia akan meninggalkan negara itu dan cari tempat lain. Dan kalau tempat itu aman damai, tidak ada pembunuhan beramai-ramai, tapi tidak ada kemakmuran – perniagaan tidak dapat dijalankan, tidak ada sumber asli, tidak ada harta dan sebagainya, pun negara itu tidak akan kekal kerana manusia memerlukan semua itu untuk hidup. Dari sinilah kita boleh nampak kebijaksanaan Nabi Ibrahim a.s. kerana baginda tahu kepentingan dua perkara ini dan kerana itu baginda minta dua perkara ini kepada Allah Taala.
Tapi baginda juga punya rasa tanggungjawab yang tinggi. Baginda telah dilantik menjadi Imam atas manusia. Dan baginda tahu yang baginda akan ditanya tentang keturunan baginda nanti. Maka baginda mahu negeri yang aman itu dihuni dan dimanfaati oleh mereka yang beriman sahaja. Kerana itu doa baginda ada syarat yang baginda letakkan:
مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِkepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian.
Akan tetapi, Allah jawap dalam ayat itu juga:
قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِAllah berfirman: “Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani seksa neraka
Jadi, dari doa baginda itu, maka Allah makmurkan dan amankan negeri Mekah itu dan menempatkan banyak kebaikan di dalamnya. Dan memang terbukti, Allah beri juga keamanan dan kemakmuran kepada mereka yang melakukan syirik dan dosa juga, walaupun mereka itu keturunan Nabi Ibrahim, walaupun mereka itu duduk tinggal di Mekah. Sekian penerangan ringkas tentang Mekah dan penduduknya. Sekarang kita sambung dengan penerangan ringkas tentang 10 surah terakhir dalam Qur’an dan kaitan antara surah-surah itu.
Surah Feel [105].
Kita akan belajar bagaimana datangnya Tentera Bergajah ke Mekah. Orang Arab jarang / tidak pernah melihat gajah, apatah lagi dalam pasukan tentera, jadi ini adalah satu kejadian yang besar untuk mereka. Ianya satu peristiwa yang amat bersejarah sampaikan orang Arab menggelar tahun itu dengan nama: Tahun Gajah. Selama hari itu Mekah adalah negeri yang aman, tapi sekarang sudah sampai tentera yang besar sekali. Keamanan Mekah sedang diganggu gugat. Oleh itu, ada ketakutan dalam diri mereka dengan kedatangan tentera Abrahah itu. Sampaikan semua mereka naik lari ke bukit kecuali beberapa orang sahaja pemimpin yang pergi berunding dengan Abrahah. Kedatangan Abrahah itu adalah untuk memusnahkan Ka’bah di Mekah.
Walaupun keamanan Mekah digugat, tapi Allah tetap memakbulkan doa Nabi Ibrahim a.s. Allah telah meneruskan keamanan Mekah dengan memusnahkan tentera bergajah Abrahah itu. Ini adalah bahagian pertama dari doa Nabi Ibrahim – keamanan. tapi bagaimana dengan permintaan kedua – kemakmuran? Itu dalam surah seterusnya.
Surah Quraysh [106]
Seperti yang telah disebut, Nabi Ibrahim a.s. bukan sahaja berdoa supaya Mekah itu aman, tapi supaya ia juga makmur. Dalam Surah Quraish, Allah telah mengingatkan penduduk Mekah bagaimana Dia telah memberikan mereka dengan nikmat makanan dan mereka dapat berniaga ke tempat lain dan menjadikan negeri mereka makmur hasil dari perniagaan itu.
Perjalanan perniagaan itu penting kerana waktu itu, tidak ada puak lain yang boleh berdagang dengan selamat ke tempat lain kerana mereka akan disamun dan diserang oleh perompak. Tapi penghuni dari Mekah selamat sahaja kerana orang Arab lain tidak berani menyerang Orang Mekah. Ini adalah kerana mereka dilihat sebagai mulia kerana mereka menjaga Ka’bah yang dipandang tinggi oleh semua masyarakat Arab. Mereka rasa kalau mereka serang penduduk Mekah itu, mereka akan mendapat bala.
Dan semua masyarakat Arab tempat lain pun mereka ada berhala dan mereka akan letak berhala mereka di Ka’bah (waktu itu Ka’bah adalah pusat berhala). Mereka akan melawat berhala-berhala mereka di musim Haji. Oleh itu, mereka tidak berani nak ganggu penduduk Mekah kerana mereka takut berhala mereka akan diapa-apakan nanti oleh orang Mekah kalau mereka berbuat onar kepada penduduk Mekah. Oleh kerana itu, penduduk Mekah bebas untuk berniaga ke merata tempat dan kerana itu negeri mereka jadi makmur. Maka termakbullah doa kedua Nabi Ibrahim a.s.
Oleh itu, mereka disuruh untuk meneruskan legasi tauhid Nabi Ibrahim a.s. فَليَعبُدوا رَبَّ هٰذَا البَيتِ (Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka’bah) – janganlah sembah ilah-ilah yang lain. Ini memang patut sekali kerana Allah telah berikan nikmat keamanan dan kemakmuran kepada mereka – الَّذي أَطعَمَهُم مِن جوعٍ وَآمَنَهُم مِن خَوفٍ (Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.) Itulah dua perkara yang Nabi Ibrahim doa, bukan?
Akan tetapi, adakah mereka layak untuk mendapat manfaat dari doa Nabi Ibrahim a.s. itu? Tentu tidak kerana mereka tidak mengamalkan tauhid seperti yang baginda amalkan. Mereka juga tidak percaya kepada Hari Kiamat dan Hari Akhirat. Mereka memang tidak layak. Perangai mereka teruk seperti yang Allah sebutkan dalam surah seterusnya:
Surah Ma’un [107]
Surah ini menunjukkan mereka memang tidak layak mendapat segala nikmat yang Allah berikan kepada mereka itu. Allah sebut tentang perangai mereka yang teruk dalam surah ini. Mereka itu nak tolong orang sikit pun tak mahu.
Padahal mereka itu duduk dekat dengan Ka’bah, tempat yang mulia. Ianya telah dibangunkan oleh datuk mereka Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.
وَإِذ يَرفَعُ إِبراهيمُ القَواعِدَ مِنَ البَيتِ وَإِسماعيلُDan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail [Baqarah:127]
Setelah membina Ka’bah itu, Nabi Ibrahim telah berdoa:
رَبَّنا وَابعَث فيهِم رَسولًا مِنهُم يَتلو عَلَيهِم آياتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَيُزَكّيهِمYa Tuhan kami, utuslah untuk mereka sesorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. [Baqarah:129)
Allah memberi isyarat dalam ayat ini bahawa yang layak menguasai Mekah adalah Rasulullah yang taat kepada Allah, bukannya Quraish waktu itu kerana mereka memang tidak layak seperti yang telah disebut dalam Surah Maun. Dan kerana Rasulullah adalah yang layak, maka baginda telah diberikan dengan banyak kelebihan seperti yang Allah sebut dalam surah seterusnya, Surah al-Kauthar.
Surah al Kawthar [108]
Allah memberitahu bahawa telah diberikan banyak kelebihan dan nikmat kepada Nabi Muhammad SAW. Selepas itu Allah sebut dua perkara:
- فَصَلِّ – maka solatlah. Ini adalah tanda pertama syukur kepada Allah atas segala nikmat.
- وَانحَر – dan berkorbanlah.
Solat dan korban adalah dua sunnah dari Nabi Ibrahim a.s. Kenang kembali kisah bagaimana Nabi Ibrahim a.s. diperintah oleh Allah untuk menyembelih Nabi Ismail a.s.
Tapi Quraish tidak melakukan lagi apa yang Nabi Ibrahim bawa. Mereka bukan lagi dari kalangan keluarga Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dah, malah mereka sudah jadi musuh pula. Apabila Nabi Muhammad mengembalikan dakwah tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, sudah ada permusuhan dan pertentangan antara yang beriman dan yang kufur. Sekarang sudah jelas siapakah yang layak menjaga kesucian Kota Mekah dan Ka’bah. Mereka dari bapa yang sama, tapi tidak satu keluarga lagi dah. Mereka sudah berbeza pegangan, sedangkan zaman itu kabilah adalah persatuan yang paling kuat sekali. Tapi Islam melebihi segalanya. Kerana itu Nabi disuruh untuk jauhkan dari mereka. Nabi tidak disuruh memanggil mereka ‘kaumku’, tapi panggil mereka ‘wahai orang-orang kafir’. Ini kita akan lihat dalam surah seterusnya nanti.
Apa yang Nabi Muhammad lakukan itu pun adalah sunnah dari Nabi Ibrahim juga seperti yang Allah firmankan dalam ayat:
قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبراهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَداوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللَّهِ وَحدَهُSesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja. [Mumtahinah:4]
Surah Kafiroon [109]
Dalam budaya Arab, kewargaaan dalam sesuatu qabilah adalah amat penting pada seorang Arab. Itulah identiti mereka, keluarga dan kenalan rapat mereka. Mereka bergantung kepada qabilah mereka untuk membantu dan menyelamatkan mereka apabila perlu. Tapi Allah menyuruh Nabi Muhammad meninggalkan kewargaan baginda dengan Qabilah Quraish apabila Allah menurunkan wahyu dalam surah Kafiroon ini.
Apabila Nabi Muhammad melafazkan kalimah يا أَيُّهَا الكافِرونَ dan bukannya ‘wahai kaumku’, itu adalah pernyataan pemutusan hubungan antara baginda dan mereka. Sekarang Nabi telah mengisytiharkan permusuhan dengan mereka kerana mereka adalah orang kafir dan baginda tidak akan bersama dengan mereka kalau mereka tetap kufur. Tapi bagaimanakah nasib baginda bila sudah isytihar perang dengan mereka? Allah beri berita gembira dalam surah seterusnya.
Surah Nasr [110]
Allah memberikan berita baik dalam surah ini yang baginda akan mencapai kejayaan. Ini adalah tentang kejayaan besar bagi Islam kerana surah ini menceritakan tentang kejayaan agama Islam atas agama kufur. Maknanya, Allah berjanji yang agama Islam akan tertegak di bumi ini. Maka ini adalah berita yang amat besar bagi umat Islam.
Kerana berita ini disampaikan di Mekah, tidak seperti keadaan waktu itu, sampaikan susah untuk diterima. Manakan tidak, Islam sedang lemah dan ditindas waktu itu. Memang tidak nampak bagaimana cara Islam akan menang. Maka sebelum diberikan dengan janji besar itu, Allah berikan tanda-tanda kecil dahulu. Ini sebagai isyarat. Sebagai contoh, kalau kita sudah nampak langit mendung dan air hujan sudah mula turun, kita dah boleh agak yang hujan lebat akan turun.
Apakah ‘tanda kecil’ itu?
Surah Lahab [111]
Apakah masalah besar Rasulullah sewaktu di Mekah? Antara musuh besar baginda adalah Abu Lahab yang sentiasa sahaja mengganggu dakwah baginda dan cuba menjatuhkan kedudukan baginda. Jadi Allah beritahu dalam surahi ni yang Dia akan memusnahkan musuh baginda ini, sebagai isyarat kemenangan besar nanti. Allah bukan sahaja akan musnahkan Abu Lahab, tapi dengan isterinya sekali.
Kadang-kadang apabila kita berperang atau bergaduh dengan orang lain, kadang-kadang apabila lama sangat, kita terlupa sebab apa mula berperang ada asalnya. Maka Allah ingatkan dalam surah seterusnya, apakah punca perbezaan dan perbalahan itu asalnya.
Surah al Ikhlas [112]
Konflik antara golongan beriman itu memang telah lama dan akan berterusan. Jadi Allah ingatkan balik kenapa pertembungan itu terjadi. Ianya adalah pertembungan antara iman dan kufur sebenarnya, bukan sebab lain. Kita berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim a.s. yang berpaksi kepada tauhid, bergantung kepada Allah sahaja, sembah Allah sahaja, doa kepada Allah sahaja. Jadi surah ini mengingatkan kita tentang tauhid dan kepentingannya.
Surah Falaq [113]
Ajaran tauhid bukan pertama kali diberikan kepada Nabi Muhamad SAW. Nabi-Nabi dulu pun mengajar tauhid kepada umat mereka. Tapi lama kelamaan, ada gangguan dari yang menjauhkan kita dari ajaran yang benar. Gangguan itu ada yang dari dalam dan ada yang dari luar. Zaman berzaman tetap ada gangguan itu.
Allah bukan sahaja memberi kita ajaran tauhid, tapi Allah juga memberi kepada kita, dua penjaga tauhid itu – satu untuk gangguan luaran dan satu lagi dari gangguan dalaman. Allah memberikan Surah al-Falaquntuk menjaga kejahatan dari luaran.
Surah al-Naas [114]
Dan kemudian Allah memberi kita Surah an-Naas untuk menjaga diri kita dari kejahatan dalaman.
Semua surah ini berkait rapat dengan Nabi Ibrahim a.s, yang legasinya diteruskan oleh Nabi Muhammad SAW untuk meneruskan ajaran itu dengan cara yang cantik.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke perbahasan seterusnya.
No comments:
Post a Comment